Monday 5 December 2016

Hadiah Untuk Abah

Umi bercerita kepada saya. Suatu hari, abah bertanya pada umi.

"Ema tak kerja lagi ya? Kalau kerjakan boleh bantu sikit-sikit".

"Abah, ema tu dah kawen, dah jadi hak orang dah abah. Dia kerja, rezeki kitalah dia nak bantu. Itu pun dia buat bisnes online". Jawab umi.

Umi memahami. Kadang ada rezeki saya hadiahkankan Umi duit. Kadang umi menolak.

"Kau pun susah, tak payahlah". Kata umi.

Saya tetap nak bagi juga. Umi terima.

Abah, bukan faham mengenai online. Apatah lagi teknologi. Apa yang abah faham, saya suri rumah. Duduk di rumah. Jaga anak.

Usianya yang 60an itu masih lagi memerah keringat mencari rezeki berniaga. Kasihan saya melihatnya.

Tenaga sudah kurang, namun terpaksa juga bekerja untuk mencari rezeki berniaga jual kelapa dan telur ayam kampung di pasar pagi. Abah naik van berniaga.

Saya berazam untuk gembirakan abah selagi hayatnya masih ada. Balik kampung nanti, ema akan tunjukkan gambar ema masuk majalah abah.

Ema masuk majalah Abah. Hadiah untuk Abah. Moga ia mengembirakan abah. Ema kerja di rumah abah.

Orang tak nampak ema bekerja. Ema cuba buktikan ema mampu berjaya kerana ema hanya mahu Abah gembira. :)

Ini cerita tahun 2015 dan 2016. Kenangan ketika saya masuk majalah PA & MA dan Mingguan wanita. Alhamdulillah atas segala nikmat dan rezeki.

#airmatamengalir
#rinduumiabah
#catatanharian

Wednesday 30 November 2016

Usahalah Agar Sentiasa Positif Dan Optimis

Teks: Naimah Norman

Salam 1 Disember 2016. Bulan terakhir pada tahun 2016. Huh! Berdebar juga rasa nak masuk 2017. Tahun baru, perjalanan baru.

Walaupun sebenarnya kalau ikutkan kalendar Islam, dah lama kita masuk tahun baru. Bulan Muharram lepas. Tapi, biasalah, perancangan semua mesti nak ikut calendar kuda. Kan. :)

Alhamdulillah. Sudah hari ke 30 berpantang hari ini. Lagi 14 hari nak cukupkan 44 hari.

Sebenarnya berpantang sebelum ni 60hari. Nak betul-betul sihat dalam luar, perlu jaga betul-betul.

Kali ini, berpantang 100 hari. He, mampu ke ya. 3 bulan. :)

Badan kena sihat betul. Nak teruskan perjuangan, harus ada tubuh badan yang sihat dan kuat!

Apa pun yang kita rancang, moga dipermudah, diberi jalan terbaik dan memberi manfaat pada orang lain.

Positif dan optimis. Bangkit dan teruskan perjuangan. Perjuangan ilmu. Perjuangan bisnes.

Pesanan akhir;
"Biarlah orang lain nak negatif, kita jangan terpengaruh sama. Kawal diri, kawal minda. Insyaallah hidup kita akan lebih terkawal". 

 #cikgusiti


Thursday 10 November 2016

Kisah Kelahiran Alami

Teks: Naimah Norman
Gambar: Naimah Norman.



KISAH KELAHIRAN ISTIMEWA YUSOFF ISLAM.
(Panjang sikit tau) ;) EDD: 8 November 2016.

32 minggu:  Saya dan suami sudah buat persediaan untuk tempat bersalin. Cek up di Pusat Bersalin Baraqah, Kelang.

Saya rancang bersalin di swasta kerana rasa trauma bersalin sebelum ini masih terbayang-bayang. Birth plan belum bincang tapi, saya yakin Dr khairiah akan terima.

35 minggu: Hadir seminar "Gentle Birth" di Melaka. Kumpul ilmu dan nak tingkatkan keyakinan. Rasa takut bersalin asik bermain di minda. Teringat-ingat trauma bersalin lepas. :( Nak ke kelas gentle birth tapi tiada rezeki.

36 minggu: Tukar tempat bersalin di Pusat Bersalin An Nur, Shah Alam. Ulangkaji dan sediakan "birth plan". (Huhu, macam nak masuk peperiksaan pula) :)

(31 Oktober 2016)
39 minggu:  "Appointment" di Pusat Bersalin  An Nur, Shah Alam.

Pagi, lebih kurang jam 7.00am, ada sedikit darah keluar tanpa rasa sakit. "No Contraction, No Baby". Jadinya, saya bersiap dengan hati berbunga-bunga.

"Baby nak jumpa mama dah". Kata dalam hati. Bancuh Rasberry Leaf tea. Dengan harapan akan datang contraction.

Dalam perjalanan ke An Nur, rasa " mild contraction", tak kerap. Sampai An Nur, hilang terus. Eh, main-main pulak baby ni. Sampailah keesokkan harinya, tiada rasa contraction yang kerap.

Cek up baby semua ok, tiada masalah. Baby ok. Baby gerak aktif. Bincang sekali "birth plan". Tak semua point doktor terima. Terutama birth position.

Soalan saya. Doktor, di sini, bersalin posisi bagaimana ya?

Baring separuh, pegang kaki. Jawab doktor.

Macam mana kalau saya tak boleh pegang kaki, sebab saya ada "disfungsi simfisis pubis" atau "SPD" (symphysis pubis dysfunction). Sejak minggu ke 34 saya hadapinya.

Hmm, kita akan gantung kaki awak. Jawab doktor selamba.

(Ha, Gantung? Oh, gerun tidak,  untuk kali ke dua dan seterusnya. Cukuplah pengalaman pertama).

Ada ke posisi lain untuk saya lahirkan bayi saya seperti mencangkung ke. Tanya saya.

Doktor jawab, posisi tu sukar untuk saya buat kerja.(Alasannya hanya satu, sukar untuk buat kerja). Ok, perbincangan selesai. Saya nekad, untuk cuba posisi yang saya selesa.

Walaupun doktor tak setuju. Biar mudah untuk bayi dan mama. Ok, takpe, sekurang- kurangnya dah bincang " birth plan". Rasa lega. Tawakkal. Selesai bab tempat bersalin.

Sampailah malam, suami pun pulang ke Melaka, urusan kerja. (Mama tak bagitahu pun mengenai darah pada suami, sebab suami cepat nervous, nanti oxytocin mama terganggu dek kerisauan dan kekalutan. Mama nak bersalin, orang lain yang terlebih risau).

JANGAN BERANI AMBIL RISIKO INI JIKA TIDAK YAKIN. Mama dah cek baby dan mama yakin keadaan baby mama, ok.

(1 November 2016)
Tertunggu-tunggu jika ada rasa contraction. Ada darah, tapi tiada contraction. Jadi, seperti biasa. Mama nikmati makan, minum dan bergembira. :)

Buat kerja rumah, basuh baju dan sapu rumah. Bila ada rasa mild contraction, ambil nafas dan layan. Tapi sekejap saja, dan hilang bila mama bergerak.

Malam, dalam jam 8 lebih, tidurkan anak sulung, Mohamad, dan mama pun tertidur sekali. Terjaga jam 10pm lebih, rasa seperti contraction. Dalam hati, "Ni sakit main-main ke, betul-betul ni.

Ok, bangun, solat isyak. Duduk sekejap, tunggu jika ada datang rasa contraction seterusnya. Ya memang ada.

Tiba-tiba, Mohamad terjaga, mama susukan sambil layan contraction. Masih dalam kawalan. Rasa mengantuk sangat, sebab baru tidur beberapa jam sebelum itu. Ya Allah, boleh mengantuk pulak ni.

Nak tidur ke, nak ke hospital ni. Mama pandang Mohamad tidur, mama layan contraction ambil duduk atas gim ball. Ngantuk sampai tersengguk-sengguk. Kalau pergi hospital, mama tak cukup tidur, tenaga pun kurang.

Jadi, mama ambil keputusan untuk tidur. Ngiring ke kiri. Terjaga 3 ke 4 kali sebab rasa contraction. Layan dan tidur balik. Mama perlukan tenaga.

Kemudian, rasa contraction makin kuat, tak boleh baring dah ni. Ambil keputusan, makan kurma, kismis, bancuh raspberry leaf tea. Berdiri, goyang pinggul sambil layan contraction.

Mama ambil keputusan layankan dulu contraction. Errkk. Sendawa. 3 kali camtu. Teringat nota masa pergi seminar, sendawa tu tandanya baby dah turun banyak.

Kemudian rasa seperti bulat kat bawah tu, tak sempat nak ke hospital ni. Kang bersalin dalam kereta atau tepi jalan. Mama melutut, Allah, rasa nak meneran dah ni. Nak meneran sangat-sangat dah.

Cuba melutut, krekk. Bunyi camtu, alamak koyak ke apa ni. Cuba kawal diri daripada meneran. Tak boleh gambarkan masa tu. Rasanya macam meneran pun ada. Nafas pun macam tak cukup.

Bush...air keluar banyak macam air paip. Cuba cium. Takde bau, air ketuban ni, jernih. Setiap kali kawal pernafasan, rasa nak meneran, air terus keluar.

Mama ambil kain bersih lapik lantai. Mama mencangkung sambil pegang gim ball. Belakang badan tegakkan. Sementara tiada surge, mama cuba pegang kat bawah miss v tu, rasa lembut-lembut. Macam rambut baby ni. Rasa baby dah betul-betul nak keluar ni. Rasa tegang bawah tu. "Ring of fire" istilahnya.

Mama ambil nafas, hembus ikut mulut "ahh". Terkeluar perkataan tu. Perlahan kepala keluar. Sempat pegang. Belek kejap. Ya memang kepala baby. Mama pegang.

Datang surge yang seterusnya, tanpa meneran,  rasa seperti baby pusingkan badan untuk menolak bahu dan keluar sekali seluruh badannya atas tangan mama.

Allahuakhbar! Keluarlah Yusoff Islam melihat dunia. Yusoff terus menangis. Mama letak atas dada mama. Allah, walaupun berdarah-darah, bau yusoff wangi sangat.

 Selepas beberapa minit, dalam 15 - 20minit uri keluar, seketul lengkap. Alhamdulillah. Mama tak lihat jam. Dalam anggaran 5am yusoff keluar, kemudian uri berjaya keluar dan azan subuh berkumandang. :)

Kemudian, keluarga hantar mama dan yusoff ke hospital. "No tear, skinned, ada luka melecet camtu".

PESANAN: USAH AMBIL RISIKO JIKA TIADA KEYAKINAN DAN ILMU. UNTUK MELAHIRKAN MEMANG SANGAT-SANGAT MEMERLUKAN ILMU.

TIDAK SIA-SIA HADIR KULIAH PERSEDIAAN BERSALIN. USAHA, DOA DAN TAWAKKAL. INSYAALLAH KITA AKAN DAPAT GENTLE BIRTH.




Thursday 29 September 2016

Perjuangan Masih Panjang

Teks : Naimah Norman
Gambar: Jamu Susuk Dara Shop

Hidup ini sebuah cerita. Ada suka ada duka. Kita akan sentiasa diuji selagi kita hidup di dunia ini. Apabila memilih untuk bekerja sendiri. Risiko dan segala cabaran harus ditempuh. Nak tak nak tiada pilihan melainkan bertahan, belajar dan terus berjuang.

Alhamdulillah. Penghujung September. Sebulan lama juga tidak menulis di blog ini. Saya banyak menulis di Facebook. Namun begitu, penulisan di blog masih boleh dijejak pembaca. Itulah kelebihan blog. Medium percuma yang harus dimanfaatkan.

Bulan September ini, saya agak sibuk menguruskan pesanan pelanggan untuk produk Jamu Susuk Dara. Syukur, jualan bulan ini meningkat 3x ganda berbanding bulan-bulan sebelumnya.




Saya dapat rasakan Allah buka pintu rezeki itu. Ada sahaja yang mahu membeli daripada saya. Alhamdulillah. Moga bulan akan datang terus meningkat.

Niat saya hanya mahu menambah nilai dalam hidup saya dan orang lain. Selain niat nak langsaikan hutang belajar, tolong umi abah dan keluarga saya. Untuk tambah ekonomi keluarga dan untuk anak saya terutamanya.

Doa banyak-banyak pada Allah. Allah maha Memperkenan. Perjuangan masih panjang. Banyak yang masih saya perlu belajar. Semoga apa sahaja yang kita usahakan mendapat keberkatan Allah. :)

Wednesday 31 August 2016

Kembali Meraih Ketenangan Hati Dengan Bersyukur.

Teks: Siti Naimah Norman

Bersyukur! Allah akan tambah nikmat. Itu janji Allah. Dia tidak pernah memungkiri janji.

Allah bagi ujian hidup kerana dia mahu kita belajar bersyukur. Belajar erti hidup. Redha, barulah kita akan tenang. Setiap daripada kita melalui ujian hidup.

Kadangkala kita hampir putus asa. Kita bosan apabila ujian itu kita rasa terlalu berat untuk kita lalui. Bertahanlah!

Kekuatan akan muncul apabila kita tenang. Tenang dalam berfikir dan bertindak. Usah membuat keputusan ketika emosi tidak tenang. Kita akan berhadapan dengan banyak penyesalan nanti. Bertahanlah seketika!.

Ketika saya diuji dengan aslah rumahtangga. Saya mengambil masa 2 hari untuk saya diamkan diri. Bertahan dan memikirkan yang terbaik. Demi anak dan kehidupan seterusnya. Saya buat keputusan untuk bertahan, sehingga hari ini.

Jika saya ambil keputusan memutuskan ikatan perkahwinan mengikut emosi, lari tinggalkan segalanya, tentu saya pun tak pasti bagaimana keadaan saya hari ini. Saya bertahan kerana saya sedang membina kekuatan.

Sesuatu yang saya belajar apabila diuji sedemikian rupa, saya belajar untuk bersyukur. Menerima yang saya dipilih untuk lalui ujian yang saya tak duga pun akan berlaku. Sedikit demi sedikit, rasa kesakitan itu hilang.

Saya memaafkan dan cuba melupakan segala yang berlaku. Sayayakin ada hikmah dan nikmat yang Allah mahu berikan pada saya. Saya berazam untuk ubah diri, penampilan saya dan kehidupan saya. Itulah hikmahnya. Alhamdulillah.

Bertahanlah dan bersyukur! Kita akan raih ketenangan. Salam 1 September 2016. Bulan baru, mulakan semangat baru. Usah terus bertapak di dalam kekecewaan yang berterusan. Selamat maju jaya. :)

Monday 29 August 2016

Demi Masa, Sesungguhnya Manusia Dalam Kerugian.

Teks: Siti Naimah Norman

Allahuakhbar! Sudah penghujung bulan Ogos rupanya. Saya rasa baru masuk bulan Ogos, baru sambut hari lahir saya yang ke 28 tahun. Hari ini sudah menghampiri September. Sekejap betul masa berlalu.

Memang benar apabila Allah bersumpah dengan masa dalam surah Al Asr. "Demi Masa Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali mereka yang berpesan kepada kebenaran dan kesabaran". Allah tahu manusia suka leka, sebab itu Dia beri peringatan. Cuma, kadangkala kita alpa dan suka bertangguh.

Kadangkala kita rancang macam-macam perkara. Tapi kerana pengurusan masa tak betul, semua kerja tergendala. Kadang suka bertangguh, akhirnya kerja jadi bertimbun-timbun. Kita pun buat kerja saat-saat akhir. Kuranglah kuatliti kerja kita. :(

Saya bukanlah seorang yang pandai menjaga masa. Saya akui, saya pun suka leka. Bersyukur sangat sebenarnya apabila Allah anugerahkan seorang suami yang sangat tegas. Tidak suka buat kerja saat-saat akhir. Ada perancangan rapi. Walaupun nampak terlalu " complicated", sebab suami saya kategori OCD, tapi di sudut positif, ia baik untuk saya. :)

Apa sahaja yang Allah beri pada kita adalah yang terbaik. Hargailah ia. Ok, semoga kita manfaatkan masa dan peluang yang ada untuk lebih lakukan kebaikan dan lebih sabar dalam melaksanakan kebaikan. Salam merdeka 31 Ogos 2016. Jiwa yang merdeka adalah jiwa yang tenang.

Thursday 21 July 2016

"Sensasi Cholic" Pada Bayi.

Teks: Naimah Norman.
Gambar: Google.


Perkongsian ini, saya dapat hasil menonton rancangan Nasi lemak Kopi O (NLKO), pagi tadi. Apakah itu sensasi cholic.

Sensaasi cholic adalah keadaan di mana bayi mahu menghisap sesuatu. Bayi akan belajar menghisap jari ketika dalam rahim. Apabila keluar dari rahim, bayi sukar untuk menghilangkan ketagihan untuk menghisap.

Ketika bayi bawah 4 bulan, mereka tiada sokongan otot yang kuat untuk mendorong jari mereka ke dalam mulut untuk dihisap, jadi mereka akan tercari-cari sesuatu untuk dihisap.

 Ketika ini, puting ibu, botol susu atau puting tiruan akan diperlukan. Sesetengah mat saleh, akan memberikan jari mereka yang bersih untuk dihisap oleh bayi.

 Inilah yang dikatakan fenomena "ngempeng". Buat ibu yang menyusu badan penuh anak mereka, bayi akan lebih suka melekat. Bukan kerana tidak cukup susu, tapi kerana sensasi cholic ini. Walaupun mereka sudah kenyang, tetapi masih mahu menghisap sesuatu.

Apabila bayi sudah berumur 4 bulan ke atas, mereka sudah mampu mendorong jari sendiri ke dalam mulut. Sudah kurang mahu melekat pada ibu. Mereka sangat suka menghisap jari.

Buat ibu yang memilih untuk memberikan puting atau botol susu kepada bayi, perlu rancang sebaiknya agar sensasi ini tidak menjadi ketagihan melampau sehingga usia anak 5 tahun pun kasih menggunakan botol. Perlu dikawal dan dipantau



Saturday 25 June 2016

Obses Compulsive Disorder (OCD) - Memberi Kesan Konflik Dalaman

Teks: Naimah Norman

OCD adalah sebuah penyakit yang tidak boleh dipandang remeh. Nampak biasa-biasa sahaja tetapi ia memberikan kesan samaada positif mahupun negatif.

Secara positifnya OCD kelihatan seperti kelakuan yang memberikan manfaat. Bersih, kemas, teratur, lengkap dan penuh berdisiplin.

Dalam pekerjaan atau pelajaran, ianya bagus untuk mendorong mencapai kejayaan.


Seseorang yang menghidapi penyakit ini juga adalah seorang yang sangat cerewet dan mementingkan kesempurnaan. Segalanya harus lengkap dan menuruti keinginan mereka.

 Jika mereka tidak dapat melakukan sesuatu yang menuruti keinginan dan pencapaian yang mereka mahukan, ia akan mencetuskan rasa marah, kecewa, gelisah dan kemurungan.

Kesannya kehidupan mereka akan sentiasa ada konflik dalaman. Tidak kurang juga ia akan mencetuskan konflik dengan orang disekeliling mereka.

Jika mereka berkahwin, pasangan mereka mesti harus sabar dan cuba memahami mereka.

Sikap cepat marah, baran dan mementingkan diri tidak lari daripada mereka. Itulah yang akan menjadikan sesebuah rumahtangga berantakan jika tiada persefahaman.




Thursday 23 June 2016

Obses Compulsive Disorder (OCD) - Pengenalan

Teks: Naimah Norman
Gambar: Sumber Google

Assalamualaikum buat pembaca semua. Semoga berbahagia selalu. Alhamdulillah, semangat menulis kembali semula.

Doakan saya terus istiqamah menulis dan memberi manfaat. Maafkan andai ada kelemahan dalam penulisan saya.

Kali ini, saya nak kongsikan mengenai OCD atau nama penuhnya "Obses Compulsive Disorder". Ia adalah nama sebuah penyakit. Tapi bukan penyakit fizikal seperti darah tinggi atau jantung. Ia adalah dalam kategori penyakit mental. Ya, sakit mental.


Ok, secara ringkasnya penyakit ini adalah berkaitan dengan sikap obses atau tingkahlaku, serta kecenderungan yang keterlaluan. Kebanyakkannya dikaitkan dengan kebersihan, kekemasan dan kesempurnaan.


Sebagai contohnya, seseorang itu sangat menjaga kebersihan sehingga membasuh tangannya berkali-kali kerana dirasakan kotor.

Ia adalah kerana terdapat kelainan cecair dalam otak yang mendorong kepada tingkahlaku yang berulang-ulang tersebut. Banyak lagi faktor lain yang mempengaruhi terjadinya OCD ini.


Kenapa saya berkongsi dan mengkaji mengenai penyakit ini? Ianya kerana ia sangat dekat dengan saya.

Pengalaman saya berhadapan dan hidup dengan seseorang yang menghidapi penyakit ini memerlukan saya untuk lebih banyak belajar.

Allah beri sesuatu itu sesuai untuk kita dan baik untuk kita. Kita belajar sabar dan redha. Insyaallah, kita akan rasa nikmat dan ketenangan.



Friday 27 May 2016

Surirumah Mesti Ada Jiwa Yang Kental

Jangan biarkan kata-kata negatif orang lain merasuk ke dalam fikiran kita. Cepat-cepat pandang mata ke atas dan angkat bahu serta berkata, "ada aku kisah, lantaklah nak kata apa. wekk".
Hahaha.

Kadangkala kerana kita tiada pangkat, jawatan dan harta, kita sering dipandang rendah. Orang memperlaku kita sesuka hati malah melontarkan kata-kata yang menyakitkan tanpa menghiraukan perasaan kita. Kita sakit hati, normal kerana kita manusia ada jiwa yang halus mudah terguris.

Namun usah biarkan diri kita lemas dalam kata-kata orang lain. Hakikat sukar dilalui namun pilihan kita hanya dua samaada bertahan atau putus asa. Pilihlah bertahan walaupun sakit. Insyaallah manisnya akan muncul jua.

Ayuh kita cari sesuatu yang positif dan memberi manfaat. 
Jasad yang kuat itu datangnya daripada hati yang tenang. Tenang-tenang aja ya walaupun ribut taufan sedang melanda (perumpamaan sahaja :) ).


 Lepaskanlah lelahan jiwamu setinggi awan 
dan biarkan jika air hujan turun 
kerana ia akan membersihkan jiwamu. 
Kuat dan bertahanlah!


Wednesday 25 May 2016

Sayangku Mohamad Semoga Menjadi Hamba Allah Yang Soleh

Dua insan yang menjadi kesayangan saya, Mohamad Rafiy'uddin dan Mohamad Rifa'ad. Pada bulan Mei, Allah anugerahkan dua amanah ini. Mei adalah bulan paling bermakna dalam hidup saya. Semoga dengan amanah ini, menjadikan saya lebih kuat dan tabah. Semoga dengan amanah ini menjadi asbab untuk saya beroleh syurgaNYA.

11 mei, Selamat hari lahir untuk Mohamad sayang. Semoga panjang umur dan sihat sentiasa. Semoga Mohamad dilindungi dan dijaga iman dan amalnya. Semoga Mohamad kaya dan berjaya di dunia dan akhirat. Amin.

Meraikan hari lahir Mohamad bersama-sama anak murd kesayangan. Kakak-kakak dan abang Mohamad
Pada 24 mei pula, merupakan ulangtahun perkahwinan saya dan suami. Kami tak pernah sambut pun sebelum ini. Hanya ucapan sahaja. Alhamdulillah ada rezeki tahun ini kami raikannya. Alhamdulillah atas kurniaan amanah terhebat ini. Suamiku insan "istimewa" yang dipinjamkan kepadaku. Semoga dengan jalan perkahwinan ini akan menjadi asbab untuk saya beroleh SyurgaMu. Amin.

Selamat ulangtahun perkawinan kepada suamiku yang disayangi kerana Allah. Mohamad Rifaad Semoga perkahwinan ini sentiasa dalam keberkatan Allah. Amin.

Makan-makan di Soul Garden.
Alhamdulillah.


Thursday 12 May 2016

Di manakah bahagianya berumahtangga?

Teks: Siti Naimah Norman

Kadang, rasa bosan, jemu dan hilang rasa seronok berkahwin. Inikah rumahtangga?

Inikah alam perkahwinan yang dikatakan penuh dengan kasih dan cinta.

Manisnya hanya seketika dirasakan.

Bahagianya entah di mana.



Pada 30 April lepas, saya pergi kenduri kahwin seorang sahabat lama. Kami sama-sama mengajar di sekolah di subang dahulu semasa sebelum saya berkahwin. Seronok rasa pergi kenduri. Lagi seronok dapat tengok majlis nikah. Kembali rasa aura pengantin baru tu. Syukur, saya dan suami sampai awal dalam pukul 10 pagi, kami sempat menyaksikan acara pernikahan di sebalik tingkap daripada luar rumah kawan saya itu.


Mengimbau kembali sewaktu saya bernikah dengan suami pada 24 mei 2013. Tahun ini tahun ke 3 perkahwinan saya. Selama melalui 3 tahun perkahwinan, sudah pasti ada ujian dan dugaan. Jujur, kadangkala saya putus harap. Suatu ketika saya kecewa dan ingin tinggalkan segalanya. Namun anak penguat. Bukan mudah melalui fasa-fasa perkahwinan tanpa cinta. 

Ya tanpa cinta. Saya tidak pernah bercinta dengan suami saya ini. Kami berkahwin dengan restu dan perancangan keluarga. Sebagai anak saya menuruti kehendak orang tua. Namun, saya mengambil masa yang agak lama untuk "menyiasat" latar belakang suami. 

Perasaan kasih, sayang dan cinta itu anugerah Allah. Bila-bila masa Allah berhak tarik semula perasaan itu. Ok sekian dahulu perkongsian saya, ada rezeki saya sambung kembali perjalanan cinta ini. Sungguh misteri.

Thursday 28 April 2016

Menjalani Kehidupan Di Alam Perkahwinan Menuntut Komitmen Cinta

Assalamualaikum dan semoga kalian yang membaca dalam keadaan sihat dan bahagia selalu.

Lama tidak menulis. Bukan kerana kengkangan masa, atau kengkangan apa-apa tetapi kerana kemelut emosi yang melanda. Semangat menulis itu pudar seperti pudarnya keceriaan dalam hati.

Entah, tidak tahu bagaimana mahu dilepaskan. Ujian hidup akan sentiasa mengalir. Samaada deras atau biasa-biasa sahaja.

Kadangkala, kita melihat orang lain bahagia dan ceria hidupnya. Ada kasih sayang dan kebahagiaan daripada insan yang mendampinginya. Jujur, saya tidak cemburu, kerana saya rasa mungkin ia rezeki mereka.

Kita tidak tahu derita, kesakitan dan kesedihan orang lain. Kita tak nampak kerana kita tidak hidup bersama mereka. Mereka tidak pernah cerita pada kita, tentu sekali hanya bahagia yang kita nampak. Mungkin kita perlu melalui kesakitan sebelum kita rasa nikmat bahagia itu.

Hidup berpasangan ini bahagia andai saling berusaha memberi kebahagiaan. Saling berusaha menerima kekurangan masing - masing. Untuk berkahwin, kita  tidak memerlukan cinta. Tapi apabila sudah berkahwin, bercinta itu wajib. Membahagiakan pasangan kita itu wajib.

Jika tiada cinta, suramlah perkahwinan. Gelap segala jalan dan hanya derita yang kita nampak. Menjalani hidup di alam perkahwinan itu memerlukan cinta. Cinta itu sifatnya bahagia. Ya, bahagia. Jika cinta itu hanya membuahkan derita. Maka, ia bukan namanya cinta tapi "binasa".

Kita sambung kemudiannya. Terlalu misteri cinta itu. Ok. Assalamualaikum.

Friday 25 March 2016

Bahagiakan Ibumu, Ia Akan Menggandakan Rezeki Kamu

Teks: Siti Naimah Norman

[ UMI, AMBIL SAHAJA APA UMI NAK ]
Saya dan umi masuk ke pasaraya. "Umi kata nak cari barang dapur kan, jomlah".
"Haaa, ye jom". Kata umi sambil jalan beriringan dengan saya.
"Umi ambik je nak ambik apa". Kata saya.
Hati saya berbisik. "Macam tak cukup je duit ni". Saya intai dalam dompet ada RM100 sahaja. Sebelum tu sudah bayar duit ubat untuk umi.
"Ah, cukup insyaallah, adalah rezekinya nanti". Bisik saya kuatkan hati.

Umi kelihatan kekok. Jalan pusing-pusing dalam pasaraya. Nak pilih barang, dia lihat saya. Mungkin segan. Fikir saya.
Saya kata lagi, yakinkan umi. "Umi ambil je, takpe".
Saya tahu umi berkira-kira mahu mengambil barang. Namun, saya mahu gembirakan umi, saya mahu dia pilih apa dia mahu.
"Dalam keadaan aku kurang duit sekarang, aku berat nak memberi. Bagaimana jika aku dah banyak duit. Adakah aku mampu memberi". Kata hati saya.
Saya yakin, Allah akan gandakan Rezeki saya.

Habis pilih barang, kami ke kaunter nak bayar. "Ini je ke Umi?." tanya saya. "Sikitnya".
"Dah la ni". Jawab umi.
Jumlahnya tidak sampai RM100. Saya bayar dan kami beredar.
Apa yang saya belajar, jangan berat memberi walaupun kita kekurangan. Memberi sikit tapi konsisten lebih baik daripada beri banyak tapi tak ikhlas.
Percayalah! Yang kurang itu akan digandakan. :)

Wednesday 23 March 2016

Jadilah Hamba Yang Bersyukur, Kita Akan Rasa Bahagia.

Teks: Siti Naimah Norman
Gambar: Google

"Ya Allah, jadikanlah kami hambaMU yang bersyukur." Amin

Syukur masih ada tenaga, masih mampu bercakap, berdiri dan bergerak. Allahuakhbar!
Tanda kita hamba yang bersyukur adalah apabila kita tidak terlalu gembira mendapat sesuatu nikmat dan tidak mengeluh, marah atau merungut apabila diberikan ujian. 



Ujian tanda kasih sayang Allah. Tanda Dia mahu naikkan darjat kita. Berbahagialah apabila diuji. Saat kita rasa lelah dalam menghadapi kesusahan. Lihatlah kesusahan dan ujian orang lain, kita akan lebih ringan.

Ujian ketika senang tentu berbeza. Susah itu ujian, senang itu juga ujian. Jalani hidup ini seadanya. Hidup ini sebuah tanda tanya. Bersabar dan berusahalah sebaiknya. 

"Bahagia itu puncanya hati yang bersyukur" 
-Ustaz Ebit Lew

Target Membaca Cikgu Siti


smile emoticon



Untuk anak-anak cikgu. Yeah! Kita belajar ya nanti sayang. Hmm, Mingguan wanita itu untuk cikgu. Hehehe. Guru cikgu Puan Masayu Ahmad ada dalam tu. Tak dapat jumpa, dapat lihat gambar pun jadilah.

Ini target membaca Cikgu Siti:
1 bulan, 12 buah buku = 1 minggu, 3 buah buku. Perjuangan ilmu tidak pernah berhenti.

Insayallah. Membaca itu tanggungjawab, Wajib tau. Kita laksanakan dengan sebaiknya. Iqra' ayuh Iqra'. :)

Thursday 3 March 2016

Cara Halus Nak Pukau Suami Beli Barang Yang Kita Ingini

Gambar: Google

Isteri wajib baca ni.

"Abang pakai minyak wangi apa ni, bau macam tok imam". Tanya mama sewaktu dalam kereta semalam.

"Haa..tok imam? Biasalah abang alim sekarang. Hahaha". Jawab suami sambil ketawa.

"Eh eh. Yela. Amin". Kata mama mengaminkan kata-kaat suami itu.

"Bau minyak wangi yang kita bau pagi-pagi tu pun sedap". Kata mama lagi.

Teringat bau minyak wangi yang mama hidu tempoh hari.
Teringin nak beli tapi kena menabung dulu. Suka sebab baunya sedap sangat. Terpikat. HAsrat nak beli tiu terpendam dalam hati ini. 
"Bersabar". Kata dalam hati.

"Hmm, bau minyak wangi tu kuat sangat". Kata suami pula.

"Awak nak ke, kawan abang ada jual. Macam-macam ada, nanti abang tengokkan". Kata suami lagi.

Mama pun jawab. "Yeke, boleh juga bau yang lembut-lembut. Yang abang sukalah" .

"OK, nanti abang pilih". Kata suami.

Hah! Inilah rezeki namanya. Yes! Alhamdulillah. 
smile emoticon
Isteri, mahukan sesuatu, tapi tidak mahu susahkan suami. Segan. Berdoalah. Allah pasti akan tolong gerakkan hati suami. Sambil tu, berusaha. Cara halus tu. Mama dah ajar ni, apa lagi, buat tau! He he he.
Sedikit cara pukau suami yang halal.
1. Puji Suami. Puji perkara yang suami suka. Contohnya suami suka bersih. Pujilah dia wangi. Siapa cakap puji suami wangi tak penting? Penting tetapi jangan selalu. Macam pelik nanti. 

2. Cerita santai-santai tentang apa yang diingini. Contohnya nak beg tangan, jangan kata "Abang, beg ni cantikkan, nak boleh? Terlalu berterus terang pula. 
Cuba tanya suami. Tunjuk pada suami gambar beg yang kita nak itu, tanya pandangan suami, "abang cantik tak corak beg ni. Abang suka yang mana?

3. Menyokong dia apabila dia berbangga dengan dirinya. Contohnya suami bagitahu kita di pejabat dia paling rajin buat kerja. Kita pun meremehkan suami, "eleh abang, kt pejabat depan orang rajinlah, dekat rumah pemalas". Jangan kata begitu. Sokonglah suami. "Yeke abang, oklah tu"'. 

Selamat menjadi isteri cerdik yang solehah.
Salam Sayang;
Naimah Norman


Wednesday 2 March 2016

Sambal Sotong Mudah


Gambar: Koleksi Peribadi




Mama tak pandai masak, mama masak ikut suka hati. :) Janji boleh makan sudah.

Ini antara bahan yang mama gunakan.
1. Bawang besar
2. Bawang putih
3. Serai
4. Daun limau purut
5. Garam
6. Gula
7. Sos cili
8. Air
9. Cili kisar

Jangan marah mama, sukatannya mama tidak tahu sebab mama main agak-agak sahaja. Cili kalau nak pedas bagi banyak sikit. Masak untuk dua orang makan. Kalian boleh cuba jadi. Mudah sahaja nak masak ni. Mama suka yang senang dan cepat. :)

Cara - Caranya
1. Tumis bawang besar dan putih yang sudah dikisar
2. Masukkan serai sekali. Tumis hingga garing
3. Kemudian, masukkan cili kisar dan tumis sampai garing. Naik minyak.
4. Masukkan sedikit air, sos cili, garam dan gula.
5. Akhir sekali masukkan daun limau purut. Untuk wangikan sahaja. Jika tiada pun tidak mengapa. Jadi juga sambalnya. :)

Mudahkan mama masak.

Selamat mencuba.





Monday 29 February 2016

Hebatnya Aura Seorang Isteri / Suami.

Teks: Naimah Norman.


Salam dan selamat pagi semua!
Setiap pagi, usahakan salam dan peluk pasangan kita. Lihat dia pergi kerja dan doakan keselamatan dia. Ia akan meningkatkan aura positif dan ketenangan pada kita dan juga pasangan kita.





"Ya Allah ya tuhanku, selamatkan dan permudahkan urusan kerja suamiku/isteriku hari ini. Lapangkan rezekinya". Amin.


Selalu doa begitu sambil melihat pasangan kita berlalu pergi kerja. Lambai-lambai dan ucap Assalamualaikum. Ia sangat manis. Pasangan kita pasti merindui saat indah itu.


Hebatnya aura seorang isteri/suami. Yang sakit boleh terubat. Yang sempit boleh rasa luas. Yang gelisah boleh tenang. Aura positif mengalir dalam pelukan itu. Buatlah, anda akan rasa aura itu.

Pasangan kita, kawan baik kita, pengkiritik kita dan penyokong kita. Walaupun pasangan kita banyak kelemahan di mata kita, namun, ia adalah yang ditentukan untuk kita. Jaga ia sebaiknya.

Jika belum berkahwin bagaimana?
Salam dan peluk mak ayah kita. Mereka syurga kita. Bercinta hingga ke syurgaNYA.

Salam sayang :)
Siti Naimah Norman
(Mama Yang Bekerja Dari Rumah)

Monday 15 February 2016

Dua Cemburu Yang Wajib

Teks: Siti Naimah Norman
Gambar: Koleksi Peribadi

Assalamualaikum semua. :)

Terima kasih sudi berkunjung ke blog saya ini. Salam kasih sayang dan salam ceria. 

Siapa kuat cemburu? baik mengaku. Kata Dr Fadzilah Kamsah, siapa yang tidak ada rasa cemburu, dia tidak beriman. Kesimpulannya, kita perlu cemburu ya. :)

Dua orang yang kita wajib cemburu adalah,

1. Orang yang berilmu dan dia menyampaikan ilmunya kepada orang lain.
2. Orang kaya yang berharta dan dia memanfaatkan hartanya untuk orang lain.
Dari Ibnu Mas'ud, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Tidak digalakkan adanya perasaan iri hati melainkan kepada dua keadaan: (Pertama) keadaan orang yang dikurniakan Allah harta benda, serta menjadikannya menguasai dirinya menghabiskan hartanya itu pada perkara kebajikan yang sebenar-benarnya; dan (kedua) keadaan orang yang dikurniakan Allah ilmu pengetahuan agama, lalu ia beramal dengannya dan mengajarkannya."
(Bukhari, Muslim dan Tirmizi)
Orang berilmu yang menyampaikan ilmunya adalah mereka yang sebaik-baik manusia. Blog adalah medium pilihan saya untuk berkongsi ilmu.  Ilmu saya tidak banyak, jika saya simpan ia akan hilang tetapi jika saya kongsikan ia akan terus mengalir manfaatnya kepada orang lain. Tidak perlu tunggu semua sempurna baru nak sampaikan ilmu.

Saya minat menulis dan ketika belajar di universiti, saya pernah ada blog eimanmujahidah.blogspot.com. Blog itu saya bina untuk saya kongsikan tazkirah. Namun saya tidak konsisten menulis sehingga blog itu akhirnya bersawang. Terbiar begitu sahaja kerana kesibukkan saya dengan pelajaran dan aktiviti di kampus.

Namun, saya mula semula blog apabila saya aktif buat bisnes online pada tahun 2014. Saya mula aktif menulis dan menjana membina kerjaya di rumah semenjak kelahiran anak sulung saya Mohamad. Saya nekad sertai Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR). Saya suka belajar dan mahu belajar lebih banyak lagi. 

Alhamdulillah setelah setahun menulis dan belajar ilmu di ABDR, saya dapat peluang muncul di majalah PA & MA pada disember 2015. Ia hadiah ulangtahun pertama saya bersama ABDR. Pengalaman yang sangat tidak saya sangka. Saya muncul dalam majalah tersebut untuk slot "Bestnya, mama berhenti kerja".


💗Saya memang seorang mama yang meninggalkan kerjaya saya sebagi guru dahulu untuk fokus mendidik anak sendiri di rumah. Saya berusaha memikirkan alternatif dan peluang agar saya dapat menjana pendapatan tanpa saya tinggalkan anak dan urusan keluarga. 

Syukur, melalui ABDR, saya banyak belajar. Ia bukan sahaja medan untuk belajar blog, namun ia medan perkongsian pelbagai ilmu dan pengalaman. Saya juga berkenalan dengan ramai usahawan yang berjaya.




Saya ingin menjadi orang yang berilmu, berjaya, kaya dan memberi manfaat kepada orang lain. Kita tidak dilahirkan terus jadi hebat dan mahir. Kita perlu belajar. Jangan berhenti belajar OK. Sebab itu saya memilih menjadi penulis. Saya menulis dari rumah. Saya ingin membina kerjaya di rumah. 

Tulislah nasihat atau perkara baik. Jangan tunggu sempurna baru nak tulis. Sudah tulis, simpan dalam blog. Boleh rujuk semula dengan mudah. Orang lain dapat manfaat sama. Amal jariah berterusan walapun kita dah mati nanti.

“Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari)


Jadikan blog kita antara senarai yang teratas di google. Orang klik google, cari maklumat, blog kita akan muncul. Daripada google itu, orang jumpa maklumat tentang kita dan apa yang kita tawarkan. Blog sangat effektif. Pemasaran online percuma dan jimat. 


Akademi Bekerja Di Rumah tawarkan dua kelas blog iaitu,
1.  Kelas blog penulisan 
2.  Kelas blog bisnes.

Untuk pertanyaan lanjut atau untuk sertai kelas blog ini, boleh hubungi cikgu Siti atau whatsapp 0189069144. Insyaallah Cikgu Siti akan bantu.



Salam maju jaya semua. :)
Siti Naimah Norman.

Thursday 11 February 2016

Kukuhkan Bacaan Al Quran Dengan Kad Imbasan.

Teks: Siti Naimah Norman
Gambar: Koleksi Cikgu Siti

Assalamuaikum dan salam pagi khamis buat semua sahabat maya saya. Dalam kelas mengaji semalam, kami belajar tajwid. Anak murid baca ayat dan huruf berbaris pada kad imbasan. 

Antara aktiviti dan pelajaran kami dalam kelas ialah,
smile emoticon
√ Baca kad imbasan.
√ Mengeluarkan bacaan huruf berbaris dengan betul. 
√ Bezakan bacaan yang panjang dan pendek.
√ Hukum Mad asli.


Kelebihan menggunakan kad imbasan antaranya ia akan menaktifkan otak kanan dan otak kiri. Menguji daya ingatan. Menyeronokkan dan santai.

Asik baca kitab sahaja, lepas ini kita main sambil belajar ya anak-anak. Kelas cikgu Siti santai. Cikgu suka buat permainan supaya anak-anak murid cikgu seronok. Kelas dengan cikgu Siti tidak sama macam di sekolah konsepnya. Kelas Cikgu Siti konsepnya belajar sambil bermain. Yeah! :)



Monday 8 February 2016

Pengalaman Belajar Dan Mengajar Al Quran

Teks: Siti Naimah Norman

Pengalaman saya belajar dan mengajarkan Al Quran. Saya mula mengajar Al Quran kepada anak pensyarah ketika belajar di Universiti teknologi mara, Shah Alam. Ketika itu, saya semester 4. Saya lakukan secara sementara kerana saya ada komitmen yang tinggi pada belajar dan masa yang terhad.

Saya ada menyertai usrah di kampus dan program khatam Al Quran setiap kali hadir bulan Ramadhan. Melalui program inilah saya belajar dan konsisten membaca dan belajar Al Quran. Saya juga mengajar membaca Al Quran kepada rakan saya di universiti.

Semasa bekerja sebagai guru di sekolah swasta di subang, saya mengajar Al Quran di rumah orang. Waktu itu, saya mengajar secara personal. Setiap minggu, 2 kali saya datang ke rumah pelajar tersebut.

Sehinggalah saya berkahwin dan berpindah ke melaka sekarang, saya berusaha teruskan usrah kerana saya ingin terus belajar. Sekarang ini, saya sedang mengajarkan Al Quran kepada kenalan, anak-anak jiran dan bekas anak murid semasa saya mengajar di tadika IPD alor gajah, melaka. Sudah ada 11 orang anak didik saya yang konsisiten belajar Al Quran setiap minggu. Alhamdulillah.

Moga Allah terus kekalkan saya pada jalan ini. Perjuangan belajar dan mengajarkan Al Quran kepada orang lain. Amin.

Saturday 6 February 2016

Kisah Hijrah Cinta Siti Naimah Bab 3

Melalui kak Syafa, saya mula semula usrah dan konsisten mengaji Al Quran. Usrah ini telah lama saya tinggal sejak saya sambung belajar di ipta. Suatu kekesa;an pada diri saya kerana leka dengan kehidupan baru sebagai pelajar "U". Syukur Allah masih beri ingatan pada saya untuk membaca Al Quran. Hati saya sedikit tenang. Namun saya masih tercari-cari jalan untuk saya perbaiki kehidupan saya. 

Sesuatu yang terdetik di hati saya ketika itu, "aku harus ubah penampilan aku, aku nak pakai tudung labuh". Mungkin dengan cara ini saya rasa lebih selamat. Rasa lebih tenang dan mengawal tingakh laku saya. YAng paling penting saya mahu jauh daripada gangguan lelaki. Saya bukan tidak pernah memakai tudung labuh dulu, namun ia hanya di sekolah, bukan menjadi penampilan saya. Kini, hasrat hati saya kuat untuk berubah memakai tudung labuh kembali.

Saya suarakan hasrat saya kepada kak syafa dan dia sangat menyokong. Dia belikan saya tudung labuh berwarna krim. Saya nekad untuk berubah. Ketika peperiksaan akhir, saya pakai tudung itu. Saya rasa sangat tenang dan perasaan saya lain sangat. 

Walaupun agak janggal pada mulanya kerana saya sudah terbiasa memakai tudung pendek. Bila menyarung tudung ini, seluruh perasaan dan perilaku saya berubah. Alhamdulillah. Itulah perubahan terbesar yang saya lakukan apabila saya mula merapati Al Quran. Apabila sudah memakai tudung labuh, ia sebuah amanah buat saya. Saya mesti jaga amalan dan perbuatan saya. Memang benar, Al Quran penyelesaian kepada segala masalah di dunia ini. Alhamdulillah.




Thursday 4 February 2016

Kisah Hijrah Cinta Siti Naimah Bab 2


Sambung belajar di ipta. Saya belajar sesuatu yang baru. Berkawan dan ada geng. Masuk semester 1, saya ada kawan rapat. Geng seramai 12 orang.  "Group H".  Antara kawan-kawan saya. Salasiah Mohammad Zamziela Aliezmaz Safura Abd Rahman Yusoff Syahir Ahm Muhammad Jamaluddin Bazlan Haslam Hussain

Sekarang semua sudah membawa haluan masing-masing. Sudah berkahwin, belajar, kerja dan sebagainya.Yang pasti kami masih kawan selamanya. 

Bercerita mengenai berkawan, saya ini bukanlah pernah berkawan rapat apatah lagi nak jadi geng dengan yang berlainan jantina. Bila masuk group H ini, sebab kami kelas paling sedikit pelajar, memang jadi rapat. Lagi pun budak baru masuk universiti bukan ada kawan ramai. Masing- masing baru nak berkenalan dengan kawan baru dan belajar bersosial. Selama satu semester kami jadi geng.

Masuk sahaja semester 2, kami mula membawa haluan masing-masing kerana sudah berpecah daripada "group H" dan masuk ke kelas lain. Saya pun banyak bersendirian, pergi ke kelas sendiri. Sememangnya saya sudah terbiasa bersendiri pergi ke mana-mana sejak dari sekolah asrama lagi. Lebih mudah tidak perlu tunggu kawan. Bagi pandangan saya, saya suka sendiri tanpa bergeng.

Bermula dari detik itu, saya mula rasakan sesuatu yang kurang pada diri saya. Hati saya rasa tidak tenteram selalu, tapi saya tidak tahu apa perkara tersebut. Berkawan dengan lelaki barangkali membuatkan hati saya tidak tenang. Saya mula mencari solusi untuk memperbaiki diri dan mencari ketenangan. Saya kerap ke surau kolej dahlia, asrama tempat saya tinggal waktu itu untuk mendapatkan ketenangan jiwa. Saya mencari seseorang untuk saya kongsikan masalah hati saya.

Cabaran bergelar mahasiswi cukup besar bagi saya. Apa yang saya rasakan yang patut saya ubah adalah cara pergaulan saya. Saya akui berlaku sedikit kejutan budaya dan cara hidup. Saya bukan seorang yang suka bersosial apatah lagi berkawan rapat dengan lelaki. Saya tidak mahu berkawan rapat dengan lelaki tetapi ada sahaja yang ingin berkawan.


Perkara itu meresahkan saya. Mungkin bagi orang lain, ia perkara biasa, namun bagi saya, ia sangat janggal. Saya sering rasa gelisah seperti ada sesuatu yang mengganggu hati saya namun saya tak tahu apa perkara tersebut. Saya tercari-cari cara bagaimana ingin menenangkan hati saya. Saya berusaha bertanyakan pandangan pensyarah mengenai masalah saya namun saya tidak mendapat jawapan yang memuaskan. Saya rasa tiada tempat nak mengadu. 

Saya terus mencari dan suatu hari saya duduk dalam surau yang sama di asrama kampus, saya solat dan mengulangkaji pelajaran. Waktu itu, lagi beberapa minggu peperiksaan akhir akan tiba. Saya berkenalan dengan seorang kakak, namanya kak syafa. Lama saya perhatikan kakak ini. Lembut dan bertudung labuh. Saya jatuh hati dengan penampilannya. Saya ingin menjadi sepertinya.

Bersambung bab 3. Teruskan membaca ya. :)

Kisah Hijrah Cinta Siti Naimah Bab 1


Teks: Siti Naimah Norman
Gambar: Koleksi Peribadi


Hidup ini sebuah cerita. Kita belajar daripada kisah hidup orang lain. Orang lain belajar daripada kisah hidup kita. Kisah hidup ini pengalaman paling bernilai. Kongsikan agar orang lain dapat manfaat.

Ini cerita dari hati, kisah hidup seorang yang pernah jauh dari agama. Saya bekas pelajar sekolah agama. Namun, personaliti saya langsung tidak menggambarkan saya ini pelajar sekolah agama.

Saya belajar agama dan bertudung labuh, tapi hanya di sekolah. Sambung belajar di ipta. Pakai biasa-biasa sahaja. Penampilan pelajar sekolah agama itu hilang. Pakai tudung, tapi tudung pendeklah.

Nak cerita betapa jahilnya saya. Suatu hari, saya duduk di surau kolej dahlia, asrama di uitm Arau, Perlis. Saya lihat ada seorang kakak bertudung labuh. Saya perhatikan kakak itu. Dia ambil sejadah dan solat. Dalam pukul 10 pagi waktu itu.

Terdetik dalam hati saya, "dia ni solat apa, takkan solat subuh. Siang-siang camni solat. Pakai tudung labuh, tapi solat lambat". Begitulah kata saya dalam hati.

Jahil betul diri ini. "Solat dhuha pun kau tak tahu. Allah nak bagi kau hidayah sebenarnya. Kau yang tak perasan sebab kejahilan dan kesombongan kau". Begitulah monolog saya bila saya teringat kembali peristiwa itu. 

Waktu itu saya berumur 18 tahun, budak baru masuk "U". Banggalah konon masuk "U". Tapi jahil. Itulah kisah saya dulu. Sambungannya akan saya tulis dalam bab 2 nanti ya.


‪#‎cikgusiti‬
‪#‎memoriarau‬





Ajar Anak Menerima Kekurangan dan Bersyukur

Teks: Siti Naimah Norman Gambar: Koleksi Peribadi Baru siap jahit lencana anak. Mama rajin dan banyak masa sangat. Huhu. Hari ni baru si aba...