Showing posts with label Terapi Alam Rumahtangga. Show all posts
Showing posts with label Terapi Alam Rumahtangga. Show all posts

Saturday, 25 June 2016

Obses Compulsive Disorder (OCD) - Memberi Kesan Konflik Dalaman

Teks: Naimah Norman

OCD adalah sebuah penyakit yang tidak boleh dipandang remeh. Nampak biasa-biasa sahaja tetapi ia memberikan kesan samaada positif mahupun negatif.

Secara positifnya OCD kelihatan seperti kelakuan yang memberikan manfaat. Bersih, kemas, teratur, lengkap dan penuh berdisiplin.

Dalam pekerjaan atau pelajaran, ianya bagus untuk mendorong mencapai kejayaan.


Seseorang yang menghidapi penyakit ini juga adalah seorang yang sangat cerewet dan mementingkan kesempurnaan. Segalanya harus lengkap dan menuruti keinginan mereka.

 Jika mereka tidak dapat melakukan sesuatu yang menuruti keinginan dan pencapaian yang mereka mahukan, ia akan mencetuskan rasa marah, kecewa, gelisah dan kemurungan.

Kesannya kehidupan mereka akan sentiasa ada konflik dalaman. Tidak kurang juga ia akan mencetuskan konflik dengan orang disekeliling mereka.

Jika mereka berkahwin, pasangan mereka mesti harus sabar dan cuba memahami mereka.

Sikap cepat marah, baran dan mementingkan diri tidak lari daripada mereka. Itulah yang akan menjadikan sesebuah rumahtangga berantakan jika tiada persefahaman.




Thursday, 23 June 2016

Obses Compulsive Disorder (OCD) - Pengenalan

Teks: Naimah Norman
Gambar: Sumber Google

Assalamualaikum buat pembaca semua. Semoga berbahagia selalu. Alhamdulillah, semangat menulis kembali semula.

Doakan saya terus istiqamah menulis dan memberi manfaat. Maafkan andai ada kelemahan dalam penulisan saya.

Kali ini, saya nak kongsikan mengenai OCD atau nama penuhnya "Obses Compulsive Disorder". Ia adalah nama sebuah penyakit. Tapi bukan penyakit fizikal seperti darah tinggi atau jantung. Ia adalah dalam kategori penyakit mental. Ya, sakit mental.


Ok, secara ringkasnya penyakit ini adalah berkaitan dengan sikap obses atau tingkahlaku, serta kecenderungan yang keterlaluan. Kebanyakkannya dikaitkan dengan kebersihan, kekemasan dan kesempurnaan.


Sebagai contohnya, seseorang itu sangat menjaga kebersihan sehingga membasuh tangannya berkali-kali kerana dirasakan kotor.

Ia adalah kerana terdapat kelainan cecair dalam otak yang mendorong kepada tingkahlaku yang berulang-ulang tersebut. Banyak lagi faktor lain yang mempengaruhi terjadinya OCD ini.


Kenapa saya berkongsi dan mengkaji mengenai penyakit ini? Ianya kerana ia sangat dekat dengan saya.

Pengalaman saya berhadapan dan hidup dengan seseorang yang menghidapi penyakit ini memerlukan saya untuk lebih banyak belajar.

Allah beri sesuatu itu sesuai untuk kita dan baik untuk kita. Kita belajar sabar dan redha. Insyaallah, kita akan rasa nikmat dan ketenangan.



Thursday, 12 May 2016

Di manakah bahagianya berumahtangga?

Teks: Siti Naimah Norman

Kadang, rasa bosan, jemu dan hilang rasa seronok berkahwin. Inikah rumahtangga?

Inikah alam perkahwinan yang dikatakan penuh dengan kasih dan cinta.

Manisnya hanya seketika dirasakan.

Bahagianya entah di mana.



Pada 30 April lepas, saya pergi kenduri kahwin seorang sahabat lama. Kami sama-sama mengajar di sekolah di subang dahulu semasa sebelum saya berkahwin. Seronok rasa pergi kenduri. Lagi seronok dapat tengok majlis nikah. Kembali rasa aura pengantin baru tu. Syukur, saya dan suami sampai awal dalam pukul 10 pagi, kami sempat menyaksikan acara pernikahan di sebalik tingkap daripada luar rumah kawan saya itu.


Mengimbau kembali sewaktu saya bernikah dengan suami pada 24 mei 2013. Tahun ini tahun ke 3 perkahwinan saya. Selama melalui 3 tahun perkahwinan, sudah pasti ada ujian dan dugaan. Jujur, kadangkala saya putus harap. Suatu ketika saya kecewa dan ingin tinggalkan segalanya. Namun anak penguat. Bukan mudah melalui fasa-fasa perkahwinan tanpa cinta. 

Ya tanpa cinta. Saya tidak pernah bercinta dengan suami saya ini. Kami berkahwin dengan restu dan perancangan keluarga. Sebagai anak saya menuruti kehendak orang tua. Namun, saya mengambil masa yang agak lama untuk "menyiasat" latar belakang suami. 

Perasaan kasih, sayang dan cinta itu anugerah Allah. Bila-bila masa Allah berhak tarik semula perasaan itu. Ok sekian dahulu perkongsian saya, ada rezeki saya sambung kembali perjalanan cinta ini. Sungguh misteri.

Thursday, 3 March 2016

Cara Halus Nak Pukau Suami Beli Barang Yang Kita Ingini

Gambar: Google

Isteri wajib baca ni.

"Abang pakai minyak wangi apa ni, bau macam tok imam". Tanya mama sewaktu dalam kereta semalam.

"Haa..tok imam? Biasalah abang alim sekarang. Hahaha". Jawab suami sambil ketawa.

"Eh eh. Yela. Amin". Kata mama mengaminkan kata-kaat suami itu.

"Bau minyak wangi yang kita bau pagi-pagi tu pun sedap". Kata mama lagi.

Teringat bau minyak wangi yang mama hidu tempoh hari.
Teringin nak beli tapi kena menabung dulu. Suka sebab baunya sedap sangat. Terpikat. HAsrat nak beli tiu terpendam dalam hati ini. 
"Bersabar". Kata dalam hati.

"Hmm, bau minyak wangi tu kuat sangat". Kata suami pula.

"Awak nak ke, kawan abang ada jual. Macam-macam ada, nanti abang tengokkan". Kata suami lagi.

Mama pun jawab. "Yeke, boleh juga bau yang lembut-lembut. Yang abang sukalah" .

"OK, nanti abang pilih". Kata suami.

Hah! Inilah rezeki namanya. Yes! Alhamdulillah. 
smile emoticon
Isteri, mahukan sesuatu, tapi tidak mahu susahkan suami. Segan. Berdoalah. Allah pasti akan tolong gerakkan hati suami. Sambil tu, berusaha. Cara halus tu. Mama dah ajar ni, apa lagi, buat tau! He he he.
Sedikit cara pukau suami yang halal.
1. Puji Suami. Puji perkara yang suami suka. Contohnya suami suka bersih. Pujilah dia wangi. Siapa cakap puji suami wangi tak penting? Penting tetapi jangan selalu. Macam pelik nanti. 

2. Cerita santai-santai tentang apa yang diingini. Contohnya nak beg tangan, jangan kata "Abang, beg ni cantikkan, nak boleh? Terlalu berterus terang pula. 
Cuba tanya suami. Tunjuk pada suami gambar beg yang kita nak itu, tanya pandangan suami, "abang cantik tak corak beg ni. Abang suka yang mana?

3. Menyokong dia apabila dia berbangga dengan dirinya. Contohnya suami bagitahu kita di pejabat dia paling rajin buat kerja. Kita pun meremehkan suami, "eleh abang, kt pejabat depan orang rajinlah, dekat rumah pemalas". Jangan kata begitu. Sokonglah suami. "Yeke abang, oklah tu"'. 

Selamat menjadi isteri cerdik yang solehah.
Salam Sayang;
Naimah Norman


Monday, 29 February 2016

Hebatnya Aura Seorang Isteri / Suami.

Teks: Naimah Norman.


Salam dan selamat pagi semua!
Setiap pagi, usahakan salam dan peluk pasangan kita. Lihat dia pergi kerja dan doakan keselamatan dia. Ia akan meningkatkan aura positif dan ketenangan pada kita dan juga pasangan kita.





"Ya Allah ya tuhanku, selamatkan dan permudahkan urusan kerja suamiku/isteriku hari ini. Lapangkan rezekinya". Amin.


Selalu doa begitu sambil melihat pasangan kita berlalu pergi kerja. Lambai-lambai dan ucap Assalamualaikum. Ia sangat manis. Pasangan kita pasti merindui saat indah itu.


Hebatnya aura seorang isteri/suami. Yang sakit boleh terubat. Yang sempit boleh rasa luas. Yang gelisah boleh tenang. Aura positif mengalir dalam pelukan itu. Buatlah, anda akan rasa aura itu.

Pasangan kita, kawan baik kita, pengkiritik kita dan penyokong kita. Walaupun pasangan kita banyak kelemahan di mata kita, namun, ia adalah yang ditentukan untuk kita. Jaga ia sebaiknya.

Jika belum berkahwin bagaimana?
Salam dan peluk mak ayah kita. Mereka syurga kita. Bercinta hingga ke syurgaNYA.

Salam sayang :)
Siti Naimah Norman
(Mama Yang Bekerja Dari Rumah)

Thursday, 30 July 2015

Bertangguhlah Ketika Mahu Menjawab Kepada Pasangan Anda

Teks: Naimah Norman
Gambar: Google


Kadangkala dalam rumahtangga, akan wujud perbalahan. Itu perkara normal kerana suami isteri bukan dilahirkan daripada perut ibu yang sama. Keturunan, pendidikan, dan sikap yang sangat berbeza. Sedangkan adik beradik kita sendiri pun akan berselisih walaupun lahir daripada perut ibu yang sama, inikan pula suami isteri. Suami isteri memiliki perbezaan latar belakang, cara berfikir, cara bertindak dan segalanya berbeza.

Kadangkala pasangan kita seorang yang pendiam atau banyak bercakap. suka bercakap dan suka berceloteh. Ada pula yang tidak kurang celotehnya menyakitkan hati. Suka mengarah dan arahan yang diberi ibarat arahan seorang komander kepada ahlinya. Harus tegas, segera dan cepat. Jika lambat akan dihukum. Kebiasaan ini sikap suami. Jarang isteri yang bersikap suka memberi arahan. Jika ada pun, isteri yang suka minta sesuatu daripada suaminya dan merajuk jika tidak diberi. Mendesak suaminya memenuhi permintaannya sedangkan suaminya itu tidak mampu. Semua ini adalah ragam-ragam yang biasa akan dilalui oleh pasangan yang berkahwin.


Ketika berlakunya perselisihan atau salah faham. Apabila pasangan kita bersikap dingin, bercakap nada tinggi, marah-marah, membebel dan terus-terusan menyerang kita dengan pelbagai kata-kata. apa yang harus kita lakukan kepada pasangan kita itu? Adakah kita akan turut membalas marah, menengking, bercakap nada tinggi. Sekali pasangan kita cakap, masa itu juga kita bercakap. Kita jawab terus tanpa mendengar apa yang dicakapkan pasangan kita.

Kita tidak mahu dengar kerana rasa sakit hati jika mendengarnya. Berterus-terusan kita menjawab sehingga kita puas hati. Lega dapat balas balik apa pasangan kita cakap pada kita. Selepas itu kita masuk bilik mendiam diri. Tiada penyelesaian. Besok ulang lagi perkara yang sama. Itulah relaitinya terutama si isteri. Si suami pula keluar rumah. Melepak, merokok, jumpa kawan dan pulang lewat malam. Jika boleh, tidak mahu pulang.

Realitinya kita akan bersikap membalas balik percakapan pasangan kita. Ianya kerana kita rasa ego. Kita rasa kita lebih baik, lebih betul dan segalanya lebih pada kita. Hilang sudah rasa rendah diri, hormat dan mendahulukan pasangan kita.

Bagaimana harus kita bersikap tatkala pasangan kita bersikap marah-marah, membebel, bercakap dengan nada tinggi dan menegur dengan kata-kata yang tidak berhemah?

Bersabar.

Sabar itu sikap orang beriman. Namun, terdapat situasi kita begini, terutama isteri,

 "Saya memang panas baran, tak mampu bersabar, cepat je melenting dan balas balik, rasa puas apabila dapat menjawab". Puan A.

"Mana boleh sabar, ingat dia sorang je boleh cakap cmtu, kita balas balik la, baru puas hati" Puan B.

"Sabar je la, masuk bilik diam lagi bagus". Puan C.

Ada pebagai lagi respon si isteri.

Situasi si suami pula begini,

"Diamkan jela, buat tak tahu, lama-lama diamlah tu".  Suami A

"Lantaklah awak nak bebel apa, saya tak nak dengar".Si suami keluar meninggalkan isteri. Suami B

Sabar dengan tawakkal. Tawakkal bermakna berusaha baru berserah. Berusaha untuk bersabar. Bagaimana?

1. Diam dan zikir
2. Ambil wuduk
3.  Diam dan pandang pasangan kita dengan kasih sayang
4. Tarik nafas
5. Bila keadaan pasangan kita sudah tenang, barulah kita cuba bawa berbincang.

Cuba selesaikan perbalahan dan perbezaan pandangan itu tanpa melibatkan pihak ke tiga. Usahakan dengan sungguh-sungguh. Mulakan perbualan, jangan terus membisu dan membatu. Sabar dan terus berusaha. Allah bersama orang-orang yang bersabar.






Thursday, 14 May 2015

Para Isteri, Perbetulkan Kembali Niat Bekerja.

Teks: Naimah Norman
Gambar: Google


Tugas hakiki seorang isteri bukan bekerja mencari nafkah. Isteri tidak perlu fikir bagaimana hendak mencari nafkah tetapi isteri boleh menampung keperluan nafkah yang kurang.

Ada beberapa sebab isteri keluar bekerja seperti:

1. Memang suka keluar rumah bekerja. Gelisah jika duduk di rumah sahaja.

2. Membantu suami menampung kekurangan nafkah.

3. Kehendak suami yang mahukan isteri bekerjaya. Nampak profesional katanya.

4. Sayangkan sijil, diploma, ijazah jika tidak dimanfaatkan untuk bekerja.

5. Mahu memenuhi kehendak hati yang sukakan membeli belah atau miliki barangan idaman dengan duit sendiri. Kepuasan membeli dengan hasil titik peluh sendiri.

6. Suami pemalas kerja dan duduk goyang kaki sahaja di rumah.

7. Tuntutan keluarga mentua yang mahukan menantu bekerjaya.

8. Tercabar dengan ipar duai apabila sering ditanyakan perihal kerja apabila pulang ke kampung halaman.

Pelbagai lagi sebab yang menuntut wanita itu keluar bekerja. Tiada halangan dalam agama islam bagi seseorang wanita itu keluar bekerja selagi mana mendapat keizinan suami.

Namun islam menggariskan panduan agar tiada fitnah yang terjadi terhadap wanita yang keluar bekerja ini.

Antaranya:

1. Tiada unsur perilaku haram. Contohnya apabila seseorang wanita itu bekerja, dia terpaksa melakukan sesuatu yang haram seperti pecah amanah, mencuri, menipu, rasuah dan sebagainya.

2. Tiada percampuran antara lelaki dan perempuan yang melampaui batas. Contohnya bos seorang lelaki dan wanita yang bergelar isteri itu terpaksa menuruti segala kehendak bos termasuklah berdua-duaan tanpa tujuan yang baik. Tujuan selain bekerja.

3. Tidak melibatkan tempat yang haram sebagai contohnya, wanita itu terpaksa pergi ke tempat-tempat maksiat seperti disko, pusat perjudian, pelacuran semata-mata mahu mengadakan perbincangan sedangkan ia boleh dilakukan di pejabat.

4. Dikenakan peraturan berpakaian yang melanggar syariah, membuka aurat dan sebagainya.

Semua perkara di atas akan menjerumus wanita tersebut ke lembah kehinaan dan kehancuran. Namun, wanita yang berilmu akan mampu membezakan antara yang halal dan haram. Bekerja itu suatu perbuatan yang halal tetapi boleh jadi haram apabila terdapat unsur-unsur yang dinyatakan di atas.

Apabila bekerja, isteri perlu sentiasa perbetulkan kembali niat. Niat ini berada di dalam hati dan hati manusia ini sering berubah dan berbolak-balik. Berdoalah agar ditetapkan niat yang baik sepanjang bekerja. Agar ia menjadi amal jariah di akhirah kelak. Menjadi sedekah yang akan kekal selepas mati. Menjadi inspirasi buat suami dan anak yang ditinggalkan apabila keluar bekerja. Ikhlaslah bekerja kerana Allah.

"Sesungguhnya setiap perbuatan itu bermula dengan niat" (Imam Nawawi)

Kesan apabila tidak ikhlas apabila bekerja?

1. Bekerja itu tidak lagi menyeronokkan malah merasa terbeban.

Rasa tidak seronok kerana suami tidak menghargai isteri yang bekerja. Tiada kerjasama suami yang tidak membantu sama isteri soal kerja rumah.

2. Sering bertengkar dengan suami soal kewangan padahal dua-dua bekerja.

Duit tidak cukup malah sering habis sebelum akhir bulan. Rasa sayang dengan duit yang diperolehi daripada hasil bekerja akan menjadikan wanita itu mengungkit dan berkira soal duit.

3. Sering mengeluh atas beban kepenatan bekerja.

Soal kerja rumah tangga tidak lagi terurus dengan baik.

4. Anak-anak sering menjadi mangsa kemarahan.

Anak-anak yang ditinggalkan sering merengek kerana mahukan perhatian. Anak-anak mahu ibu bapanya berbual-bual, bermain dan memeluk mereka. Setelah seharian penat bekerja, semua kehendak anak itu tidak dapat dipenuhi. Kemarahan akan terjadi kerana rasa penat dan tertekan. Anak-anak akan menjadi tempat melepaskan kemarahan itu. Boleh jadi juga kemarahan yang dilepaskan kerana rasa tidak puas hati terhadap suami.

Itulah antara kesan apabila tidak ikhlas bekerja. Hilang keseronokkan, hilang nikmat dan keberkatan. Perbetulkan kembali niat wahai para isteri. Bersihkan hati supaya rezeki akan diberkati dan menyelamatkan suami daripada disoal di akhirat kelak. Suami akan disoal atas segala perbuatan isterinya. Apabila isteri bekerja tanpa kerelaan hatinya atau mendapat paksaan daripada pihak suami, bermakna suami tersebut telah mengabaikan hak isteri yang sepatutnya. Isteri, tempat yang terbaik untuknya adalah di rumah. Terhindar dari ganguan luar dan fitnah di tempat kerja.


Pandangan Lelaki Terhadap Wanita Bekerjaya

Sumber: http://kenjii88.blogspot.com/2011/11/wanita-bekerjaya.html

Sebentar tadi aku sempat berbual dengan umi tentang beberapa perkara. Antara isu menarik yang kami bualkan ialah berkenaan dengan situasi wanita zaman sekarang yang kebanyakan mereka memilih untuk bekerjaya.

'Firstly', bagi aku keadaan zaman moden sekarang adalah normal dan sudah menjadi kebiasaan bagi kaum hawa untuk bekerja, mempunyai karier dan pendapatan sendiri. Ini adalah pandangan peribadi aku secara umum dan aku yakin kebanyakan kaum hawa setuju dengan pendapat ini.

Gambar hiasan
Tapi sebentar lagi mungkin kaum hawa akan mula menentang dan kemungkinan tak bersetuju dengan pandangan aku yang seterusnya.


Wanita yang bekerjaya ada kebaikannya dan ada juga keburukannya. Antara kebaikkan bagi wanita yang bekerjaya ialah mereka akan belajar berdikari, mereka tahu kesusahan dan kepayahan kaum adam yang memang tugas kami mencari dan memberi nafkah kepada ahli keluarga.


Selain itu juga dalam hidup berumah tangga, kaum hawa yang menjadi isteri kepada suami sudah tentu dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung oleh suami. Jadi dengan pendapatan hasil daripada pekerjaan mereka itu dapatlah menampung segala perbelanjaan seisi rumah dan boleh hidup lebih senang, insyaAllah..


Walau bagaimanapun ianya perlu bergantung kepada situasi. Jika wanita itu bujang maka terpulanglah kepada mereka untuk memilih untuk bekerja ataupun tidak kerana itu adalah hak individu. Akan tetapi jika wanita tersebut sudah berkahwin, sudah menjadi 'concern' bagi si suami untuk membenarkan ataupun tidak isterinya untuk bekerja.


Secara peribadi, aku memang tidak menggalakkan wanita ataupun secara lebih khususnya adalah isteri untuk bekerja. Banyak keburukannya daripada kebaikan. Antara keburukannya ialah masa bersama keluarga akan menjadi terhad. Bekerja adalah tanggungjawab utama bagi seorang laki ataupun suami sebab untuk mencari nafkah. Jika suami balik dalam keletihan dan dalam masa yang sama si isteri juga pulang daripada kerja dalam keletihan, jadi bilakah masanya kedua-dua suami isteri ini akan ada masa yang selesa untuk bersama?


Jika si isteri tidak bekerja sudah tentu isteri akan menunggu kepulangan suami dengan gembira dan boleh menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan lebih baik seperti menyediakan makanan untuk suami dan sebagainya. Sudah tentu si suami juga akan gembira dan akan hilang segala penat lelah seharian bekerja.


Bagaimana pula dengan masalah cuti yang tidak sama? Bagaimana pula dengan pasangan yang perlu outstation? Bagaimana pula jika salah seorang ditukarkan tempat bekerja? Semua ini adalah masalah-masalah yang perlu difikirkan jika si isteri ambil keputusan untuk bekerja. Bahagiakah rumah tangga jika berlaku perselisihan dalam hal-hal begini dan semua ini akan menjadi bahan ungkitan.


Selain itu faktor  anak-anak juga menjadi penyebab kenapa aku tidak bersetuju jika wanita ataupun isteri yang bekerja. Ingatlah, tujuan seorang lelaki berkahwin bukanlah untuk mencari seorang isteri untuk dirinya semata-mata, tetapi dia juga inginkan seorang ibu dan guru untuk anak-anak nya nanti.


Jika seorang isteri ataupun ibu itu bekerja, bilakah masanya untuk suami dan anak-anak? Siapakah yang akan menggantikan tugasannya untuk mendidik anak-anak di rumah? Adakah amah yang sepatutnya menggalas tanggungjawab tersebut? Sama sekali tidak. Sudah tentu seorang ayah mahukan yang terbaik untuk  anak-anaknya. Jadi seorang isteri adalah seorang ibu dan guru yang terbaik untuk  anak-anaknya.


Aku tahu antara sebab lain wanita ingin bekerja adalah kerana tidak mahu menyusahkan suaminya mencari nafkah seorang diri. Jadi jika mereka bekerja, mereka tidak perlu lagi menggunakan duit suami untuk memenuhi keperluan mereka. Tapi wahai wanita, anda perlu tahu walaupun kamu bekerja, suami masih wajib melaksanakan nafkah ke atas kamu. Jadi walaupun wanita bekerja, si suami masih juga wajib menanggung si isteri. Jika tidak berdosalah si suami.


Antara sebab lain wanita ingin bekerja adalah sebagai persediaan jika mereka ditinggalkan ataupun si suami meninggal dunia. Maka mereka takut kehilangan tempat bergantung sekiranya mereka tidak bekerja. Yup memang betul. Tapi jika dari awal lagi berfikiran begitu bermakna kita tidak percaya dengan qada' dan qadar yang Allah telah tentukan. Jika takut begitu lebih baik hidup seorang diri dari awal lagi. Cuba kita lihat nenek moyang kita dahulu, tiada pun berlaku seperti mana yang kita fikirkan sekarang.


Para wanita, anda jangan salah paham. Semua ini bergantung kepada situasi juga dan ini sekadar pandangan peribadi aku sahaja. Aku sendiri pun jika keadaan memaksa, insyaAllah aku juga akan membenarkan my future wife untuk bekerja. Contohnya pendapatan suami tidak mencukupi untuk menyara keluarga ataupun untuk hidup sedikit senang, jadi pada masa itulah suami perlu membenarkan si isteri bekerja.


Jika sudah ada persetujuan kedua-dua belah pihak bolehlah teruskan seperti apa yang dirancang. Jika suami tidak bersetuju lebih baik tidak bekerja kerana kerjaya paling mulia bagi seorang wanita ialah menjadi seorang isteri yang solehah untuk suaminya dan menjadi ibu dan guru sepenuh masa untuk anak-anaknya.

Cabaran Wanita Bekerja

Sumber: Utusan Online.
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140415/ke_01/Cabaran-wanita-bekerja
Oleh NURSYAMIMI SAIDI
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH

Penglibatan dan peranan wanita dalam pelbagai aspek pembangunan negara sememangnya tidak pernah dipertikai. Hampir dalam setiap sektor sama ada ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya, sumbangan wanita begitu jelas.

Malah, budaya hidup masyarakat di negara ini juga sudah menerima wanita sebagai penyumbang kepada ekonomi keluarga, apatah lagi dengan keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi seperti sekarang.

Begitupun, wanita bekerja mempunyai cabaran tersendiri lebih-lebih lagi apabila pada masa sama mereka memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

Terikat dengan pelbagai peraturan dalam sektor pekerjaan yang perlu dipatuhi termasuk waktu kerja yang tidak anjal, membuatkan mereka sukar memenuhi kesemua peranan tersebut dengan baik.

Tekanan pasti berganda apabila persekitaran serta orang sekeliling terutama majikan dan ahli keluarga tidak membantu bagi memudahkan lagi keadaan.

Sebagai contoh, tiada sokongan dari segi kemudahan pusat penjagaan anak di tempat kerja, waktu kerja tidak anjal, pasangan atau suami yang kurang memahami beban kerja dan sebagainya.

Sebagai wanita bekerjaya yang mempunyai keluarga dan anak-anak, Rosmala Nasir, 50, cukup memahami dilema yang dihadapi oleh golongan Hawa ini.

Bagaimanapun, sebagai Pengarah di Perception Management, sebuah syarikat perhubungan awam dan komunikasi terkenal di ibu negara, Rosmala tidak menjadikan halangan tersebut sebagai alasan untuk berjaya.

"Saya tidak nampak mengapa sebagai wanita kita tidak mampu menguruskan kedua-duanya, kerjaya dan keluarga, dengan baik.

"Malah, lebih menyedihkan apabila sesetengah wanita terpaksa membuat pilihan sehingga ada antara mereka yang terpaksa berpisah dengan suami dan anak-anak demi mengejar kerjaya dan tidak kurang pula yang berhenti kerja kerana ingin memenuhi tanggungjawab kepada keluarga," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurut Rosmala, tidak ada salahnya jika seseorang wanita itu mahu mengutamakan kerjaya, tetapi perlulah bijak membahagikan masa tanpa perlu mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri.

Beliau tidak menafikan, ramai wanita bekerjaya bergantung penuh kepada pembantu rumah bagi membantu mereka melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga.

Namun, itu bukan bermakna mereka boleh lepas tangan kerana gejala sosial yang berlaku di kalangan remaja hari ini kebanyakan berpunca daripada kurangnya perhatian ibu bapa pada anak-anak ini.

Wanita harus sedar bahawa kesibukan mereka dalam menguruskan kerjaya haruslah diseimbangkan dengan tanggungjawab mereka kepada rumah tangga.

"Tentunya seorang ibu memainkan peranan yang penting dalam melahirkan satu generasi yang berkembang baik dari aspek rohani dan jasmani," tambahnya lagi.

Rosmala yang berpengalaman bekerja selama 30 tahun dan mempunyai dua orang anak yang berusia 22 tahun dan 16 tahun, tidak pernah menjadikan alasan kesibukan bekerja sebagai penghalang untuk melihat anak-anaknya membesar di depan mata.

Beliau akan memastikan bahawa pada setiap pagi akan menghantar anaknya ke sekolah dan aktiviti bersama-sama anak akan tetap dijalankan walaupun tidak mempunyai masa untuk melakukan aktiviti luar.

"Saya akan menonton televisyen bersama suami dan anak-anak, makan bersama-sama, malah berkongsi minat dengan anak saya.

"Walaupun perkara tersebut nampak kecil, tetapi anak-anak akan menghargainya kerana kita memberi perhatian kepada mereka," ujarnya.

Rosmala mengakui wanita bekerjaya tidak dapat lari daripada tekanan yang mungkin berpunca daripada pelbagai perkara.

Apabila bersikap tidak profesional, wanita-wanita ini akan terbawa-bawa masalah di rumah ke tempat kerja sehingga mengganggu prestasi atau pun pekerja-pekerja menjadi mangsa ketidakpuasan hati mereka.

"Kita sebagai wanita dan majikan perlu pandai menangani tekanan kerana perkara ini akan melibatkan semua orang di tempat kerja.

"Jangan rendahkan martabat anda sebagai seorang wanita dengan berperangai sedemikian sehingga mengundang kata-kata buruk di belakang," ujarnya.

Katanya, gelak-ketawa merupakan kaedah paling mudah dan terbaik untuk mengurangkan tekanan.

Kongsi jenaka bersama rakan sekerja dan belajar untuk berehat serta tidak memaksa badan melakukan tugas-tugas di luar kemampuan.

Dalam pada itu, ada juga wanita yang terlalu memuaskan hati orang di sekeliling, tetapi tidak pada diri sendiri.

Tanggapan mereka supaya apa yang mereka lakukan itu dapat menggembirakan majikan, rakan sekerja, atau anak-anak di rumah perlu diutamakan, itu perlu diubah kerana diri sendiri perlu diberi penghargaan dahulu.

"Kita bekerja keras siang dan malam semata-mata mahu puaskan hati orang sangat tidak berbaloi. Sekurang-kurangnya, hargai diri anda dahulu sebelum memuaskan hati orang lain.

"Cukup sekadar kita meluangkan masa di spa, membeli-belah, atau keluar bersama rakan-rakan dan perkara ini akan membuatkan anda sentiasa berasa gembira untuk terus bekerja walaupun mempunyai tanggungjawab di rumah," ceritanya lagi.

Tentunya kepada golongan wanita bekerjaya yang bergelar ibu, amat memerlukan tempat kerja mesra ibu, yang memberikan perkhidmatan penjagaan anak-anak yang berkualiti dan selamat dengan kos yang mampu ditanggung.

Jika halangan sebegini tidak mampu diuruskan dengan baik oleh pihak sewajarnya, maka amatlah rugi kepada negara kerana tidak menggunakan kepakaran dan kemahiran yang mereka miliki untuk membantu mengembangkan lagi pembangunan negara dan kepekaan mereka terhadap keperluan pekerja wanita perlulah diutamakan.

Sunday, 19 April 2015

Suami Menjadi Sebab Saya Tidak Mahu Berhenti Kerja

Teks: Siti Naimah Norman
Sumber Gambar: Google


"Suami menjadi sebab utama saya tidak mahu berhenti kerja". Luahan seorang wanita.

"Suami mahu saya berhenti kerja dan mengikut dia berhijrah. Dia mahu saya jaga anak. Selama 2 tahun berkahwin, banyak duit saya yang digunakan untuk menampung perbelanjaan rumah, anak dan keperluan lain".

"Pakaian pun saya beli sendiri. Kami duduk berasingan kerana masing-masing ada komitmen pada kerjaya. Sehingga sekarang kami masih tiada kata putus untuk tinggal bersama".

Allah! Sayu hati mendengar luahan wanita itu.

Sambungnya lagi. "Bukan tidak mahu tinggal bersama dengan suami, tetapi saya bimbang suami akan jadi lebih kedekut. Saya yakin rezeki dari Allah. Tetapi apabila melihat sikap suami yang sangat berkira soal makan, pakaian dan dalam segala hal berkira. Jika saya berhenti kerja, siapa nak tanggung keperluan anak. Saya makan hati memendam perasaan".

"Suami kata dia penat tanggung semua kerana gajinya kecil dan dia tidak mampu. Bagaimana saya nak yakin suami mampu atau tidak sedangkan gaji dia pun saya tidak pernah tahu. Dompet melekat sentiasa di badannya".

"Kadangkala saya lihat suami beli telefon baru, sedangkan saya punya sukar nak beli apa-apa kerana fikirkan benda yang lebih penting. Upah mengasuh saya yang dahulukan, ubat anak juga saya bayar".

"Suami bagi RM300. Kadangkala RM200. Banyak itu sahaja untuk keperluan saya sedangkan kami hidup berasingan. Bukan saya tidak bersyukur, tetapi saya rasa tidak berpadanan dengan kemampuan suami."

Dia tidak menangis. Matanya sahaja yang kelihatan merah kerana menahan rasa sebak yang mendalam.

"Kuatnya wanita ini, jika aku diuji begini, bagaimana keadaanku, aku pun aku tidak pasti. Dia sangat tabah". Saya berkata dalam hati.

Ini kisah benar seorang kenalan saya. Sayu hati apabila mendengar luahan hati dia. Berapa ramai wanita sanggup mengorbankan diri untuk bekerja demi menampung perbelanjaan anak dan keperluan lain. Di mana kepentingan suami dalam menjaga isteri dan anak. Perkahwinan bukan lagi menjadi ibadah tetapi menjadi tiket ke neraka.

Kehidupan kini bukan lagi suatu kepelikkan jika suami isteri bekerja tetapi bukan bermakna suami boleh sewenang-wenangnya mengabaikan keperluan isteri dan anak. Saya akhiri cerita ini dengan pendapat seorang ustaz apabila ditanyakan perihal kerjaya bagi seorang isteri;

"Suami tidak boleh memaksa isterinya bekerja kerana tanggungjawab nafkah keluarga adalah kewajipan suami. Tetapi si isteri atas rasa simpati dan rela hati boleh bekerja untuk membantu suami kerana suasana hidup sekarang ini tidak sama dengan kehidupan zaman ibu ayah kita dahulu. Terutama jika si suami tidak ada kelulusan dan berpendapatan kecil, tanggungan anak ramai dan sebagainya.

Para suami kena ingat bahawa wang pendapatan isteri adalah haknya, dan atas budi bicaranya saja untuk kegunaan wang tersebut dibelanjakan untuk keluarga. Peru reda meredai untuk menjamin kerukunan rumah tangga". ( Ustaz Abu Basyir)


Monday, 16 March 2015

Dilema Seorang Suami


Teks: Siti Naimah Norman
Sumber Gambar: Google

Lelaki adalah insan yang sukar meluahkan isi hati. Di sebalik kegembiraan tersembunyi kesunyian, kekosongan dan kedukaan.


Seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita. Wanita itu menjadi pilihannya kerana hatinya sudah jatuh hati dengan pesona wanita itu. Wanita itu kelihatan anggun, berkeyakinan dan miliki kerjaya tetap. Dia seronok berkahwin dengan wanita itu. Begitu juga wanita itu. Mereka saling mencintai satu sama lain.

Setahun berkahwin, mereka telah dikurniakan seorang anak. Masuk tahun ke dua perkahwinan. Hatinya kadangkala gelisah. Dia tidak tahu hendak diluahkan bagaimana. Saban hari, dia merasakan hatinya kian kosong. Apabila pulang ke rumah. Dilihatnya isteri tiada, dia setia menunggu isterinya pulang lewat daripada kerja. Dia bersabar kerana dia memahami rutin kerja isterinya yang sibuk. Anak, dia yang ambil daripada rumah pengasuh. Waktu pagi isterinya yang menghantar. Pulang pula dia yang mengambilnya.

Setiap kali pulang dari rumah, jika isterinya pulang awal, dia melihat isterinya menghadap komputer. Kadangkala sampai ke malam dan subuh. Isterinya menyiapkan kerja pejabat yang tertangguh.

Dia memahami, namun pernah juga dia bersuara, "yang, sudah-sudah la kerja tu, jangan berjaga sampai larut malam nanti besok nak kerja mengantuk". Isterinya akur dan berhenti membuat kerja. Namun beberapa hari kemudian, dia terpaksa berjaga malam lagi menyiapkan kerja. Dia rasa perlu kerja keras untuk menghasilkan hasil kerja yang berkualiti.

Hal itu berlarutan, si isteri kadangkala, sibuk berbalas "massage" di "whatsapp". "Facebook chat". Isterinya itu menjalankan bisnes online secara sambilan. Kebiasaan selepas tamat waktu bekerja, dia akan "update" aktiviti bisnesnya. Hal itu sering membuatkan dia dan suami berselisih. Dia berharap suaminya memahami. Dia melakukan semua untuk membantu suaminya. Meringankan beban suaminya.

Suami kian merasa sepi dengan kesibukkan isteri. Rakannya di pejabat menjadi teman gurau dan sembang. Kadangkala, bukan dia tidak bersembang dan bergurau dengan isterinya, namun hatinya tidak seronok. Rasa berlainan. Kadangkala bergurau dengan rakan-rakan di pejabat dirasakan lebih menyeronokkan. Isterinya terlalu serius dan kurang manja baginya. Kadangkala dia merasakan seronok bersembang dengan rakan perempuan di pejabatnya sehingga dia merasakan dia seperti bujang. Bebas bersembang.

Dia pulang ke rumah, bermain dan bergurau dengan anaknya. Dia rasa seronok. Anak itu menjadi asbab dia pulang ke rumah. Hanya anaknya yang diingatinya. Hatinya kesunyian dan pernah juga dia terfikirkan perempuan lain. Perempuan lain mungkin akan dapat mengisi kekosongan hatinya. Isterinya tidak lagi berada di hatinya. Mereka telah jauh. Jauh di hati walaupun dekat pada jasadnya. Hendak bernikah lagi, namun kewangannya tidak mengizinkan.

Namun demikian, haruskah dia bernikah lagi untuk mengubati kekosongan hatinya? Persoalan itu sering bermain di mindanya. Ada isteri, namun hatinya kosong dan sunyi. Perkahwinan dirasakan tidak lagi nikmat. Dia dan isteri disibukkan dengan kerja. Mereka sudah jarang bersembang mesra. Hanya bercakap perkara yang perlu. Jika di hujung minggu, dia menghabiskan masa dengan tidur kerana penat sepanjang minggu bekerja. Bangun untuk solat dan sambung tidur semula. Namun hakikat perkahwinan harus diteruskan. Itulah hakikat naluri seorang lelaki. Kesunyian dan kesepian. Tidak terluah dan terpendam di sudut hati yang dalam.



Tuesday, 10 March 2015

Mengkritik Isteri Dengan Pujian Dan Gurauan.

Teks; Siti Naimah Norman

Wanita itu perhiasan. Sebaik-baik wanita adalah yang menjaga diri dan maruahnya. Allah menaikkkan darjat wanita dengan pelbagai ganjaran serta menjaga wanita itu merangkumi segala aspek kehidupan. Allah menceritakan perihal wanita dalam surah An Nisa. Begitu hebat sekali kasih sayang Allah pada wanita.  Surah ini istimewa untuk wanita. Dalam ayat 4 surah ini, Allah memerintahkan agar lelaki yang ingin menikahi wanita agar membayar sejumlah mahar kepada wanita tersebut.

 "Dan berikanlah mas kahwin (mahar) kepada perempuan yang kamu nikahi sebagai pemberian yang penuh kerelaan".

Arahan Allah ini adalah untuk menjaga hak wanita tadi dan mendidik lelaki agar bersungguh-sungguh dalam menikahi wanita. Pernikahan bukan perkara mudah. Ia menuntut pengorbanan dan saling memahami antara suami dan isteri. Setelah berkahwinnya wanita dengan suaminya itu, adalah menjadi kewajipan suami menjaga zahir dan batin wanita tersebut. 
 Peranan suami sangat besar dalam pembinaan akhlak seorang isteri. Sering berlaku pertelingkahan antara suami dan isteri kerana tiada kelembutan dalam berkata-kata. Daripada kata-kata akan terkesan ke dalam hati. Pembentukan akhlak manusia bermula daripada hati. Jika bersih hati, maka bersihlah segalanya. Jika kotor hati, maka kotorlah kehidupan.

Bagaimana suami dapat memainkan peranan dalam membentuk akhlak isteri?

Ianya bermula dengan sikap. Apa yang terlihat pada mata isteri, itulah yang akan menjadi contoh teladan. Wanita sifatnya umpama tulang rusuk. Tulang rusuk bentuknya bengkok. Untuk mendidik wanita, ianya perlukan kepada kelembutan. Bukan mendidik dengan kemarahan dan kritikan. Bukan tidak boleh mengkritik, tetapi kritiklah dengan pujian. 
......................................................................................................................................................
Suatu hari,isteri telah memasak lauk kegemaran suaminya iaitu sambal pedas.
Isteri tadi merasakan sambal tadi cukup istimewa untuk dihidangkan kepada suaminya itu. Tibalah masa dia mempersembahkan sambal itu kepada suaminya. Suami pun merasa secubit sambal, lalu suami itu berkata;

"Sambal apa ni awak buat, pelik je rasanya. kenapa warnanya hitam?".

Si isteri menjawab pantas, "ini sambal hitam abang, memang warnanya hitam sebab tu dipanggil sambal hitam". Hati isteri rasa gembira dan berdebar menanti reaksi suaminya. 

Suami berkata lagi "Dah la warna tak menarik, tak sedap pulak tu. Biasa abang makan 
sebelum ni takde macam ni. Awak kalau tak tahu nak masak, tak payah masak. Membazir tahu tak, hilang selera saya nak makan". Berlalu si suami dari dapur meninggalkan isteri.

Tersentap si isteri dengan reaksi suaminya itu, lalu mengalirlah air mata jernih di pipi. Bermonolog dia dalam hati "aku masak sungguh-sungguh, tetapi kritikan ni yang aku dapat". 
.......................................................................................................................................................
Keesokkan harinya, suaminya pulang dari kerja seperti biasa. Seharian dia berlapar kerana sibuk dengan kerja di pejabat. Dia ke dapur dan dilihatnya tiada satu pun hidangan di atas meja makan, lalu dia memanggil isterinya.

"Yah, kenapa awak tak masak hari ni? Saya nak makan apa? Awak tahu tak saya penat dan lapar balik kerja!" Suami memarahi isterinya itu.

"Tak sempat abang, saya penat sangat balik kerja tadi" Jawab isteri.

"Masak je la apa-apa, asalkan boleh makan" Jawab si suami.

"hmm, abang ni, kalau saya masak abang  komen itu, komen ini. Kalau saya tak  masak abang komen dan marah-marah. Makan je la kat pejabat tu, asalkan boleh makan" . 
Jawab isteri geram.

 Setelah sekian lama memendam perasaan, akhirnya dia meluahkan juga. Geram dengan sikap suaminya itu. Dia masuk bilik dan rebahkan badan atas katil. Kepenatannya belum hilang lagi. Suami pula marah-marah, dia rasa tertekan sangat.

Terdiam si suami mendengar jawapan si isteri. Selama ini, isterinya itu idak pernah menjawab dan dia bukan niat nak marah. Dia hanya mahu berterus terang." Jika tak sedap, dia katakan tak sedap. Jika tak selera, dia katakan tidak selera."
..................................................................................................................................................

Apalah salahnya jika suami tadi mengkritik, tetapi haruslah dengan pujian. Jika lebih kreatif dengan gurauan. 

"Yah, kenapa sambal ni hitam ya? awak masukkan apa jadi hitam macam ni, takut pula abang nak makan. Kalau sambal ni warna merah, abang lagi selera nak makan" Katakan sambil ketawa kecil. 

Gurauan itu akan menceriakan hati. Jangan marah. Wanita sangat mudah terasa hati jika suami memarahinya atau bercakap dengan nada yang tinggi. Wanita hatinya sangat lembut dan bengkok seperti tulang rusuk. Jika Suami cuba mendidiknya dengan kekerasan dan kemarahan, maka tulang rusuk tadi mungkin akan patah. Tulang rusuk kedudukannya sangat dekat dengan hati. Sebab itu, wanita sangat mudah sakit hati. Jika tulang rusuk yang patah tadi tercucuk pada organ hati, hati mungkin akan luka. Jika luka itu tidak diubati, ia kemungkinan akan membengkak dan bernanah. 

Kekerasan dan kemarahan akan membuatkan hati wanita memberontak. Wanita fitrahnya suka pada teguran dan didikan tetapi teguran haruslah dengan nada dan bahasa yang sopan dan lembut. Itulah wanita. Kadangkala wanita ini sikapnya seperti anak kecil. Suka merajuk dan memendam rasa. Anak kecil sangat suka merajuk dan kadangkala memberontak. Ianya kerana mereka tagihkan perhatian.

Perhatian, pelukkan, belaian dan kata-kata yang baik akan memberikan kesan positif pada hati anak tersebut. Sama seperti wanita. Kesan hati yang positif pada wanita akan melahirkan akhlak yang baik. Mereka menjadi isteri yang baik, sopan dan menjadi teladan pada anak-anak.

Suami berperanan untuk belajar berkata-kata dengan lembut dan menggunakan nada yang baik. Ianya qudwah Rasulullah. Dalam apa sahaja yang dilakukan, haruslah tujuan utamanya untuk mendidik dan memberikan manfaat. Belajarlah untuk berlembut kerana ia sifat rasulullah.  


Thursday, 5 February 2015

Suami Isteri Saling Mengungkapkan Perkataan "TOLONG".

Teks: Siti Naimah Norman
Sumber Gambar: Google



Kadangkala kita sering meminta pasangan melakukan sesuatu, tetapi kita beraksi sebagai 'bos' .

SITUASI SUAMI:
Seorang suami meminta isterinya buat air. Dialognya seperti ini:
"Sayang, buat air kopi panas ye, kurang manis. Nanti letak atas meja depan 'TV'. Lepas mandi Abang nak minum".

Nampaknya seperti bos sedang memberi arahan kepada pekerjanya di pejabat.

Si isteri yang sedang membasuh pinggan tergesa-gesa membancuh kopi untuk suaminya. Gayanya seperti amah sedang membuat kerja rumah.

Ingat wahai suami, isteri bukan amah dan pekerja. Seorang suami seharusnya mengungkapkan perkataan " TOLONG" jika ingin meminta sesuatu. Kesannya si isteri akan lebih rasa dihargai.

Cuba tukar ayat komunikasi begini; 
"Sayang, boleh tolong buat air kopi panas tak? Kurang manis ya. Nanti tolong letak atas meja depan 'TV'. Lepas mandi Abang nak minum, boleh sayang"?

Isteri tidak rasa terbeban hendak buat air atau apa- apa pekerjaan selepas itu jika suami berkata dengan ayat komunikasi tersebut.

SITUASI ISTERI:
"Abang, nanti belikan telur ye, sayang nak buat kek besok. Telur sudah habis pula." Niat si isteri ingin gembirakan suami kerana suami suka makan kek.

Nampak sopan ayat si isteri tetapi ia tetap sebuah arahan. 

Alah, "Suami OK je cakap camtu".

"Dia belikan je apa saya suruh".


Mana tahu ok?

Memang suami beli tapi, lain kali tentu sukar nak minta suami buat sesuatu lagi. Sebab ada situasi isteri merungut suaminya susah nak minta buat sesuatu.

"Laki aku ni susah nak minta tolong".

Kesilapannya di mana? 

Kerana tiada perkataan "TOLONG".

Cuba tukar ayat komunikasi begini; "Abang, nanti boleh tak belikan sayang telur, sayang nak buat kek besok. Telur sudah habis pula. Boleh tak abang tolong belikan?"

Akhiri komunikasi dengan soalan. Suami ada pilihan jawapan.  

Agak-agak suami suka tak jika isteri minta tolong begitu?

Sudah tentu suami suka kerana fitrah seorang lelaki memang secara luarannya nampak kasar tetapi mudah tersentuh dengan kelembutan wanita. 

Mulai saat ini, cuba aplikasikan perkataan "TOLONG" ketika ingin meminta sesuatu daripada pasangan. Hasilnya luar biasa sekali.

Friday, 9 January 2015

Menangani Sifat Marah Melampau Demi Keharmonian Rumahtangga

Teks: Naimah Norman
Gambar: Google


Di dalam rumahtangga, sifat marah harus dikawal dan dikendalikan dengan betul. 
Di dalam hadis Arbain atau lebih dikenali sebagai hadis 40 karangan Imam Nawawi ada menyentuh tentang sifat marah. Hadis tersebut berbunyi demikian:

“Ada seorang lelaki berjumpa Nabi dan meminta nasihat dan wasiat daripada baginda (Siapa lelaki tersebut tidak dinyatakan). Nabi berkata, “Jangan kamu marah”. Lelaki itu bertanya lagi, Nabi mengulangi yang sama, “Jangan kamu marah”. (HR Bukhari)

Sifat marah adalah fitrah setiap manusia. Sifat marah tidak boleh dibuang terus tetapi ia harus dikawal dan dikendalikan dengan betul. Perkara yang paling penting adalah kita harus membina kemampuan untuk menahan sifat marah ketika kita marah. Ianya penting kerana agama islam adalah agama yang melarang sifat buruk serta perilaku tidak bermoral. Sifat marah yang tidak dikendalikan dengan betul akan membawa kepada perilaku kurang sopan. Contohnya apabila seseorang itu marah, dia barangkali akan mengeluarkan kata-kata kesat seperti “bodoh” dan lebih teruk lagi mencarut “P** * Mak”. Perkara ini sangat dilarang dalam islam.

Perkara yang paling ditakuti lagi dengan kemarahan yang tidak terkawal, ia akan mengundang tindak balas negatif seperti memukul, menampar dan sebagainya. Ia akan menyebabkan trauma dan kecederaaan kepada mangsa pukulan tersebut lebih- lebih lagi jika ia dilakukan oleh orang yang disayangi. Pecah belah dalam institusi kekeluargaan, perkahwinan dan kemasyarakatan akan berlaku kerana kemarahan yang tidak dikawal. Sebab itu sifat marah ini mesti dikendalikan dengan betul. Bukan tidak boleh marah tetapi marah yang tidak melampaui batas.


Kita kategori marah yang mana? Kita lihat tahap marah ini;

1. Marah yang melampau-lampau. Marah yang tidak dapat dikawal.

2. Tafriq (Tidak cukup hasil). Marah yang tidak menghasilkan apa-apa atau tidak marah langsung. Ia tidak dituntut dalam islam.

3. Ik’tidal (Pertengahan). Marah yang disesuaikan dengan keadaan tapi mampu dikawal.


Sifat marah melampau akan mengundang murka Allah. Ianya akan membawa kepada kegagalan. Menurut kajian sains juga, orang yang kerap marah tidak tentu pasal akan kerap sakit. Untuk sihat kita perlu mengawal marah. Kesihatan jasad ditentukan kesihatan hati kita. Ketika marah kita kerap mendengar dialog ini “Ni buat aku naik angin ni, naik darah, hangin”. Tahukah anda, apa yang kita katakan itu akan menjadi doa untuk kita. Sebab itu kita dituntut mengucapkan yang positif dan baik-baik sahaja. Perkara kecil akan jadi besar jika kita berfikiran negatif.

Bagaimana untuk mengawal sifat marah melampau?

Di sini kita cuba aplikasikan dua tips ini untuk mengawal sifat marah. Yang pertama, Ucapkan “Istia’zah”. Istia’zah bermaksud “Aku berlindung daripada syaitan yang direjam”. Ianya untuk menghalau syaitan yang akan meniupkan lagi api kemarahan itu. Yang kedua, Apabila marah dalam keadaan berdiri, maka duduklah. Jika marah dalam keadaan duduk, maka baringlah”. Ini adalah pesanan Nabi kepada kita. Ubah posisi kita ketika marah akan mengubah perasaan kita dan meredakan kemarahan tersebut. Ketika kita ubah posisi tersebut juga akan mengubah fokus pemikiran kita. Di situ kita akan berfikir sejenak apa tindakan kita seterusnya.

Jika tidak reda juga kemarahan, ambil wuduk dan solat bermunajat kepada Allah. Elemen air sangat membantu mengubah suhu dan air juga adalah medium yang dapat mengalirkan haba. Marah itu api dan api dapat dipadamkan dengan air. Ketika marah, kita dituntut diam seketika. Berfikir sejenak agar dapat menghasilkan tindakan yang rasional.

Kita harus mengenali faktor yang mendorong kepada kemarahan kita. Antara faktor yang menyebabkan sifat marah ini wujud adalah;

1. Fizikal

Kemungkinan fizikal yang tidak sihat. Sakit yang mendorong kepada emosi marah dan tidak dapat mengawalnya dengan betul.

2. Psikologi

Pemikiran yang sihat dihasilkan daripada hati yang sihat. Orang yang miliki pemikiran sihat akan sentiasa fikirkan yang positif dan yang baik-baik sahaja. Daripada pemikiran yang baik itu akan mengawal kemarahan. Ketika fikiran kita hanyalah fokus kepada negatif, maka sifat marah melampau akan terhasil.

3. Moral

Akhlak buruk salah satunya adalah panas baran. Mereka yang miliki akhlak ini diketegorikan sebagai memiliki akhlak buruk. Akhlak ini terhasil kerana syaitan dekat dengan mereka. Mereka ini kebiasaannya jauh dari Allah. 

Kesimpulannya sifat marah mesti dikendalikan dengan baik agar dapat menghasilkan kualiti dalam hidup. Marah akan menjejaskan banyak elemen dalam kehidupan kita. Fikiran yang bersih itu perlu dan ia terhasil daripada hati yang bersih. Fikirlah yang baik, rasa hati yang baik dan insyaallah yang baik-baik akan hadir. Wallaua'lam.




Wednesday, 29 October 2014

Tuliskan Kasih Sayangmu Wahai Suami Dan Isteri

Teks: Siti Naimah Norman
Sumber Gambar: Koleksi Peribadi

Kasih sayang adalah sesuatu yang bersifat subjektif. Mana mungkin untuk menulis sesuatu yang subjektif. Tidak boleh dipegang, dilihat dan hanya boleh dirasa melalui hati. Kita selalu dengar kata-kata ini “ Jika sayang, luahkan”. Luahkan bermakna sampaikan dengan kata-kata. ‘I Love U’ sesuatu yang sukar hendak diluahkan apatah lagi bagi seorang lelaki. Mungkin juga ada lelaki yang tidak sukar meluahkannya. Bagi seorang lelaki, mengapa hendak luahkan dengan kata-kata, bukankah lebih mudah kita praktikkalkan dalam bentuk perbuatan. Jika sayang, jaga isteri dengan baik, hadiahkan bunga atau apa-apa yang isteri sukai. Itu sudah memadai menunjukkan yang dia sangat menyayangi isteri. Begitu juga bagi seorang isteri, sediakan keperluan suami,  makanan, pakaian dan menjaga anak dengan sebaiknya. Itu membuatkan suami rasa isteri menghargainya.

Kadangkala ada juga jenis isteri yang suka memaksa suaminya meluahkan kasih sayang. “ Suami saya tidak pernah sebut ‘I Love U’, saya saje yang beria-ia. “Masa awal-awal kawen saje sebut, bila dah kawen dua tiga tahun, takde dah ‘love-love’ ni”. Bila saya cakap pada suami; “saya sayang abang”, suami saya diam saje. Rungutan kebanyakkan isteri.

Lelaki memang begitu. Kita sebagai isteri perlu memahami fitrah semulajadi lelaki. Kasih sayang  susah hendak diluahkan dalam bentuk kata-kata. Namun tidak dinafikan ada juga lelaki yang boleh meluahkan dengan kata-kata. Sifat romantik itu adalah sunnah kerana ia sifat Nabi Muhammad. Seorang isteri bertanya; “Bagaimana hendak romantik jika suami tidak romantik”. Boleh wahai isteri. Romantik bukan hanya dengan kata-kata tetapi perlu dengan perbuatan. Bukan dengan bercakap sopan lembut dengan suami. Bukan semata-mata perbuatan dan kata-kata. Tetapi melalui tulisan. Bagaimana? “Takkan nak bagi surat cinta pula tulis surat cinta. Dah duduk satu rumah, takkan nak berutus surat pula ye”. Seperti zaman dahulu pula berutus surat cinta. Teknologikan ada.  Sms? Boleh juga. Tapi sudah biasa buat.

Bagaimana?

Di sini saya bagi contoh mudah. Ketika menyediakan sarapan atau menu tengahari, hiaskan hidangan dengan tulisan kasih sayang. Selain daripada baca, doa surah Thoha ayat 1 hingga 5, tuliskan sesuatu yang melambangkan perasaan kasih dan sayang seperti gambar di bawah.



Percayalah gelombang perasaan dari si isteri tadi akan terpantul kepada makanan yang dihidangkan kepada suami tadi. Cubalah jika tidak percaya. Buat dengan penuh perasaan dan ikhlas. Kalau makanan tak sedap pun akan jadi sedap tau. Sebagai isteri, jika inginkan suami romantik, kita yang harus memulakan dahulu. Insyaallah.  Anda akan melihat perubahan. Sekian perkongsian. J



Thursday, 16 October 2014

Perkahwinan Melahirkan Ketenangan Hati


Teks: Siti Naimah Norman
Foto: Koleksi Peribadi


Perkahwinan melahirkan ketenangan. Apabila bersatunya hati antara dua insan bernama lelaki dan wanita melalui perkahwinan, maka telah tercatat bagi keduanya pahala. Setiap perbuatan walaupun  semudah menghidangkan air kepada suami telah tercatat pahala bagi isteri yang melakukannya. Perkahwinan sepatutnya melahirkan ketenangan hati. Jika sebaliknya hati semakin tidak tenteram, perlu periksa semula hati itu. Hati itu milik Alllah dan ketenangan hati itu hanya dari Allah. Mana mungkin ketenangan akan datang jika hati jauh dari Allah.

“Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang” (Ar-ra'd: 28)

Tenang yang bagaimana kita inginkan? Tenang apabila masalah melanda, tenang apabila mesti mengalah, tenang apabila harus berkorban dan tenang dalam apa sahaja perbuatan sepanjang perkahwinan. Perkahwinan membawa kepada ketenangan hakiki iaitu syurga. Kemuncak segala ketenangan. Ketika sebelum berkahwin ‘tagline’ yang selau digunakan ialah’ bercinta hingga ke syurga’. Tetapi selepas berkahwin ‘Bercinta entah ke mana’. Jelas sekali fokus rumah tangga itu tidak terarah kepada mencari syurga. Syurga hanya dengan redha Allah. Redha Allah hanya pada manusia yang redha padanya. Manusia yang redha dalam melakukan ketaatan kepadanya dan melaksanakan amanahnya dengan bersungguh-sungguh.  Allah suka hambanya bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu. Isteri atau suami itu amanah yang mesti dijaga sebaiknya.

Tenanglah apabila mesti mendahulukan kepentingan pasangan berbanding kepentingan diri sendiri. Seorang suami yang bekerja mencari nafkah. Perginya pagi pulangnya petang dan adalakanya sampai malam baru sampai ke rumah. Penat terasa dan mudah sahaja emosi terganggu. Kadangkala pulang ke rumah, isteri pula minta perhatian. Isteri mahu berbual panjang bercerita apa yang berlaku seharian, tetapi si suami pula hanya nampakkan bantal dek mengantuk dan kepenatan. Isteri pun merajuk melihat suami begitu. Isteri bersangka suami tidak pandai mengambil hatinya. Suami pentingkan diri tidak mahu layan isteri. Ketika itu apa yang dilakukan sang isteri? Merajuk masuk bilik atau mendahulukan suami yang penat tadi. Apa pula tindakkan sepatutnya si suami? Teruskan mendengar cerita si isteri atau teruskan tidur. Ketika itu kita diuji dan ketika itulah kita harus tenang dalam bertindak.

Jika si suami mengatakan dengan lembut ‘Sayang, abang mengantuk ni, kita sambung cerita besok boleh? Abang akan dengar semua cerita sayang nanti.” Mesti si isteri akan bagi tindak balas yang positif berbanding jika suami berkata “Awak ni boleh tak jangan membebel, saya ni dah la penat balik kerja, seharian kerja awak tak rasa, saya nak tidur jangan ganggu saya.” Tersentap hati isteri mendengarnya. Si isteri pula harus cuba memahami keadaan suami yang penat bekerja. Kalau hendak merajuk jangan lama-lama. Merajuk sekejap tidak mengapa supaya suami ambil penting hal hati isteri. Supaya suami tahu yang isterinya minta perhatian.

Melayan suami atau isteri haruslah bersungguh-sungguh. Bukan hanya sebelum kahwin atau di awal perkahwinan mesti bersungguh-sungguh tetapi sepanjang perkahwinan mesti bersungguh-sungguh. Jika sebelum kahwin boleh jadi pendengar yang setia, mengapa selepas kahwin tidak mampu menjadi pendengar yang baik. Apabila isteri bercerita atau meluahkan perasaan dirasakan seperti perkara yang tidak penting. Hakikatnya seorang wanita itu  fitrahnya sangat suka didengari dan diberi perhatian. Melihat teladan Rasulullah sebagai seorang pendengar yang baik apabila Aisyah, isteri baginda bercerita atau meluahkan perasaan, baginda setia mendengar dengan baik. Apabila Aisyah merajuk, baginda setia memujuk serta mencuit hati isteri baginda sehingga Aisyah ceria kembali.

Ikhlaslah kerana ia sumber ketenangan dalam perkahwinan. Apabila ada ikhlas segala perkara dirasakan bukan suatu bebanan. Perkahwinan yang tidak melahirkan ketenangan barangkali terdapat padanya kemaksiatan terhadapa Allah. Bilamana dalam sesebuah perkahwinan itu jauh dari Allah, solat tidak ditunaikan dengan sebaiknya, tidak mengamalkan dan mencontohi akhlak nabi dalam perkahwinan, maka perkahwinan itu akan melahirkan keresahan. Setiap hari yang dilalui dalam perkahwinan dirasakan semakin menyempitkan hati kerana tiada ketenangan. Kembalilah kepada Al quran dan As sunnah. Insyaallah, perkahwinan yang melahirkan ketenangan ada barakah padanya.

Ajar Anak Menerima Kekurangan dan Bersyukur

Teks: Siti Naimah Norman Gambar: Koleksi Peribadi Baru siap jahit lencana anak. Mama rajin dan banyak masa sangat. Huhu. Hari ni baru si aba...