Tuesday 29 December 2015

Belajar Membaca Dengan Membina Huruf Daripada Playdoh

Teks: Siti Naimah Norman
Gambar: Cikgu Siti




Homemade playdoh daripada tepung gandum. Cikgu Siti guna untuk bagi anak-anak murid membina perkataan menggunakan playdoh ini.

Seronok mereka bermain. Ia memerlukan imiginasi yang tinggi dan tidak semudah yang kita sangkakan. Bawah ini hasilnya.





Mohamad pun turut sama belajar sambil bermain. :)




Sunday 27 December 2015

Pentingnya Kesihatan Buat Wanita Pengurus Rumahtangga




Teks: Siti Naimah Norman
Gambar: Jamu Susuk Dara Shop

"Cikgu Siti jual jamu ya. Tak segan ke cikgu jual Jamu Susuk Dara, produk intim, kesihatan suami isteri.".
 Kalau diikutkan memang segan. Tapi, ia keperluan. Jamu bukan untuk intim sahaja. Jamu untuk bersih dan sihat".

Mama ini cikgu di rumah. Mama juga berkongsi kebaikan Jamu Susuk Dara. Sebagai seorang isteri, ibu dan cikgu yang menguruskan hal-hal kerja di rumah dan mengajar di kelas, sememangnya tidak dapat dinafikan pentingnya tubuh badan yang cergas dan kuat.

Kadangkala bila dah ligat sangat kerja, rasalah juga sakit-sakit urat, kejang kaki dan lenguh-lenguh. Muda lagi dah rasa saki-sakit. Itulah akibat tidak menjaga pemakanan. Punca penyakit adalah salah satunya adalah daripada perut. Apa yang kita makan itu akan menentukan tahap kesihatan kita.

Selepas bersalin, kebanyakkanya wanita akan mengalami sakit urat. Banyak faktor seperti kerja berat, sejuk dan makan yang tidak berpantang terutamanya makanan sejuk dan ais batu. Saya ini "hantu ais'. Dari zaman bujang lagi memang gila-gila minum ais. Bila dah bersalin, saya memang minum ais setelah mohamad berusia setahun. Memang ketagih nak minum sekali pasti nak minum lagi. Sejuk dan sedap rasa. Tapi, kesannya tahulah. Lepas minum pasti sakit pinggang, urat semua. Memang sakit. 

Selepas kenal Jamu Susuk Dara ini, mama berpantang terus daripada meminum ais. Memang rasa perubahan positif kurang sakit badan. Memang ais diharamkan daripada menu mama. Jika makan di kedai memang minum air suam atau air jus buah suam. Lebih sihat. Tiada ais tiada makanan sejuk seperti tembikai, timun dan sebagainya.

 Bagi kalian yang ingin mencuba Jamu Susuk Dara, boleh ke page,
 https://www.facebook.com/Jamu-Susuk-Dara-Shop-1395744224081057/?ref=hl.
atau hubungi mama whatsapp 0189069144.

Bila kita guna, kita rasa sendiri keberkesanannya. Kita mahu orang lain turut dapat manfaatnya.
Biar produk berbicara. 

smile emotico

Wednesday 23 December 2015

Doa Yang Tiada Selawat Adalah Doa Yang Tertolak

Teks: Naimah Norman
Gambar: Google

Hari ni, mama dengar pengisian Tanyalah Ustaz yang disampaikan oleh Ustaz Don. Topik pengisiannya adalah tentang Rasulullah. Mencintai Rasulullah. Ustaz menerangkan, Dalam berdoa, apabila kita tidak iringi doa kita dengan selawat dan memuji baginda, maka doa kita itu akan ditolak oleh Allah. Subhanallah. dalam berdoa pun perlu beradab. Di hadapan Allah, kita sangat hina. Memuji Allah dan Rasulnya adalah adab penting ketika berdoa.

Pernah tidak kita terfikir selama ini bagaimana kita berdoa. Ala kadar atau sungguh-sungguh serta beradab. Berdoa dengan penuh kesyahduan dan sepenuh hati. Merintih seperti seorang kekasih merintih kepada kekasih yang dicintainya. Usah kita pelik jika doa kita selama ini tidak diperkenankan oleh Allah, rupanya kita tidak beradab ketika berdoa. Allahuakhbar.
Tanda ingatan kita kepada Rasulullah adalah dengan sentiasa menyebut nama baginda. Berselawat kepada baginda.

Dapatkah kita berjumpa dengan baginda. Mengalir air mata ini ketika ustaz menceritakan tentang perjuangan Rasulullah. Baginda sangat merindui kita, umatnya. Kitalah yang Rasulullah sebut-sebut dihadapan para sahabat. Kita adalah golongan yang dirindui baginda. Golongan yang sangat mencintai baginda walaupun belum pernah melihat baginda. Kadangkala mama terfikir, adalah kita dikalangan golongan yang disebut itu.

Ustaz mengulas lagi, tanda kecintaan kepada Rasulullah adalah dengan membaca Al Quran. Rasulullah diutus dengan kitab Al Quran sebagai panduan umat sehingga akhir zaman. Seterusnya, jika kita mencintai Rasulullah, kita akan mempelajari sirah baginda. Kita akan bersama dengan yang kita cintai. Begitulah serba sedikit pengisian yang dapat mama kongsikan. Moga mama dan kita semua terus beroleh hidayah dan taufik untuk mencintai Rasulullah dan meneruskan perjuangan baginda. Amin.


Salam Maulidurrasul.










Thursday 17 December 2015

Seronoknya Belajar Dengan Cikgu Siti

Teks: Naimah Norman
Sumber Gambar: Cikgu Siti

Alhamdulilah. Inilah komen daripada ibu pelajar cikgu Siti sendiri. Fahima baru sebulan masuk kelas membaca dengan cikgu Siti. Dia seronok. Syukur sangat cikgu rasa. Mudah - mudahan cikgu diberi kekuatan dan ilham yang lebih banyak untuk menjadikan kelas lebih menyeronokkan. 



Tuesday 15 December 2015

Kelas Mengaji Fardu Ain

Sumber Gambar: Cikgu Siti

Alhamdulillah, cikgu siti diamanahkan anak murid seramai 8 orang bulan disember ini untuk mengajar mereka al quran.  Moga dipermudahkan dan diberi kelancaran untuk anak-anak didik cikgu siti ini. Amin.

Membaca doa sebelum mula mengaji.


Sunday 13 December 2015

Aktiviti Kelas Membaca

Teks: Siti Naimah Norman
Gambar: Koleksi Cikgu Siti

Memasang Puzzle Perkataan Bergambar









Thursday 10 December 2015

Belajar Ilmu Agar Dapat Tambah Nilai Dalam Diri

Teks: Naimah Norman

Gambar: Koleksi Peribadi



Proses belajar itu panjang. Tiada titik nokhtah. Saya mula mengajar pada awal tahun 2012 selepas tamat belajar di Universiti. Kerjaya pertama saya adalah guru dan kerjaya terakhir saya adalah guru juga pada tahun 2014. 


Sepanjang proses mengajar itu, saya sebenarnya mengajar diri saya sendiri. Tanpa mengajar diri sendiri terlebih dahulu, mana mungkin kita mampu mengajar orang lain.

Minat mengajar saya datang ketika saya belajar di universiti. Sebelum itu, cita-cita saya ingin jadi pelukis, wartawan dan lain-lain. Matlamat saya tidak jelas. Ketika sekolah rendah, saya bukan kategori pelajar yang pandai. UPSR saya dapat 2A 2B 1C. Saya malas belajar. Suka bermain dan ponteng kokurikulum. Nakal betul saya.


Ketika masuk sekolah menengah, saya mula belajar bersungguh-sungguh. Saya dilantik menjadi pengawas pusat sumber. Ia suatu motivasi untuk saya belajar lebih tekun. Memang benar, pemakaian kita mempengaruhi tingkahlaku kita.


Jangan tidak percaya, jika kita memakai pakaian seragam sekolah, antara pakaian pelajar biasa dan pengawas, mana yang nampak berkeyakinan dan berkaliber? Sudah tentu yang berpakaian pengawas akan nampak lebih bagus. Kalau kita sendiri melihat pelajar sekolah memakai pakaian seragam pengawas sekolah, tentu pada fikiran kita, "budak ini mesti pandai". :) Betul tidak?


Begitulah pendangan mata manusia. Tetapi pandangan mata Allah tidak begitu. Ia lebih halus. Saya pernah belajar hadis dan menghafalnya. Namun, saya telah lupa semuanya. Lupa dan tiada satu pun dalam ingatan saya. Saya belajar dan menghafalnya kerana nak jawab peperiksaan Sijil Menengah Agama semasa tingkatan 4.


Saya telah lupa semuanya. Saya tahu sebab Allah menghilangkannya dari ingatan saya. Ianya kerana saya belajar semata-mata untuk peperiksaan. Ya, semata-mata untuk peperiksaan. Saya dapat Mumtaz subjek hadis. Saya sangat gembira. Ia matlamat saya. Seronok tidak terkata. Saya dapat hadiah daripada ustazah kerana kejayaan saya itu.


Saya mungkin berjaya di mata manusia. Namun, hakikatnya saya hina di sisi Allah kerana saya tidak mengamalkan hadis yang saya hafal itu. Sungguh, saya tidak dapat kembalikan ingatan saya kepada hadia-hadis tersebut. Saya perlu berusaha keras kembali untuk menghafalnya semula. Itulah ilmu, apabila tidak dikeluarkan ia akan lupus. Ilmu yang tidak diamalkan akan memakan diri. 


Keputusan UPSR tahun 2015 telah lama diumumkan. Usah menilai anak yang tidak mendapat keputusan semua A adalah anak yang "gagal". Tiada istilah gagal dalam hidup, yang ada hanyalah istilah "belum berjaya".

Keputusan cemerlang dalam peperiksaan tidak menjamin kita akan senang pada masa akan datang. Sekolah pandai, kerja bagus. Mentaliti yang salah. Ada orang pandai, tetapi tidak bekerja. Malas bekerja. Ilmu yang dipelajari tidak mampu menambah nilai pada diri. Ia sesuatu yang sangat merugikan.

Wallua'lam. Perkongsian saya. salam jumaat yang baraqah. Tambah ilmu, tambah amal dan tambah iman. Wassalam.


Jemput LIKE page saya, Cikgu Siti.

Terima Kasih.


Tuesday 1 December 2015

Kisah Saya Dalam Majalah Pa&Ma Edisi Disember 2015

Teks: Naimah Norman
Sumber Gambar: Majalah Pa&Ma

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada mentor saya Puan Masayu Ahmad dan guru online saya Kak Mie Normi atas bimbingan selama saya belajar di ABDR. Alhamdulillah peluang masuk majalah tidak saya sia-siakan. Ketika mentor saya memberikan peluang ini, saya tidak berfikir panjang dan segera bertindak. Rezeki saya terpilih bersama 2 orang lagi ibu yang merupakan alumni ABDR juga.

Mengapa saya meninggalkan kerjaya saya sebagai guru dahulu dan menjana pendapatan di rumah, saya kongsikan dalam ruangan bertajuk "Bestnya, mama berhenti kerja". Saya ingin kongsikan dengan para ibu yang ingin membina kerjaya di rumah. Kita mampu menjana pendapatan tanpa meninggalkan urusan keluarga dan anak- anak.


Bukan inginkan populariti namun saya ingin membuktikan bahawa ibu-ibu yang berhenti kerja dan meninggalkan kerjaya untuk menjaga anak dan keluarga mampu berjaya walaupun hanya di rumah. Saya ingin kongsikan kepada para ibu di luar sana, usah ragu-ragu jika ingin memulakan kerjaya dari rumah. Bimbang duit belanja tidak cukup, itu tidak cukup, ini tidak cukup dan sebagainya. Percaya, yakin dan tawakkal. Saya tidak sesekali menyarankan para ibu berhenti kerja tanpa membuat persiapan. Kewangan, mental dan sebagainya. Lakukan persiapan seawal mungkin. Berusaha gali ilmu dan berdamping bersama dengan mereka yang telah berjaya membina kerjaya di rumah. Insyaallah Allah bagi jalan.


Menjadi surirumah adalah kerjaya yang mulia. Ditambah pula apabila ada kerjaya di luar rumah. Ia menuntut pengorbanan tenaga, masa dan jiwa. Namun adakah selamanya kita ingin bekerja di luar rumah. Meninggalkan anak dan mengorbankan banyak masa di luar berbanding bersama keluarga. Kadangkala hujung minggu juga kita tidak mampu memberikan perhatian kepada keluarga kerana waktu itulah kita nak berehat selepas seminggu penat bekerja. Namun sampai bila? Suatu saat kita mahukan kebebasan bekerja sendiri. Berada disamping keluarga tercinta dan menjaga anak sendiri. Ia nikmat terindah.  Insyaallah, "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".



Tuesday 24 November 2015

Pengalaman Kerja Di Kementerian Pengajian Tinggi

Teks: Naimah Norman
Gambar: Koleksi Peribadi

Selepas saya berhenti mengajar di Sekolah Ar Razi, Meru Klang, saya batalkan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana. Saya berusaha mencari kerja. Alhamdulillah. Rezeki dan bantuan seorang kawan, saya diterima bekerja sebagai kerani sambilan harian di Kementerian Pengajian Tinggi. Ianya adalah kerja sambilan yang mana sebagai sokongan kepada kerja -kerja pengurusan di  Kementerian Pengajian Tinggi. Ia bukan jawatan tetap dan tidak akan diserap sebagai penjawat awam.

Surat tawaran yang masih saya simpan sebagai kenangan
Saya pun bekerja dan menyewa di putrajaya. Skop kerja saya adalah seperti menyemak fail, menguruskan pos surat rasmi, menjaga kaunter pertanyaan dan kerja-kerja kerani. Saya ditugaskan dibahagian biasiswa pelajar. Biasiswa yang ditawarkan untuk pelajar seluruh malaysia. Semak fail pelajar, cop dan tulis apa yang patut dan simpan semula.

Dengan gaji sebanyak RM54 sehari, saya teruskan kehidupan. Kadangkala kerja hanya beberapa hari sahaja dalam sebulan. Paling banyak pun 23 hari jika tida hari cuti. Tidak kerja tiada gaji. Begitulah kerja sambilan harian. Rutin kerja secara manual. agak membosankan juga, tetapi kerana ingin mencari pendapatan, saya layankan dan buat sebaik mungkin.

Kerja di sektor awam pada waktu itu memang ada jadual waktu rehat, jam 9 pagi. Boleh berhenti sekejap buat solat sunat dhuha. Rehat jam 1 petang. Saya biasa tidur khailullah sebelum zohor. Pukul 5 dah balik. Kerja tidak penat, cuma agak membosankan bagi saya. Tapi, ia pengalaman yang bermakna. Kontrak selama 3 bulan dan boleh disambung jika ada permohonan.

Setelah kontrak kerja saya tamat, pada bulan ogos, saya ambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman. Ketika itu bulan puasa dan akan menyambut aidilfitri beberapa minggu lagi. Umi kebiasaannya mengambil tempahan membuat biskut raya. Saya pulang ke kampung dan membantu umi menyiapkan tempahan. Sehinggalah habis sambutan hari raya aidilfitri, saya kembali ke shah alam untuk mencari peluang pekerjaan. Begitulah serba sedikit pengalaman saya bekerja di sektor kerajaan. 3 bulan pengalaman.




Wednesday 18 November 2015

Gunakan Apa Yang Ada Untuk Capai Matlamat

Teks: Naimah Norman
Gambar: Koleksi Peribadi

Sejak kebelakangan ini, saya suka menulis mengenai makanan. Saya bukannya pandai sangat memasak dan ada masa rajin dan ada masa malas memasak. Masak biasa-biasa asal boleh makan, itulah pilihan saya. Tapi masak untuk suami perlu betul-betul. Masak dari hati, masak dengan iman. Bak kata Chef Ammar. Betul tidak?

Saya semasa zaman belajar dahulu, duduk di asrama. Memasak memang tidak dibenarkanlah. Kemahiran memasak memang saya kalah. Semasa semester akhir pula, saya duduk menyewa bilik. Duduk dibandar besar seperti Shah Alam semuanya mahal. Pernah sekali itu, saya nak jimat saya beli periuk nasi dan cuba masak. daptlah jimat seminggu. Seminggu sahaja guna, periuk nasi rosak. Mungkin periuk nasi murah. Kelakar pun ada. Memasak senyap-senyap kerana tidak mahu tuan rumah tahu. Duduk menyewa bilik tiada dapur mahu masak. Sudahnya rosak. Selepas itu, saya beli makanan di kedai sahaja. 

Teringat saya kenangan zaman belajar dahulu. Rindu pun ada. Kenangan terindah. Semalam kebetulan gas habis. Waktu pagi pula, sempat masak kentang untuk mohamad sahaja. Lauk makan tengahari tiada. Kebiasaaannya suami yang pergi beli. Hendak mengangkat tong gas yang berat itu, saya memang tidak akan angkat.

Dengan berbekalkan pengalaman memasak menggunakan periuk nasi, saya pun masak ikan singgang. Mudah, masukkan sahaja semua bahan dalam periuk nasi dan tekan. Sekejap sahaja masak. Tetapi suami tidak tahu saya masak guna periuk nasi. Kalau tahu mesti membebel agaknya. Tidak mengapalah, janji dapat masak, Mohamad pun makan lauk yang sama. Mudah sahaja hidup ini. Gunakan apa yang ada.




Yeah! Mudah tak?
Satu kaedah sahaja tidak cukup. Begitulah ibaratnya bisnes. Jika tidak boleh cara itu, guna cara lain. Fikirkan alternatif dan kurangkan fokus pada kekurangan. :) 



Monday 16 November 2015

Resepi Donut Gebu Yang Mudah

Teks: Naimah Norman
Gambar: Google

Resepi donut ini adalah daripada ummi. Ringkas dan mudah. Gambar hasil sumber "google" kerana mama tidak berkesempatan mengambil gambar donut yang pernah dibuat sebelum ini.





Bahan-bahan
1. 2 sudu besar Susu tepung atau susu pekat manis
2. 2 cawan tepung gandum
3. 1 sudu besar marjerin
4. 2 sudu besar moripan (bancuh dengan setengah cawan air suam)
5. 1 sudu besar gula (Terpulang jika mahu manis)
6. 1/2 cawan air suam
7. 1 sudu kecil garam

Cara penyediaan
1. Gaul tepung bersama marjerin, susu pekat, gula dan garam
2. Tambah moripan dan uli sehingga menjadi doh. Tambah air suam sedikit-sedikit.
3. Siap menguli, biarkan doh kembang sedikit selepas ditekap dengan bentuk yang dikehendaki.
4. Jangan biarkan doh terlalu lama mengembang dan terdedah di udara. Kerana ia akan jadi serap minyak apabila digoreng nanti.
5. Bolehlah goreng donut dan salut dengan gula, atau letak coklat atau sambal.

Mudah sahaja. Makan semasa minum petang dan dihidangkan kopi bersama memang sedap!
Selamat mencuba.

Saturday 14 November 2015

Menu Ikan Goreng Dan Sayur Tumis Mudah



Teks: Naimah Norman
Gambar: Koleksi Peribadi


Menu ikan goreng dan sayur tumis mudah adalah yang paling kerap mama masak. Mudah dan cepat. sayur tumis guna minyak zaitun dan tambah air sedikit. Letak garam dan siap! Makan dengan ikan goreng. Makan bersama mohamad. Selera sahaja mohamad. Mudah masak yang biasa-biasa sahaja. Apa menu dapur kalian pula?


Mama masak lauk yang berat-berat seperti ikan masak lemak cili padi, masak kari ke atau masak sambal apabila hujung minggu sahaja. Bergantung juga kepada selera suami. Kadang malas masak, kami makan luar sahaja. Lihat kepada budget kami. Mama ini, masak kurang minat sangat. Masak biasa-biasa yang asal boleh makan. :)

Tuesday 10 November 2015

Sedekah Akan Menggandakan Rezeki Bisnes

Teks: Naimah Norman
Gambar: Koleksi Peribadi


Alhamdulillah, selamat datang buat pembaca yang setia dan pengunjung baru blog saya yang tidak seberapa ini. Moga kalian mendapat manfaat daripada perkongsian saya dan doakan saya terus menyumbang ilmu dan kemahiran untuk manfaat bersama.

Semalam sempena cuti deepavali, suami pun bercuti. Kami sekeluarga mengambil peluang keluar mencuci mata. Di melaka ini, jika tidak merasa keenakkan "coconut shake' memang suatu kerugian. Sebelum ini saya dan suami selalu pergi ke "Klebang Coconut Shake". Kali ini kami berkunjung ke "Coconut Shake Batu Berendam". Ternyata memang tidak mengecewakan.

Apa yang menariknya, peniaga ini memberikan air kelapa muda secara percuma. Memang benar, sedekah akan menggandakan rezeki bisnes. Tidak hairanlah kedai ini didatangi ramai pelanggan yang tidak putus-putus. Mereka yang nak beli bawa balik pun terpaksa beratur panjang. Sanggup beratur. Pelayan juga sangat mesra, cepat dan selesa. Menu makanan pun banyak. Ada nasi, bihun, mee dan lain-lain. Memang puas hati makan di sini.


Saya dan suami makan bakso dan "young taufu". Kenyang dan seronok. Sudah tentu sangat seronok dapat keluar dengan suami dan anak. Suami yang belanja pula. Apa yang tidak seronokkan?


Kehidupan seorang mama yang bekerja dari rumah, apabila dapat keluar berjalan-jalan adalah suatu nikmat yang sangat hebat. Saya ini kadangkala keluar rumah juga, tapi kebiasaaan berdua dengan mohamad. Keluar pun jika ada urusan kerja. Jika tidak, duduk rumah sahaja. Ini dapat keluar dengan suami, seronoknya lain macam. Ia terapi jiwa dan hiburan yang sangat mengembirakan. 

Ok, sekian perkongsian saya. Buat kalian yang berkunjung ke Melaka nanti, datanglah ke "Coconut Shake Batu Berendam". Kedainya tepi jalan sahaja. Mudah dicari. Ok, Assalamualaikum




Sunday 8 November 2015

Tahan Nafsu Dan Keinginan Untuk Bertahan Dalam Bisnes

Teks: Naimah Norman


Semalam saya sekeluarga keluar membeli keperluan rumah, ketika menunggu suami beli "pampers", terpandang kedai "cool blog".  Menguji nafsu betul! Saya berfikir dan mengintai ke dalam dompet ada RM10. Berkira-kira mahu atau tidak mahu.


Ini kemahuan nafsu ini. Sudah lama saya meninggalkan minuman berais ini. Saya pandang sahaja kedai "cool blog" itu. Saya pegang dompet. Dalam hati berkata 
"sedapnya kalau dapat minum ni, tak dapat bayangkan. Sejuk je mengalir di tekak".

Saya berfikir lagi sambil mengoyang - goyangkan kaki. Fikir, fikir dan fikir. 
Bermonolog sendiri, "Akan aku korbankan RM10 ini untuk nafsu minuman berais serta manis ini".

Berbaloikah?

Dilemanya saya. frown emoticon

Tidak lama kemudian, suami pun sampai. Huh! Lega. Kami terus jalan pulang.  Selamat! Boleh simpan RM10 masuk tabung.

Begitulah dilema hendak berjuang di awal pembangunan bisnes. Tahan nafsu dan kemahuan yang tidak memberi manfaat.

Ingat! Kuatkan hati. Jangan layan nafsu dan kemahuan yang tidak penting. Simpan duit untuk keperluan dan modal bisnes. Mulakan dari awal. Apabila duit kita yang sedikit kita tidak mampu urus dengan baik, apakah kita mampu untuk menguruskan duit yang banyak apabila bisnes sudah rancak kelak.

Saturday 7 November 2015

Asas Membaca Al Quran.

Teks; Naimah Norman
Gambar: Koleksi Peribadi




1.  Mengenal baris. 
2.  Mengenal tanda bacaan.

Buka mulut apabila baca. Baru keluar bunyi yang betul.

#kelasmengaji
#asasiqra


Tips Untuk Mereka Yang Baru Mula Bisnes


Teks: Naimah Norman
Gambar: Sumber google




Pelbagai bisnes kini berkembang cepat ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Buat mereka yang baru ingin memulakan bisnes, ikuti beberapa tips ini.

1. Pegang prinsip ini, fokus satu bisnes dahulu. Jangan nak buat semua dalam satu masa. Nanti jadi serabut. Hasil tiada, masa banyak terbuang. Walaupun minat dan kemahiran yang ada banyak, cuba fokus satu dulu.


Kemudian kembangkan ia. Nak dua, tiga, empat atau berapa banyak bisnes pun boleh. Janji buat sampai selesai, sampai ada hasil, sampai boleh memberikan hasil pada orang lain juga.

2. Sebagai orang yang baru hendak bermula. Modal adalah terhad. Gunakan modal simpanan sendiri. Jangan sesekalki gunakan pinjaman. Tolong jangan buat pinjaman. Mulakan dengan modal serendah RM2000 paling maksimum. (Pesan Guru bisnes, Puan Ainon)

Ok, baik sekarang tidak ada modal, tetapi ada komputer dan internet sahaja.

Sekarang, bagaimana pula menggunakan kemudahan ini. Iaitu komputer dan internet.
Kalian perlu ada paling asas adalah face book. Mula daftar dengan face book. Satu akaun khusus untuk peribadi, satu lagi akaun fan page untuk kedai.

Empat langkah sahaja.
- Komputer dan internet
- Buat akaun fb, peribadi dan fan page
- Cari produk tanpa keluar modal
- Mula masukkan gambar, promosi dan jual.

Sumber: Ebook 101 Idea Homebased Bisnes.

3. Mula dengan bisnes dropship juga salah satu cara lagi untuk memulakan bisnes.

Dropship ialah menjual produk fizikal, yang dibekalkan pembekal tanpa perlu agen jualan menyimpan stok. Kalian hanya bertindak sebagai orang tengah atau agen yang mempromosi barang-barang tersebut di facebook, fan page, blog, web jualan dan sebagainya.

Caranya, pembekal akan menyediakan gambar dan bahan promosi. Agen hanya copy paste gambar tersebut dan masukkan di dalam facebook, web jualan atau blog. Kemudian mempromosi kepada pelanggan. Selepas pelanggan mahu membeli, agen menerima wang transaksi.

Kemudian mengambil bahagian komisyen. Wang yang sudah ditolak komisyen (bahagian agen), baki (kos produk dan kos penghantaran) dibayar pula kepada pembekal. Pembekal akan menguruskan penghantaran produk.

Wednesday 4 November 2015

Mendidik Anak Dari Rumah


Teks: Naimah Norman
Gambar: Koleksi Peribadi


Suatu hari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam berlomba lari dengan Aisyah dan Aisyah menang. Aisyah bercerita, “Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam berlari dan mendahuluiku (namun aku mengejarnya) hingga aku mendahuluinya. Tetapi, tatkala badanku gemuk, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam mengajak lomba lari lagi namun beliau mendahului, kemudian beliau mengatakan, “Wahai Aisyah, ini adalah balasan atas kekalahanku yang dahulu’.” (HR. Thabrani dalam Mu’jamul Kabir 23/47), lihat Al-Misykah (2.238))

Berlari itu sunnah. Alhamdulillah Allah masih bagi peluang untuk mama main kejar-kejar dengan mohamad. Setiap hari main kejar-kejar. Biasanya mamalah yang menang. Mohamad sangat suka dan mengajak saya mengejarnya lagi. Gembira sangat saat bermain dengan anak. Dapat guling-guling berpelukan dengan anak juga adalah nikmat yang tidak ternilai hebatnya.

Itu semua merupakan didikan moral dan emosi kepada anak tersebut. Kadangkala kita sibuk menyediakan kelengkapan untuk pembelajaran anak. Belajar A, B, C dan sebagainya. Namun kita lupa pembinaan emosi anak itu lebih penting. Dia sangat memerlukan belaian kasih dan perhatian kita. Peluk, puji dan bermain. Selalunya, apabila mohamad berjaya melakukan sesuatu yang saya arahkan seperti memasukkan pakaian kotor dalam bakul, saya akan memuji mohamad "pandainya anak mama ni" sambil tepuk tangan. Mohamad pun akan tepuk tangan sama sambil tersenyum seperti mengerti dirinya dipuji.

Untuk melatih anak sesuatu kerja perlulah dilatih dari kecil. Biasanya apabila nak mandikan mohamad, selepas saya buka pakaian yang dipakainya, dia akan mengambil pakaiannya itu dan masukkan dalam bakul. Setiap hari dia melakukannya. Selepas memasukkan pakaian ke dalam bakul, dia akan pandang saya dan mengajak saya main kejar-kejar. Sebagai hadiah dia memasukkan pakaian tadi, kami pun main kejar-kejar pusing meja di ruang tamu. Mohamad berlari sambil ketawa gembira. Lariannya perlahan sahaja, tetapi dia tetap bersungguh-sungguh.  Saya kejar dan mendokong mohamad serta menciumnya. Begitulah setiap hari. :)

Mendidik anak dari rumah. Rumah tempat bermulanya anak mengenal dunia. Mengenal keinginan, kemahuan dan segalanya. Hiasilah rumah dengan keseronokkan dan pengisian kasih sayang. Anak itu akan lebih berkeyakinan apabila melangkah ke luar rumah. Cabaran di luar rumah sangat besar. Didiklah anakmu sebaiknya. Usah menunggu mereka yang di luar, guru, pengasuh untuk membentuk karekter anakmu. Kitalah yang mencorakkannya.

Naimah Norman
(Mama yang bekerja dari rumah)



Tuesday 13 October 2015

Dilema Ingin Kembali Mengajar Di Sekolah

Teks: Naimah Norman
Gambar: Koleksi Peribadi.

Sejak kebelakangan ini, hati saya meronta-ronta ingin kembali mengajar di sekolah.
Keinginan kian menebal lebih-lebih lagi memikirkan keadaan ekonomi keluarga kini. Dapat jadi guru ganti sementara pun jadilah.
Pada fikiran saya,
"Jika dapat mengajar di sekolah, separuh hari. Petang saya sudah ada waktu untuk anak".
"Saya tidak meletakkan anak terlalu lama kepada pengasuh. Insyaallah, saya masih mampu menyediakan ruang untuk aktiviti bersama anak".

Kerjaya sebagai guru bukan mudah. Katanya kerja sampai tengahari. Tamat sesi persekolahan, maka tamatlah waktu kerja. Bukan, realitinya bukan begitu.
"Saya rindukan suasana sekolah. Saya ingin kembali mendengar riuhnya suara anak-anak syurga di sekolah". Monolog saya sendirian.
"Apa yang aku inginkan"? Saya bertanya diri sendiri. 
"Guru di sekolah lain. Guru di rumah, lain".
Mungkin pada pandanganku, guru di sekolah lebih bagus penampilannya dan lebih segak pada pandangan orang.
"Mengajar di mana". Orang bertanya.
Buat apa difikirkan apa orang kata, yang penting yang Allah mahukan. Saya selalu memotivasikan diri sendiri. Mencari kekuatan. 

Mahu tidak mahu, kadangkala apabila bersendirian kita akan memikirkan tentang keadaan diri kita, pencapaian kita dan apa perubahan hidup kita. Bekerja sebagai guru tuisyen menyemarakkan lagi semangat saya untuk menyampaikan ilmu pada anak-anak syurga. Ia persediaan juga untuk saya mendidik anak sendiri. Pernah orang berkata, apabila kita mendidik anak orang, belum tentu kita mampu mendidik anak sendiri. Cabaran lebih besar mendidik anak sendiri.

Apabila saya fikirkan semula niat untuk saya kembali mengajar di sekolah, saya terfikirkan tentang anak sendiri. Siapa yang bertanggungjawab untuk mendidik anakku ini jika bukan diri ini sendiri. Kadangkala saya merenung Mohamad anak saya dan air mata saya mengalir. Saya sebak kerana saya ini bukan mama yang baik dalam mendidiknya. Banyak lagi hak-hak masa untuk bersama mohamad saya tidak penuhi. Allah. Saya memohon ampun pada Allah kerana saya alpa dalam memberikan didikan yang terbaik.

Apa yang anak itu mahukan sepanjang dia membesar?
"Perhatian".
Mahalnya harga sebuah perhatian.
Perhatian untuk,
-Bermain bersama.
-Makan bersama.
-Bersembang bersama.
-Solat bersama.
-Belajar bersama.

"Beri perhatian dari hati".
Itulah yang anak inginkan. Tiada yang lain. Benar, perhatian dari hati itulah yang saya belum benar-benar tunaikan. Walaupun bekerja dari rumah, 24 jam bersama anak, kadangkala bukan setiap jam saya fokus pada anak. Jika anak tidur, saya akan fokus bisnes online, buat persediaan mengajar atau kerja rumah yang lain. Apabila anak jaga, saya perlu beri perhatian khusus untuk dia. 

Namun, kadangkala saya gagal beri perhatian itu. Sambil anak bermain, saya online. Anak bermain sendirian dan saya memerhatikannya dari jauh. Kasihan anak.  Sepatutnya masa itulah saya gunakan untuk bermain dan mengajarnya. Perhatian yang anak mahukan. Saya muhasabah diri.

"Niatku berada di rumah untuk ada lebih banyak masa bersama anak namun, sebaliknya berlaku. Masa itu lebih banyak diberikan untuk urusan lain bukan bersama anak. Perbetulkan kembali niat dan amal perbuatan. Allahuakhbar". 

Anak ini lebih mahal dari segala yang kita miliki di dunia ini. Berilah perhatian sewajarnya. Perhatian dari hati yang tulus ikhlas. Moga dengan perhatian itu, kita mampu membina sahsiah dan moral yang baik untuk anak itu membesar. Mendidik anak dari rumah. Insyaallah.





Sunday 4 October 2015

ABDR Di Media.

Teks: Naimah Norman
Gambar: Koleksi Peribadi

Alhamdulillah. Pada hari khamis lepas, bersamaan 1 Oktober 2015. Saya dan 2 lagi alumni ABDR dijemput ke sesi pengambaran untuk majalah 'Pa Ma' terbitan karangktaf.

Sesi pengambaran bermula jam 10 pagi di studio Karangkraf Media Seksyen 16, Shah Alam. Syukur segalanya berjalan lancar. Melalui ABDR kami bertemu.

Saya pun tidak tahu bagaimana rupa saya dalam gambar yang diambil itu. Harap-harap comellah. Hendak masuk majalah, muka harus perasan comel. Konon-kononnya. :) Gurau-gurau ya.

Masuk majalah, bukan untuk terkenal. Tapi untuk berkongsi kisah bersama. Alhamdulillah, Allah beri jalan untuk saya dan alumni yang terpilih untuk terus konsisten dalam arena penulisan blog.

Moga dengan jalan ini, kami terus berjuang menulis dan berkongsi manfaat. Doakan kami teguh dalam bidang penulisan dan ikhlas berkongsi kebaikan kepada orang lain. Amal jariah hingga akhir hayat.


Selepas sesi pengambaran kami mengambil gambar bersama. Selama ini kami hanya kenal di alam maya, kini kami bertemu di alam nyata. Pengalaman yang sangat bermakna. 

Nantikan kemunculan kami dalam keluaran majalah 'Pa Ma' edisi Disember 2015 ini ya.

Bagi kalian yang ingin sertai kami di ABDR, Boleh hubungi saya.

Email: naimahnorman@gmail.com
SMS/whatsapp: 0189069144

Salam Sayang.
Naimah Norman
Mama Yang Bekerja Dari Rumah

Monday 28 September 2015

Akademi Bekerja Di Rumah(ABDR)

Mengenali AKADEMI BEKERJA DI RUMAH.


-ABDR adalah kumpulan sokongan surirumah.
-ABDR sebagai rujukan atau tapak awal untuk surirumah bermula.
-Jaringan semakin membesar setiap hari.
-Surirumah mampu berkongsi peluang, bertukar pandangan, kolaborasi produk dan bisnes.
-Kumpulan sokongan untuk suri yang masih bekerja.
-Kumpulan sokongan untuk surirumah yang mahu belajar menjana pendapatan secara online.


Laman web rasmi AKADEMI BEKERJA DiI RUMAH;

AKADEMI BEKERJA DI RUMAH 
diasaskan oleh Puan Masayu Ahmad. 

ABDR adalah medium pemasaran yang efektif untuk mempromosikan produk yang kita jual. Bergabung dengan kami di ABDR. Kami menghampiri angka 2000 ahli untuk tahun 2015 ini.


Bersama belajar tentang bisnes, sambil jana pendapatan dan berkenalan dengan para usahawan yang mejoritinya wanita. Ada yang miliki kerjaya tetap, peguam, arkitek dan sebagainya tetapi menjadikan usahawan sebagai kerjaya juga.

ABDR sediakan platform untuk mula bekerja dari rumah. ABDR tawatkan kelas yang diadakan secara online dalam group khas di facebook. Tidak perlu keluar rumah untuk hadir ke kelas. Sambil urus anak dan kerja rumah, sambil belajar ilmu bisnes. 


Antara yang disediakan di ABDR.

Pendaftaran untuk kelas online dan offline berikut.



1. Kelas asas blog dan penulisan.

2. Kelas asas mula bisnes online.
3. Penulisan ebook pertama.
4. Kelas beriklan di instagram 
5. Kelas akaun berhubung 
6. Kelas borong telekung solat 
7. Kelas asas wordpress 
8. Kelas asas wordpress lokasi Sungai Buloh
7. Kelas penulisan ebook pertama.
8. Pendaftaran rakan niaga ABDR.


Antara perkhidmatan yang ditawarkan ABDR:



1. Pakej Bina blog bisnes - 5 hari siap

2. Pakej Iklan Di SOHO


Mahu sertai kami di AKADEMI BEKERJA DI RUMAH?

Hubungi saya:
Facebook: Siti Naimah Norman
Email: naimahnorman@gmail.com
SMS/whatsapp: 0189069144

Monday 21 September 2015

Cemburu Dengan Orang Kerja Makan Gaji


Teks: Naimah Norman

Beberapa hari lepas, saya melihat gambar 2 orang sahabat lama saya yang sama-sama belajar di UiTM dahulu. Gambar tersebut dikirim melalui "whatsapp" dalam kumpulan kos kami. 2 orang sahabat saya itu sudah bergelar pensyarah.

Cemburu. Itulah perasaan saya ketika menatap gambar tersebut. Ketika itu juga perasaan saya bercampur baur. Sedih dan rasa rendah diri. Muncul persoalan di benak fikiran saya.

Pada umur 27 tahun, mereka telah memiliki jawatan sebagai pensyarah. Pencapaian yang mengagumkan. Sebuah kerjaya yang menjadi impian saya. 

"Aku, apa pencapaian aku pada usiaku 27 tahun ini?"

"Apa yang aku miliki sepanjang kehidupanku selepas tamat pengajian ketika berusia 21 tahun"

Persoalan itu muncul dalam fikiran. Ia membuatkan saya sedikit hilang semangat. Hilang selera makan dan kurang bercakap. 

Hati rasa kurang tenteram. Ditambah pula sebelum itu, saya dan suami ada berbincang mengenai kerjaya.

Dalam perbincangan itu, saya memberi pandangan.

"Kalau sayang kerja jadi cikgu, guru ganti gaji dalam RM1400 lebih kurang. Kalau sehari dikira gaji RM70. Tapi belum tolak hari cuti lagi, mungkin bersih dalam RM1000".

"Sama je, kalau tolak duit mengasuh dan keperluan anak, yang tinggal berapa je".

"Kerja sendiri sama banyak dengan gaji. Lagi jimat kerja sendiri, jimat duit mengasuh dan keperluan lain." Tambah saya.

Suami saya jawab. "Sebab itu kenalah cari kerja yang gaji besar".

Saya mula rasa tak puas hati dengan jawapan itu. "Kerja apa yang gaji besar, pengalaman saya apa, hanya mengajar. Kelulusan bukan pendidikan. Pengalaman sebegitu nak minta gaji tinggi, mana ada orang nak ambil". Membebel saya.

"Dulu kenapa tak ambil kos pendidikan", tanya suami. Agak sinis persoalan itu.

Saya jawab, "Abang, kalau saya tahu saya akan jadi guru hari ini, dah tentu saya pilih kos pendidikan dari dulu. Tak perlu susah payah bagai nak belajar geomatik ni". 

Saya bangun dan berlalu ke dapur. Rasa geram apabila dipersoal perkara yang tidak masuk akal. Takdir kehidupan, tiada siapa yang tahu. Manusia mampu merancang, Allah menentukan.

Saya jenis terus terang. Dalam rumah tangga sangat perlu telus dan berterus - terang. Nampak seperti bergaduh. Tapi hakikatnya itulah cara saya berdebat dengan suami. Tegas supaya suami berfikir.

Selepas perbincangan itu, masing-masing terdiam. Perbincangan tamat di situ. Namun, perasaan tidak aman kekal lagi dalam hati saya. Saya muhasabah semula. Berfikir dan merenung. 

"Aku tidak menjadi pensyarah. Allah tidak pilih aku. Tapi Allah takdirkan aku jadi guru tuisyen di rumah dan guru kepada anak aku di rumah. Aku harus bersyukur"

"Aku mungkin tidak memiliki harta, kereta, dan tak mampu nak beli aset dengan pendapatanku sekarang. Namun, aku telah miliki aset yang paling mahal iaitu anak dan suami"

"Orang lain hidup mampu memiliki kereta dan rumah sendiri, tapi belum tentu mampu miliki anak dan suami. Belum tentu".

"Aku mesti menghargai apa yang aku miliki sekarang, kerana ia takdir yang terbaik yang Allah beri". Monolog saya sendirian. 

Selepas solat saya berfikir. Selalunya ia waktu yang sangat tenang untuk kembalikan semangat yang hilang. Kepada Allah tempat meminta.

Membaca petikan dalam ebook super wahm super mom ini juga sangat memberi semangat.

 "Ramai merasakan rugi kerana tidak bekerja makan gaji, membazir masa dan wang ringgit, belajar tinggi hingga ke peringkat ijazah tetapi duduk di rumah. Kepada kebanyakan orang mereka merasakan bekerja dari rumah itu sesuatu yang remeh dan lekeh. Sedangkan sebenarnya, masa dan tenaga yang diperah untuk menjayakan perniagaan itu adalah lebih berat berbanding bekerja makan gaji." - Farah Hafizah

Akhir kata daripada saya, sebagai suri yang bekerja dari rumah, mengusahakan bisnes di rumah dan menjaga anak di rumah, usah pernah menyesal dengan pilihan yang dibuat. 

Kadangkala, apabila melihat orang lain yang miliki apa yang kita tidak miliki, rasa cemburu akan timbul. Ia lumrah. Alirkan rasa cemburu itu dengan usaha yang lebih kuat. Gandakan lagi usaha. Cari sudut-sudut positif supaya kita kekal bersemangat walaupun kita hanya bekerja di rumah.

Salam Sayang.
Naimah Norman
(Mama Yang Bekerja Dari Rumah)

Merancang Dan Melaksanakan Perancangan

Teks: Naimah Norman
Gambar: Koleksi Peribadi


Rancang, tulis, rangka dan laksanakan apa yang dirancang tersebut. Mencatat perancangan setiap hari adalah sangat penting. Sediakan sebuah buku nota untuk mencatatkan apa perancangan kita setiap hari.

Antara kelebihan menulis perancangan.

1. Menjadikan kita lebih produktif.
Setiap hari yang berlalu akan kita manfaatkan untuk melakukan sesuatu yang berguna dan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat. Tanpa perancangan, ibarat kita hidup tanpa matlamat.

2. Mendisiplinkan diri.
Tulis perancangan dan letakkan di tempat yang mudah kita lihat. Kita akan lebih berdisiplin melaksanakan perancangan mengikut masa yang ditetapkan. Ia mengelakkan kita daripada membazirkan masa kepada perkara yang tidak memberi manfaat.

3. Muhasabah diri.
Apabila kita mencatat aktiviti kita setiap hari, kita akan dapat menilai kehidupan kita. Berapa banyak masa yang kita manfaatkan dan gunakan? Adakah kita melakukan sesuatu yang bermanfaat atau kita lebih banyak membuang masa. Daripada penilaian itu, kita muhasabah dan membuat perubahan kepada sesuatu yang lebih baik.

Mulakan catatan kita di malam hari sebelum tidur atau lebih awal. Ia memberikan persediaan untuk minda kita lebih fokus melaksanakan aktiviti keesokkan hari.





Kepentingan Memiliki Pejabat Di Rumah


Teks: Naimah Norman
Gambar: Koleksi Peribadi

Alhamdulillah. Inilah soho (small office home office) saya. Setelah setahun bergelar 'working at home mama", inilah soho yang terhasil, lengkap dengan meja dan beberapa rak buku. 

Sebelum ini bukan tiada soho, tapi soho yang ada agak berterabur. Dahulu bilik ini ada rangka katil besi. Tapi, selepas saya jadikan bilik ini kelas untuk tuisyen. Semua yang tidak perlu itu saya kemas dan simpan.

Alhamdulillah, dengan adanya soho ini, ia banyak membantu untuk saya fokus dengan apa yang ingin dilakukan. Ibarat bekerja di pejabat, cuma pejabatnya di rumah. Ia adalah impian saya.

Sedikit petikan daripada ebook 101 ideas home based bisnes.

Mengapa memilih SOHO?

Bekerja dari rumah- peningkatan dan penguasaan oleh wanita dilihat begitu mendapat tempat. Namun SOHO juga menjadi pilihan ramai lelaki moden yang mengimpikan karier yang lebih bebas dan tidak terikat. Gaya hidup yang lebih santai, dan ada lebih masa bersama keluarga.

Manfaat untuk keluarga.

Bagi suami isteri yang memilih bekerja dari rumah adalah satu cara untuk memantau persekolahan dan aktiviti seharian anak-anak. Sudah tentu ini tidak dapat dilakukan oleh ibu bapa yang keluar bekerja jam 9 pagi hingga 6 petang. 

Selain berperang dengan pengurusan masa, memilih memiliki pejabat di rumah memberi peluang untuk melakukan banyak kerja serentak. Mungkin pada satu-satu masa boleh bekerja dalam tempoh jam yang panjang, tidur lewat demi menyiapkan satu-satu tugas. Namun pada masa yang lain boleh kembali memberi masa santai, kerana ia adalah jadual kerja yang fleksibel. 

Kesempatan untuk mengurangkan kos bisnes seperti sewa pejabat, tetapi sesetengah perkara seperti akaun bisnes tidak boleh diambil mudah. Perancangan bisnes, promosi, pemasaran dan akaun adalah perkara penting dalam urusan bisnes.

Alhamdulillah. Meneruskan dan memulakan. Insyaallah. Jika ada kemahuan, mesti ada jalan. Jom miliki soho sendiri. 

Naimah Norman
(Mama Yang Bekerja Dari Rumah)

Friday 11 September 2015

Ada Anak Kecil Bukan Penghalang Belajar Bisnes


Teks: Naimah Norman
Gambar: Koleksi Peribadi

Alhamdulillah. Syukur atas nikmat kurniaan Allah yang tidak terhitung banyaknya. Tenang dan fokus bekerja dari rumah. Jauh daripada kesesakkan jalan raya. Bebas daripada komitmen masa dan bahagia di sisi insan tersayang.

Alhamdulilah, september ini genap setahun sudah saya bersama ABDR ( Akademi Bekerja Dari Rumah. Pejam celik, pejam celik, tidak terasa masa yang berlalu. Bermula daripada masalah, kita akan jadi lebih kreatif untuk mencari penyelesaian.

Teringat semasa mula-mula hendak mengambil keputusan menyertai ABDR, waktu itu saya sudah memulakan bisnes online. Promosi guna personal facebook.

Saya selalu cari maklumat dan teringin sangat nak belajar bisnes. Namun, masalahnya saya ada anak yang masih kecil. Mohamad waktu itu masih berusia 3 bulan. Saya juga ada membuat permohonan kerja dan menunggu jawapan untuk dipanggil temuduga jika terpilih.

Melihat kesungguhan dan fokus saya untuk bisnes online, suami menyokong sepenuhnya saya sertai ABDR. Alhamdulillah. Sampai sekarang saya seronok bersama ABDR. Kelas yang dijalankan secara online sangat memudahkan saya. Sambil jaga anak saya boleh jenguk blog. Tiada lagi alasan tidak dapat hadir ke kelas belajar bisnes.


Bagi kalian yang tercari-cari kumpulan sokongan untuk berbisnes online, saya sarankan untuk kalian sertai ABDR. Ada anak kecil, sangat menghadkan untuk keluar. Jika kalian mempunyai kengkangan untuk hadiri kelas belajar bisnes, masa yang terhad, atau sukar untuk keluar rumah, ABDR adalah kumpulan sokongan yang sesuai untuk menyelesaikan masalah kalian itu. Belajar dari rumah sahaja atau di mana-mana selagi ada talian internet. Mudah bukan?

Mengenai ABDR.

-ABDR adalah kumpulan sokongan surirumah.
-ABDR sebagai rujukan atau tapak awal untuk surirumah bermula.
-Jaringan semakin membesar setiap hari.
-Surirumah mampu berkongsi peluang, bertukar pandangan, kolaborasi produk dan bisnes.
-Kumpulan sokongan untuk suri yang masih bekerja.
-Kumpulan sokongan untuk surirumah yang mahu belajar menjana pendapatan secara online.
- ABDR bukan sahaja terbuka untuk surirumah, malah para ayah, pak cik, abang long, pelajar juga di alu-alukan.
-ABDR mara 2000 ahli untuk 2015. Segalanya dengan izin Allah.

ABDR juga tawarkan kelas untuk kalian promosi bisnes atau perkhidmatan dengan menggunakan medium percuma seperti blog dan fan page.

Antara kelas yang ditawarkan.

1.Kelas asas blog penulisan

2.Kelas bina kedai online

3. Kelas akaun

4. Kelas asas wordpress

5. Kelas beriklan instagram

6. Kelas borong telekung solat

7. Pendaftaran iklan, rakan niaga abdr

Jika kalian mahu sertai kami di ABDR, boleh hubungi saya.

Email: naimahnorman@gmail.com
Whatsapp: 0189069144

Ajar Anak Menerima Kekurangan dan Bersyukur

Teks: Siti Naimah Norman Gambar: Koleksi Peribadi Baru siap jahit lencana anak. Mama rajin dan banyak masa sangat. Huhu. Hari ni baru si aba...