Thursday, 14 May 2015

Para Isteri, Perbetulkan Kembali Niat Bekerja.

Teks: Naimah Norman
Gambar: Google


Tugas hakiki seorang isteri bukan bekerja mencari nafkah. Isteri tidak perlu fikir bagaimana hendak mencari nafkah tetapi isteri boleh menampung keperluan nafkah yang kurang.

Ada beberapa sebab isteri keluar bekerja seperti:

1. Memang suka keluar rumah bekerja. Gelisah jika duduk di rumah sahaja.

2. Membantu suami menampung kekurangan nafkah.

3. Kehendak suami yang mahukan isteri bekerjaya. Nampak profesional katanya.

4. Sayangkan sijil, diploma, ijazah jika tidak dimanfaatkan untuk bekerja.

5. Mahu memenuhi kehendak hati yang sukakan membeli belah atau miliki barangan idaman dengan duit sendiri. Kepuasan membeli dengan hasil titik peluh sendiri.

6. Suami pemalas kerja dan duduk goyang kaki sahaja di rumah.

7. Tuntutan keluarga mentua yang mahukan menantu bekerjaya.

8. Tercabar dengan ipar duai apabila sering ditanyakan perihal kerja apabila pulang ke kampung halaman.

Pelbagai lagi sebab yang menuntut wanita itu keluar bekerja. Tiada halangan dalam agama islam bagi seseorang wanita itu keluar bekerja selagi mana mendapat keizinan suami.

Namun islam menggariskan panduan agar tiada fitnah yang terjadi terhadap wanita yang keluar bekerja ini.

Antaranya:

1. Tiada unsur perilaku haram. Contohnya apabila seseorang wanita itu bekerja, dia terpaksa melakukan sesuatu yang haram seperti pecah amanah, mencuri, menipu, rasuah dan sebagainya.

2. Tiada percampuran antara lelaki dan perempuan yang melampaui batas. Contohnya bos seorang lelaki dan wanita yang bergelar isteri itu terpaksa menuruti segala kehendak bos termasuklah berdua-duaan tanpa tujuan yang baik. Tujuan selain bekerja.

3. Tidak melibatkan tempat yang haram sebagai contohnya, wanita itu terpaksa pergi ke tempat-tempat maksiat seperti disko, pusat perjudian, pelacuran semata-mata mahu mengadakan perbincangan sedangkan ia boleh dilakukan di pejabat.

4. Dikenakan peraturan berpakaian yang melanggar syariah, membuka aurat dan sebagainya.

Semua perkara di atas akan menjerumus wanita tersebut ke lembah kehinaan dan kehancuran. Namun, wanita yang berilmu akan mampu membezakan antara yang halal dan haram. Bekerja itu suatu perbuatan yang halal tetapi boleh jadi haram apabila terdapat unsur-unsur yang dinyatakan di atas.

Apabila bekerja, isteri perlu sentiasa perbetulkan kembali niat. Niat ini berada di dalam hati dan hati manusia ini sering berubah dan berbolak-balik. Berdoalah agar ditetapkan niat yang baik sepanjang bekerja. Agar ia menjadi amal jariah di akhirah kelak. Menjadi sedekah yang akan kekal selepas mati. Menjadi inspirasi buat suami dan anak yang ditinggalkan apabila keluar bekerja. Ikhlaslah bekerja kerana Allah.

"Sesungguhnya setiap perbuatan itu bermula dengan niat" (Imam Nawawi)

Kesan apabila tidak ikhlas apabila bekerja?

1. Bekerja itu tidak lagi menyeronokkan malah merasa terbeban.

Rasa tidak seronok kerana suami tidak menghargai isteri yang bekerja. Tiada kerjasama suami yang tidak membantu sama isteri soal kerja rumah.

2. Sering bertengkar dengan suami soal kewangan padahal dua-dua bekerja.

Duit tidak cukup malah sering habis sebelum akhir bulan. Rasa sayang dengan duit yang diperolehi daripada hasil bekerja akan menjadikan wanita itu mengungkit dan berkira soal duit.

3. Sering mengeluh atas beban kepenatan bekerja.

Soal kerja rumah tangga tidak lagi terurus dengan baik.

4. Anak-anak sering menjadi mangsa kemarahan.

Anak-anak yang ditinggalkan sering merengek kerana mahukan perhatian. Anak-anak mahu ibu bapanya berbual-bual, bermain dan memeluk mereka. Setelah seharian penat bekerja, semua kehendak anak itu tidak dapat dipenuhi. Kemarahan akan terjadi kerana rasa penat dan tertekan. Anak-anak akan menjadi tempat melepaskan kemarahan itu. Boleh jadi juga kemarahan yang dilepaskan kerana rasa tidak puas hati terhadap suami.

Itulah antara kesan apabila tidak ikhlas bekerja. Hilang keseronokkan, hilang nikmat dan keberkatan. Perbetulkan kembali niat wahai para isteri. Bersihkan hati supaya rezeki akan diberkati dan menyelamatkan suami daripada disoal di akhirat kelak. Suami akan disoal atas segala perbuatan isterinya. Apabila isteri bekerja tanpa kerelaan hatinya atau mendapat paksaan daripada pihak suami, bermakna suami tersebut telah mengabaikan hak isteri yang sepatutnya. Isteri, tempat yang terbaik untuknya adalah di rumah. Terhindar dari ganguan luar dan fitnah di tempat kerja.


Pandangan Lelaki Terhadap Wanita Bekerjaya

Sumber: http://kenjii88.blogspot.com/2011/11/wanita-bekerjaya.html

Sebentar tadi aku sempat berbual dengan umi tentang beberapa perkara. Antara isu menarik yang kami bualkan ialah berkenaan dengan situasi wanita zaman sekarang yang kebanyakan mereka memilih untuk bekerjaya.

'Firstly', bagi aku keadaan zaman moden sekarang adalah normal dan sudah menjadi kebiasaan bagi kaum hawa untuk bekerja, mempunyai karier dan pendapatan sendiri. Ini adalah pandangan peribadi aku secara umum dan aku yakin kebanyakan kaum hawa setuju dengan pendapat ini.

Gambar hiasan
Tapi sebentar lagi mungkin kaum hawa akan mula menentang dan kemungkinan tak bersetuju dengan pandangan aku yang seterusnya.


Wanita yang bekerjaya ada kebaikannya dan ada juga keburukannya. Antara kebaikkan bagi wanita yang bekerjaya ialah mereka akan belajar berdikari, mereka tahu kesusahan dan kepayahan kaum adam yang memang tugas kami mencari dan memberi nafkah kepada ahli keluarga.


Selain itu juga dalam hidup berumah tangga, kaum hawa yang menjadi isteri kepada suami sudah tentu dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung oleh suami. Jadi dengan pendapatan hasil daripada pekerjaan mereka itu dapatlah menampung segala perbelanjaan seisi rumah dan boleh hidup lebih senang, insyaAllah..


Walau bagaimanapun ianya perlu bergantung kepada situasi. Jika wanita itu bujang maka terpulanglah kepada mereka untuk memilih untuk bekerja ataupun tidak kerana itu adalah hak individu. Akan tetapi jika wanita tersebut sudah berkahwin, sudah menjadi 'concern' bagi si suami untuk membenarkan ataupun tidak isterinya untuk bekerja.


Secara peribadi, aku memang tidak menggalakkan wanita ataupun secara lebih khususnya adalah isteri untuk bekerja. Banyak keburukannya daripada kebaikan. Antara keburukannya ialah masa bersama keluarga akan menjadi terhad. Bekerja adalah tanggungjawab utama bagi seorang laki ataupun suami sebab untuk mencari nafkah. Jika suami balik dalam keletihan dan dalam masa yang sama si isteri juga pulang daripada kerja dalam keletihan, jadi bilakah masanya kedua-dua suami isteri ini akan ada masa yang selesa untuk bersama?


Jika si isteri tidak bekerja sudah tentu isteri akan menunggu kepulangan suami dengan gembira dan boleh menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan lebih baik seperti menyediakan makanan untuk suami dan sebagainya. Sudah tentu si suami juga akan gembira dan akan hilang segala penat lelah seharian bekerja.


Bagaimana pula dengan masalah cuti yang tidak sama? Bagaimana pula dengan pasangan yang perlu outstation? Bagaimana pula jika salah seorang ditukarkan tempat bekerja? Semua ini adalah masalah-masalah yang perlu difikirkan jika si isteri ambil keputusan untuk bekerja. Bahagiakah rumah tangga jika berlaku perselisihan dalam hal-hal begini dan semua ini akan menjadi bahan ungkitan.


Selain itu faktor  anak-anak juga menjadi penyebab kenapa aku tidak bersetuju jika wanita ataupun isteri yang bekerja. Ingatlah, tujuan seorang lelaki berkahwin bukanlah untuk mencari seorang isteri untuk dirinya semata-mata, tetapi dia juga inginkan seorang ibu dan guru untuk anak-anak nya nanti.


Jika seorang isteri ataupun ibu itu bekerja, bilakah masanya untuk suami dan anak-anak? Siapakah yang akan menggantikan tugasannya untuk mendidik anak-anak di rumah? Adakah amah yang sepatutnya menggalas tanggungjawab tersebut? Sama sekali tidak. Sudah tentu seorang ayah mahukan yang terbaik untuk  anak-anaknya. Jadi seorang isteri adalah seorang ibu dan guru yang terbaik untuk  anak-anaknya.


Aku tahu antara sebab lain wanita ingin bekerja adalah kerana tidak mahu menyusahkan suaminya mencari nafkah seorang diri. Jadi jika mereka bekerja, mereka tidak perlu lagi menggunakan duit suami untuk memenuhi keperluan mereka. Tapi wahai wanita, anda perlu tahu walaupun kamu bekerja, suami masih wajib melaksanakan nafkah ke atas kamu. Jadi walaupun wanita bekerja, si suami masih juga wajib menanggung si isteri. Jika tidak berdosalah si suami.


Antara sebab lain wanita ingin bekerja adalah sebagai persediaan jika mereka ditinggalkan ataupun si suami meninggal dunia. Maka mereka takut kehilangan tempat bergantung sekiranya mereka tidak bekerja. Yup memang betul. Tapi jika dari awal lagi berfikiran begitu bermakna kita tidak percaya dengan qada' dan qadar yang Allah telah tentukan. Jika takut begitu lebih baik hidup seorang diri dari awal lagi. Cuba kita lihat nenek moyang kita dahulu, tiada pun berlaku seperti mana yang kita fikirkan sekarang.


Para wanita, anda jangan salah paham. Semua ini bergantung kepada situasi juga dan ini sekadar pandangan peribadi aku sahaja. Aku sendiri pun jika keadaan memaksa, insyaAllah aku juga akan membenarkan my future wife untuk bekerja. Contohnya pendapatan suami tidak mencukupi untuk menyara keluarga ataupun untuk hidup sedikit senang, jadi pada masa itulah suami perlu membenarkan si isteri bekerja.


Jika sudah ada persetujuan kedua-dua belah pihak bolehlah teruskan seperti apa yang dirancang. Jika suami tidak bersetuju lebih baik tidak bekerja kerana kerjaya paling mulia bagi seorang wanita ialah menjadi seorang isteri yang solehah untuk suaminya dan menjadi ibu dan guru sepenuh masa untuk anak-anaknya.

Cabaran Wanita Bekerja

Sumber: Utusan Online.
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140415/ke_01/Cabaran-wanita-bekerja
Oleh NURSYAMIMI SAIDI
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH

Penglibatan dan peranan wanita dalam pelbagai aspek pembangunan negara sememangnya tidak pernah dipertikai. Hampir dalam setiap sektor sama ada ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya, sumbangan wanita begitu jelas.

Malah, budaya hidup masyarakat di negara ini juga sudah menerima wanita sebagai penyumbang kepada ekonomi keluarga, apatah lagi dengan keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi seperti sekarang.

Begitupun, wanita bekerja mempunyai cabaran tersendiri lebih-lebih lagi apabila pada masa sama mereka memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

Terikat dengan pelbagai peraturan dalam sektor pekerjaan yang perlu dipatuhi termasuk waktu kerja yang tidak anjal, membuatkan mereka sukar memenuhi kesemua peranan tersebut dengan baik.

Tekanan pasti berganda apabila persekitaran serta orang sekeliling terutama majikan dan ahli keluarga tidak membantu bagi memudahkan lagi keadaan.

Sebagai contoh, tiada sokongan dari segi kemudahan pusat penjagaan anak di tempat kerja, waktu kerja tidak anjal, pasangan atau suami yang kurang memahami beban kerja dan sebagainya.

Sebagai wanita bekerjaya yang mempunyai keluarga dan anak-anak, Rosmala Nasir, 50, cukup memahami dilema yang dihadapi oleh golongan Hawa ini.

Bagaimanapun, sebagai Pengarah di Perception Management, sebuah syarikat perhubungan awam dan komunikasi terkenal di ibu negara, Rosmala tidak menjadikan halangan tersebut sebagai alasan untuk berjaya.

"Saya tidak nampak mengapa sebagai wanita kita tidak mampu menguruskan kedua-duanya, kerjaya dan keluarga, dengan baik.

"Malah, lebih menyedihkan apabila sesetengah wanita terpaksa membuat pilihan sehingga ada antara mereka yang terpaksa berpisah dengan suami dan anak-anak demi mengejar kerjaya dan tidak kurang pula yang berhenti kerja kerana ingin memenuhi tanggungjawab kepada keluarga," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurut Rosmala, tidak ada salahnya jika seseorang wanita itu mahu mengutamakan kerjaya, tetapi perlulah bijak membahagikan masa tanpa perlu mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri.

Beliau tidak menafikan, ramai wanita bekerjaya bergantung penuh kepada pembantu rumah bagi membantu mereka melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga.

Namun, itu bukan bermakna mereka boleh lepas tangan kerana gejala sosial yang berlaku di kalangan remaja hari ini kebanyakan berpunca daripada kurangnya perhatian ibu bapa pada anak-anak ini.

Wanita harus sedar bahawa kesibukan mereka dalam menguruskan kerjaya haruslah diseimbangkan dengan tanggungjawab mereka kepada rumah tangga.

"Tentunya seorang ibu memainkan peranan yang penting dalam melahirkan satu generasi yang berkembang baik dari aspek rohani dan jasmani," tambahnya lagi.

Rosmala yang berpengalaman bekerja selama 30 tahun dan mempunyai dua orang anak yang berusia 22 tahun dan 16 tahun, tidak pernah menjadikan alasan kesibukan bekerja sebagai penghalang untuk melihat anak-anaknya membesar di depan mata.

Beliau akan memastikan bahawa pada setiap pagi akan menghantar anaknya ke sekolah dan aktiviti bersama-sama anak akan tetap dijalankan walaupun tidak mempunyai masa untuk melakukan aktiviti luar.

"Saya akan menonton televisyen bersama suami dan anak-anak, makan bersama-sama, malah berkongsi minat dengan anak saya.

"Walaupun perkara tersebut nampak kecil, tetapi anak-anak akan menghargainya kerana kita memberi perhatian kepada mereka," ujarnya.

Rosmala mengakui wanita bekerjaya tidak dapat lari daripada tekanan yang mungkin berpunca daripada pelbagai perkara.

Apabila bersikap tidak profesional, wanita-wanita ini akan terbawa-bawa masalah di rumah ke tempat kerja sehingga mengganggu prestasi atau pun pekerja-pekerja menjadi mangsa ketidakpuasan hati mereka.

"Kita sebagai wanita dan majikan perlu pandai menangani tekanan kerana perkara ini akan melibatkan semua orang di tempat kerja.

"Jangan rendahkan martabat anda sebagai seorang wanita dengan berperangai sedemikian sehingga mengundang kata-kata buruk di belakang," ujarnya.

Katanya, gelak-ketawa merupakan kaedah paling mudah dan terbaik untuk mengurangkan tekanan.

Kongsi jenaka bersama rakan sekerja dan belajar untuk berehat serta tidak memaksa badan melakukan tugas-tugas di luar kemampuan.

Dalam pada itu, ada juga wanita yang terlalu memuaskan hati orang di sekeliling, tetapi tidak pada diri sendiri.

Tanggapan mereka supaya apa yang mereka lakukan itu dapat menggembirakan majikan, rakan sekerja, atau anak-anak di rumah perlu diutamakan, itu perlu diubah kerana diri sendiri perlu diberi penghargaan dahulu.

"Kita bekerja keras siang dan malam semata-mata mahu puaskan hati orang sangat tidak berbaloi. Sekurang-kurangnya, hargai diri anda dahulu sebelum memuaskan hati orang lain.

"Cukup sekadar kita meluangkan masa di spa, membeli-belah, atau keluar bersama rakan-rakan dan perkara ini akan membuatkan anda sentiasa berasa gembira untuk terus bekerja walaupun mempunyai tanggungjawab di rumah," ceritanya lagi.

Tentunya kepada golongan wanita bekerjaya yang bergelar ibu, amat memerlukan tempat kerja mesra ibu, yang memberikan perkhidmatan penjagaan anak-anak yang berkualiti dan selamat dengan kos yang mampu ditanggung.

Jika halangan sebegini tidak mampu diuruskan dengan baik oleh pihak sewajarnya, maka amatlah rugi kepada negara kerana tidak menggunakan kepakaran dan kemahiran yang mereka miliki untuk membantu mengembangkan lagi pembangunan negara dan kepekaan mereka terhadap keperluan pekerja wanita perlulah diutamakan.

Wednesday, 13 May 2015

Mohonlah Kepada Allah Kekuatan Fizikal

Teks: Naimah Norman
Sumber Gambar; Google


Kekuatan fizikal memang diperlukan bagi seorang wanita apabila bergelar isteri dan ibu. Mengurus kerja rumah tangga dan anak-anak menuntut tenaga yang banyak. Wanita itu manusia yang diciptakan dengan rasa letih apabila melakukan kerja dan akan rasa bosan kepada perkara yang sama. Wanita bukan seperti robot yang tidak tahu rasa penat dan mampu statik melakukan sesuatu yang sama setiap hari.

Menjadi ibu dan isteri bagi seorang wanita adalah pengalaman yang menyeronokkan walaupun kadangkala mereka terpaksa menjadi "lipas kudung" menyiapkan banyak perkara dalam sehari. Stamina yang kuat sangat penting bagi wanita itu melakukan kerja rumah di samping kerja di luar rumah. Tanpa kekuatan itu, wanita akan jadi lesu, bangun pagi dalam keadaan lemah gemalai, tiada semangat dan emosi akan mudah terganggu.

Kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu, kadangkala tidurnya lewat, bangunnya awal dan kadangkala tidurnya awal, bangunnya pun awal. Masa tidur yang tidak tetap, bebanan kerja rumah yang banyak dan kerenah anak yang suka membuat sepah di samping kerenah suami kadangkala buat wanita itu hilang kekuatan diri. Apatah lagi apabila wanita itu bekerjaya sama ada kerja di luar rumah mahu pun kerja di rumah. Semua itu memerlukan tenaga yang banyak. Wanita sememangnya allah ciptakan lemah fizikal berbanding lelaki yang memiliki lebih kekuatan fizikal. Oleh  sebab itu Allah memilih lelaki sebagai pemimpin bagi kaum wanita.

" Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita)". (An-Nisaa: 34)

Untuk membangunkan kekuatan fizikal wanita dalam melaksanakan kerja rumah seharian bukan bergantung kepada ubat, jamu, mandi bunga atau herba semata-mata. Pelbagai produk kesihatan pada masa kini yang  menawarkan makanan tambahan untuk menambah tenaga. Dari sudut perubatan, penggunaan ubat-ubatan, jamu, herba bagi memberikan tenaga adalah dibolehkan dan harus di sisi islam selagi mana ia bersumberkan bahan-bahan yang halal dan baik. Tiada masalah untuk para isteri mengamalkannya malah digalakkan.




Namun, semua itu hanya sampingan kerana kekuatan sebenar hanyalah dari Allah. Allah yang membangunkan kekuatan dalaman seseorang itu bagi membolehkannya kekal bertenaga walaupun tidurnya hanya 3 jam sehari. Kuatnya manusia kerana ada Allah. Merasa Allah bersamanya dan menjaga hubungannya dengan Allah. Merasa keberadaan Allah dengan membina hubungan akrab dengan Allah. Membangunkan tahajud pada malam hari dan melazimi membaca Al Quran. Ia sumber kepada kekuatan sebenar. 

“Jagalah Allah niscaya Allah akan menjagamu, jagalah Allah niscaya engkau akan mendapati-Nya di hadapanmu”(HR Tirmidzi)


Kekuatan dalaman perlu dibangunkan bagi meransang kekuatan fizikal. Kekuatan dan semangat dalaman yang hanya mampu diberikan oleh Allah. Bangunkan kekuatan hati agar kekuatan fizikal akan turut bangun bersama. Bangun dan bermunajat pada Allah. Ketika penat dan lelah melakukan tugas seharian, doalah pada Allah, menangis  dan merintih memohon kekuatan. Mohonlah kepada Allah kerana Dia sahaja sumber segala kekuatan. Bukan jamu, ubat, mandi bunga atau herba yang memberikan kekuatan. Kuatnya seseorang manusia itu kerana kebergantungannya yang tinggi terhadap Allah. Segalanya Allah.

Tuesday, 12 May 2015

Pembelajaran Al Quran Di Rumah

Teks: Naimah Norman
Gambar: Google


Proses tasmi'. Guru baca, murid dengar. Murid baca, guru dengar. Ia adalah proses wajib dalam pembelajaran al Quran. (Ustazah Asni) 

Dengan adanya teknologi, pembelajaran Al Quran disokong dengan ciptaan alatan seperti pen belajar Al Quran, ipad dan segala alatan pembelajaran lain. Matlamat utamanya untuk melancarkan bacaan Al Quran. Namun ia hanya alat bantu tambahan sahaja.

Alat yang paling effektif ialah suara guru yang mengajar al quran tersebut. Pembelajaran al quran bagi anak- anak kita bermula di rumah. Ibu bapa wajar menjadi guru pertama yang mengajar. Usah letakkan tugas mengajar itu kepada orang lain, guru di sekolah atau alat bantu semata-mata.

Lakukan proses tasmi' dengan anak-anak sendiri di rumah. Mak atau ayah sebut ayat dan anak-anak ikut sebutan tersebut. Ia adalah sunnah dalam menghidupkan keluarga sakinah.

Mulakan pembelajaran Al Quran anak sejak bayi lagi. Perkenalkan huruf-huruf hijaiyyah. Gunakan kaedah kad imbasan. Kad banyak terdapat dijual di kedai. Jika kreatif, ibu bapa boleh hasilkan sendiri kad imbasan tersebut.

Contoh kad imbasan huruf jawi
Sebut dengan jelas huruf-huruf tersebut. Anak anda yang masih bayi mungkin tidak dapat menyebut perkataan yang anda baca, tetapi mereka memiliki pendengaran yang bagus serta memori yang kuat. Apabila mereka mendengar anda menyebut perkataan itu, mereka sedang merakamnya dalam memori mereka. Suatu hari, pasti mereka akan keluarkan sebutan perkataan itu. Insyaallah.

Pembejaran al quran wajar di mulakan di rumah. Rumah sekolah pertama untuk anak-anak. Guru pertama adalah ibu bapa.

"Ajarilah anak-anak kamu tiga perkara, mencintai Nabi, mencintai Keluarga nabi dan membaca Al Quran.".  (Riwayat Thabrani)

"Usrati, jannati. Usrati madrasati".
Keluargaku, syurgaku. Keluargaku, sekolahku.

Monday, 11 May 2015

Cara Menjimatkan Kos Penghasilan Kad Bisnes

Teks: Naimah Norman
Rujukan: ABDR

Kad bisnes adalah salah satu kaedah pemasaran. Untuk memulakan sesuatu bisnes, ianya nampak mudah tetapi untuk memasarkan produk, itu suatu cabaran. Dengan kos yang terhad adalah sukar untuk kita melaburkan wang untuk mengembangkan lagi pasaran produk bisnes kita. Bagi mereka yang baru memulakan bisnes secara online. Usah terburu-buru mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk memasarkan produk. Gunakan cara yang lebih jimat.

Kebiasaaan bagi orang bisnes akan memiliki kad bisnes. Ianya memerlukan modal duit, masa dan tenaga untuk menghasilkan kad bisnes. Harga kad bisnes pula sering berubah-ubah dan semakin naik kerana kenaikan kos bahan mentah. Modal kad bisnes bercetak dapat dikurangkan dengan meletakkan kad bisnes percuma.

Bagaimana caranya untuk meletakkan kad bisnes percuma?

Blog adalah salah satu medium untuk meletakkan kad bisnes kita. Ianya percuma. Salah satu kebiasaan apabila kita mencari sesuatu pada carian google. Kita akan menulis perkataan tersebut. Begitu juga halnya dengan blog. Apabila pembaca atau bakal pelanggan mahu mencari kita, mereka akan terlintas nama 'kita' terlebih dahulu.

Letak 'seberapa banyak kad bisnes' ini. Semakin banyak kita update semakin mudah carian pembaca dan bakal pelanggan. Sangat penting juga, apabila kita meletakkan satu aras apa kaitan nama dan apa yang kita usahakan.

Kalau dengar nama azuriyah mesti pasak pembaca dengan sulaman. Jadi tak ada bayangan jual kek, jual roti, jual perabot. Apabila kita sendiri fokus dengan apa yang kita mahu tulis. Pembaca juga jelas dengan kita. Jika kita sendiri keliru mahu fokus tulis apa, pembaca 10 kali keliru.

Contoh:
Nama: Azuriyah Mohamad
email: azuriyahmohamad@gmail.com
Url blog: azuriyahmohamad.blogspot
Tajuk blog: Seni Sulaman Dan Kreatif

Daripada blog kita yang tepasak di carian google, pelanggan akan dapat menjejaki produk kita. Dengan syarat, blog mestilah sentiasa ada pengisian dan entri baru. Ianya bagi memastikan blog kita berada dalam senarai teratas dalam carian google. Tulis blog secara konsisiten akan membantu google mengenali kita.

Bagaimana untuk kekalkan mementum menulis?

ABDR tawarkan kelas secara online bagi membantu mereka yang tiada kelapangan masa untuk hadir ke kelas. Kelas asas blog dan penulisan dan kelas asas bisnes online adalah yang paling sesuai untuk kalian. Terbuka bagi suri rumah yang mahu belajar bisnes atau  mereka yang bekerjaya mahupun pelajar.  Bagi kalian yang mahu menyertai keluarga besar ABDR, boleh pilih mana-mana kelas berikut.

1. Kelas asas blog dan penulisan
-belajar konsisten menulis
-belajar menulis mengikut fokus produk
-belajar menulis dengan analisa tahu siapa sasaran pembaca
-pembaca ini kita tukar kepada pelanggan

2. Kelas asas bisnes online
-bina kedai online
-borang tempahan
-lima label utama
-pautan blog dan fanpage
-boleh juga menjual produl digital
-boleh menjual produk fizikal
-produk borong-telekung solat
-mahu simpan stok boleh, tidak mahu simpan stok juga boleh

Jana pendapatan tanpa perlu keluar rumah. Insya-Allah.

Apa komen salah seorang bekas alumni ABDR?

Alhamdulillah segala tugasan saya dapat siapkn walaupun asyik bertanya itu ini dengan cikgu, tapi beliau tidak pernah lokek atau give up mengajar saya. Syukur KepadaNya.

Kawan-kawan ramai yang bertanya pada saya,
"ada masa ker ko buat blog nie?""bila masa ko menulis?""bila ko start berblog nie?""dari mana ko belajar buat blog nie?"
Macam-macam soalan lagi yang di tanya kepada saya berkenaan blog ini.Bagi saya satu sahaja,
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Jika kita inginkan sesuatu,kita akan cuba untuk merealisasikan, begitu juga saya.Dan sekarang inilah yang terhasil :
http://lylyaffazreen.blogspot.com/ - Diari Wanita Bekerjaya

Memang masa untuk saya menulis, mencoret, menaip dan menyudahkan tugasan yang di berikan sangat limited. Tetapi satu sahaja yang saya tetapkan dalam diri saya, saya mesti habiskan 44 entri atau tugasan yang di berikan oleh cikgu selama sebulan.Akhirnya saya mampu, kerana saya tahu saya telah tetapkan matlamat untuk saya capai.

Saya seorang yang amat-amat sibuk, kadangkala saya tidak dapat menyiapkan sesuatu kerana saya juga ada kelemahan dan kekurangan, tetapi saya tetapkan sesuatu bagi mencapainya.

Bagi kalian yang berminat untuk belajar menghasilkan blog bisnes?

Boleh hubungi saya:
Pengurus Online ABDR,
(Naimah Norman)

Whatsapp: 0189069144
FB: Siti Naimah Norman
Email: naimahnorman@gmail.com

Persediaan Kewangan Bekerja Di Rumah

Teks: Naimah Norman
Gambar: Koleksi Peribadi


Bekerja sendiri di rumah tidak sama seperti bekerja makan gaji di pejabat. Kerja di rumah memerlukan untuk kita merancang kewangan dengan bijak. Tiada gaji bulanan yang tetap seperti kerja makan gaji. Tiada bonus dan tiada istilah kenaikkan gaji atau pangkat.

Bekerja di rumah, kitalah yang menentukan berapa gaji kita, simpanan dan kegunaan wang kita. Pendapatan kewangan yang tidak tetap menjadikan kita sering culas dalam urusan simpanan.

Beberapa persediaan harus dilakukan untuk memastikan wang yang kita perolehi selamat dan digunakan mengikut keperluan. Simpanan penting terutamanya apabila kita baru sahaja berkecimpung dalam kerjaya bekerja di rumah.

Bukan tidak boleh berbelanja untuk memenuhi kehendak kita, tetapi harus berpada-pada. Persediaan harus dilakukan dalam merancang kewangan untuk 3 tahun pertama selepas berhenti kerja.

Tabungan yang wajib ada:
1. Tabung modal (khusus untuk bisnes)

2. Tabung simpan dan lupakan (tabung ini mulakan dari awal ketika kalian merancang untuk berhenti). Katakanlah 3 tahun lagi, jadi mula buat simpan dan lupakan secara konsisten setiap bulan. Tidak boleh usik-usik ya.

3. Tabung penyelarasan kewangan (iaitu hutang piutang, kereta, rumah dan sebagainya) berbincanglah dengan suami akan hal ini).

Mula menabung, simpan dan kekalkan simpanan tersebut. Ia membantu membina keyakinan untuk kita kekal bekerja di rumah dengan bersemangat apabila melihat hasil simpanan tersebut.

Rujukan: EBook 101 Idea Home-based Bisnes.



Sunday, 10 May 2015

Sayangku Mohamad



SELAMAT ULANGTAHUN KELAHIRAN SAYANGKU.

11 Mei 2014,  telah lahir amanah ini. Kini sudah setahun sayang membesar di samping mama dan ayah.



Sayang, menjadi amanah buat mama dan ayah.

Sayang, menjadi ujian buat mama dan ayah.

Sayang, melihat kau menenangkan hati, memberi inspirasi dan menambah motivasi.

Sayangku, jadilah kau seorang pejuang agama. Mohamad anak baik, mohamad anak bijak.













Mohamad Rafi'yuddin Bin Mohamad Rifaad.

Ikhlas Oleh:
Mama Mohamad
(Naimah Norman)

Thursday, 7 May 2015

Pengalaman Menjadi Guru

Teks: Naimah Norman
Sumber Gambar: Koleksi Peribadi

Kenangan semasa mengajar di tadika. 

Menjadi guru di tadika Jaim IPD, Alor Gajah adalah merupakan kerjaya terakhir saya sebelum saya melangkah ke alam kerjaya sebagai WAHM(Working at home mama) secara sepenuh masa. Pengalaman menjadi guru banyak mengajar saya erti kasih sayang dan kesabaran. 

Ketika menerima tawaran mengajar ini, saya sedang mengandungkan Mohamad 6 minggu ketika itu. Saya mengajar sehingga kandungan berusia hampir 4 bulan. Saya dikategorikan antara guru yang tegas. Anak didik saya memanggil saya 'Cikgu Siti'. Nampak sahaja 'Cikgu Siti', pasti masing-masing akan duduk diam di tempat duduk masing-masing. Seperti nampak 'singa garang' agaknya.

Pengalaman mengajar sebelum itu banyak mematangkan saya. Kali pertama saya mengajar adalah ketika  di sekolah rendah swasta di Klang. Saya sangat sukakan kanak-kanak dan suka melihat gelagat mereka. Sepanjang mengajar di sana, saya seorang guru yang agak lembut dan kadangkala sahaja garang. 

Memang benar, apabila menjadi guru, persembahan kali pertama kepada murid-murid adalah sangat penting. Persepsi kali pertama murid terhadap guru akan mencorakkan tingkah laku seterusnya murid tersebut. Ada dua sahaja persepsi murid terhadap guru iaitu yang pertama guru itu garang dan yang kedua, guru itu tidak garang. Saya kategori yang ke dua. Oleh kerana persembahan kali pertama saya kepada mereka adalah lembut, maka apabila saya mula menjadi tegas, mereka seolah-oleh tidak dapat terima. 

Sewaktu itu, kelas yang saya ajar adalah darjah 5, 3 dan 2. Paling mencabar mengajar darjah 2. Bayangkan, ketika kita mengajar, murid-murid bermain, bergaduh dan berlari ke sana-ke sini. Memang benar-benar menguji kesabaran. Saya siap main kejar-kejar dengan anak murid kerana mereka tidak mahu masuk ke kelas. Pening kepala dibuatnya. Kerana mereka sudah anggap saya guru yang lembut, jadi mereka tidak rasa takut jika saya marah atau bertegas dengan mereka. Walaupun begitu, ia pengalaman yang menyeronokkan. Keistimewaan kanak-kanak ini, apabila kita marah atau denda mereka, mereka tidak berdendam. Mereka suci dan tidak mengenal erti balas dendam.

Ketika mengajar di tadika pula, saya membawa karekter guru yang tegas. Memang saya tegas ketika mengajar dan memberikan arahan. Kanak-kanak berusia 6 tahun sudah seharusnya diajar erti menghormati. Ketika guru mengajar. mereka harus memberikan perhatian. Ia adalah nilai etika dan moral yang harus mereka fahami. Garang untuk mendidik bukan untuk mengherdik. Kadangkala, kita perlu tegas dan kadangkala, kita perlu bermain dengan mereka. Berikan mereka keserokkan bermain. Bermain adalah proses belajar untuk kanak-kanak. Apabila mereka melangkah ke alam sekolah rendah ketika berusia 7 tahun, mereka sudah diterapkan sikap menghormati guru dan disiplin ketika di sekolah.

Alhamdulillah, cabaran saya seterusnya adalah untuk mendidik anak sendiri di rumah. Rumah adalah sekolah pertama untuk anak kita dan ibu bapa adalah guru pertama yang mendidik mereka. Insya-allah, moga kita mampu mendidik anak-anak kita dari hati. Bersama membina generasi mulia dan bermanfaat kepada orang lain. Sekian perkongsian pengalaman saya.

Naimah Norman
Seni Bekerja Dari Rumah

















Thursday, 30 April 2015

Beri Hadiah Pada Diri Sendiri

Teks: Siti Naimah Norman
Sumber Gambar: Koleksi Peribadi

Apabila penat bekerja seharian, kadangkala anda lupa untuk menghargai diri sendiri. Kesibukkan kerja di pejabat atau di rumah menjadikan anda lebih fokus dan serius dalam pekerjaan yang anda lakukan. Hari hari yang anda lalui penuh kepenatan dan kadangkala diulit kebosanan.

Jika anda bekerja di rumah, contohnya anda sorang perniaga online atau anda melakukan bisnes makanan seperti kek, roti, kuih-muih dan menjahit pakaian dari rumah, setiap hari rumah kita itulah tempat tumpuan anda. Ia tempat anda bekerja, tempat makan, tempat mencari idea baru dan tempat melegakan tekanan.

Setiap manusia miliki perasaan yang sering berubah-ubah. Kadangkala gembira, ceria atau seronok. Namun kadangkala sedih, tertekan atau bosan. Cara untuk melegakan tekanan itulah yang harus anda perlajari. Jangan lepaskan tekanan, tetapi legakan tekanan. Ia memberi manfaat pada diri dan juga orang di sekeliling anda.


Kadangkala, anda sering melepaskan tekanan yang anda hadapi kepada orang lain terutama pasangan, anak, keluarga atau jiran kita. Ia berlaku tanpa disedari kerana tiada pertimbangan yang baik dalam diri.

Fikiran tidak mampu menjadi rasional tatkala keletihan. Badan letih, perasaan pun akan terganggu dan pemikiran akan bercelaru. Semua itu lumrah kehidupan, namun anda harus mengurus tekanan dengan bijak.

Perkara yang paling penting untuk melegakan tekanan adalah dengan memberikan keseronokkan pada perasaan dan tubuh anda. Hadiahkan sesuatu untuk diri anda sendiri. Beri hadiah kepada diri anda setiap hari.

Nampak seperti mustahil hendak hadiahkan diri sendiri. Setiap hari pula perlu bagi hadiah, nampak seperti susah sahaja. Bukan susah, hadiah tidak perlu mahal-mahal. Apa sahaja yang menyeronokkan, boleh dijadikan hadiah.

Jika bekerja di rumah dan  sukar mahu keluar, mungkin anda boleh hadiahkan diri anda dengan beberapa aktiviti ini:
1. Membaca buku. Membaca sebagai terapi yang boleh membuka minda kita. Alih perhatian minta anda kepada perkara lain seketika.
2. Selain itu, membaca Al Quran dan memahami makna. Al Quran banyak menceritakan kisah teladan dan motivasi yang mampu membangunkan rohani.
3. Membaca berita dan isu terkini atau membaca komik kelakar yang mencuit hati.
4. Minum air jus yang menyegarkan.
5. Menyiram pokok bunga. Tanaman mampu memberikan ketenangan hati.
6. Bermain dengan haiwan seperti kucing.
7. Bergurau senda dan bermain dengan anak anda. Main lari-lari dan geletek-geletek.
8. Masak makanan kegemaran yang jarang anda masak.
9. Lakukan senaman ringan.
10. Menyanyi dan menari.

Lakukan aktiviti tersebut dalam jangka masa yang singkat dalam 30 minit. Keseronokkan yang anda rasai akan mampu mengembalikan tenaga dalaman anda. Selepas selesai hadiahkan diri sendiri, sambung semula kerja yang anda lakukan sebelum itu dengan gembira dan ceria.


Jika anda bekerja di luar rumah tetapi dalam masa yang sama, anda juga bekerja di rumah. Masa yang anda ada sangat terhad tetapi jika bijak memanfaatkannya, anda akan lupa tekanan kerja tersebut. Malah, akan wujud rasa seronok walaupun terpaksa melakukan 2 kerja dalam sehari. Kerja di pejabat dan kerja di rumah.

Sebenarnya tiada masalah untuk hadiahkan diri sendiri setiap hari walaupun anda sibuk dengan kerja di pejabat. Anda perlu atur masa sebaik mungkin agar boleh selitkan beberapa aktiviti di atas yang boleh anda lakukan di pejabat seperti minum air, membaca buku, komik, majalah atau Al Quran. Legakan tekanan di tempat kerja dan pulang ke rumah tanpa membawa perihal pejabat anda. Elakkan daripada membawa kerja pejabat ke rumah.

Selain itu, senyuman juga mampu menjadi hadiah buat diri anda. Pandang cermin, lihat wajah sendiri dan senyum. Katakan dalam hati,  "aku gembira, bahagia dan aku seronok". Tetapi berhati-hati ya, senyum jangan sampai orang rasa pelik sudahlah. Nanti mereka fikir kita kurang sihat pula. :)

Salam ceria,
(Naimah Norman)
Seni terapi bekerja dari rumah

Wednesday, 29 April 2015

Terapi Urutan Bayi Di Rumah

Teks: Siti Naimah Norman
Sumber gambar: Koleksi Peribadi

Bayi sangat sukakan belaian dan sangat perlukan perhatian. Bayi yang berusia 2 tahun ke bawah tidak mengenal erti kehendak tetapi mereka tahu keperluan mereka. Antara yang diperlukan oleh bayi seusia itu adalah seperti belaian, makanan, minuman, susu serta pelukkan kasih sayang. Ketika di rumah, belailah bayi anda. Lakukan urutan lembut kepada bayi anda. Ia boleh dilakukan sendiri dari rumah. Tidak perlu pergi ke spa atau tempat urutan. 


Sesi urutan Mohammad sambil menonton televisyen.
Bayi tidak mengenal erti mengada-ngada. Jika mereka meragam, ia pasti ada sesuatu yang mereka ingin sampaikan. Mereka meragam bukan kerana mereka mahu mengedik atau terlebih manja. Sebagai ibubapa, kita harus memahami setiap tingkah laku atau perubahan yang berlaku pada anak.

Bayi kadangkala mahu dipeluk dan dibelai mungkin kerana mereka rasa takut. Dunia rahim tidak sama dengan dunia yang mereka lalui sekarang. Bayi yang kerap dibelai akan ada keyakinan diri yang tinggi dan miliki daya pemikiran yang lebih bijak. Bayi akan lebih tenang dan kurang meragam.

Urutan pada tubuh bayi akan membuatkan mereka rasa disayangi. Antara kelebihan urutan di antaranya ialah:
1. Melancarkan aliran darah tubuh bayi.
2. Membantu memberikan pernafasan yang baik.
3. Melancarkan penghadaman.
4. Memberikan tidur yang lena.
5. Membina keyakinan.
6. Menguatkan otot dan daya ketahanan tubuh.
7. Merapatkan kasih sayang ibu dan anak.

Antara kaedah urutan adalah seperti:
1. Mulakan dari tapak kaki kanan.
2. Urut bahagian peha bayi terutama bahagian sisi peha.
3. Urut bahagian punggung dan pinggang bayi.
4. Selepas selesai urutan di bahagian kanan tubuh, boleh beralih ke bahagian kiri tubuh. Ulangi semula dari kaedah 1.
5. Kemudian, urut bahagian belakang terutama bahagian tulang rawan.
6. Urut bahagian bahu.
7. Untuk bahagian depan badan, urut lembut bahagian perut. Urut menghala ke bawah.

Urutan yang mama lakukan pada tapak kaki Mohamad.
Urutan yang betul mampu meningkatkan tahap kesihatan bayi. Bayi yang merangkak terutamanya akan menggunakan seluruh anggota tubuh untuk aktiviti merangkak itu. Urutan sangat diperlukan untuk membina ransangan urat saraf dan membantu melegakan otot bayi.

Beberapa tanda ini menunjukkan bayi anda memerlukan terapi urutan:
1. Kerap merengek
2. Sukar tidur dan kerap terjaga tidur
3. Kerap kembung perut dan sembelit
4. Meragam dan menangis tidak tahu punca
5. Masalah lambat berjalan atau perkembangan tidak seiring dengan usia.

Bahan yang digunakan untuk urutan.
1. Minyak zaitun
2. Minyak habbatussauda
3. Minyak bunga matahari
4. Bawang putih seulas

Ini bahan yang mama gunakan untuk mengurut Mohamad
Alhamdulillah, mengurut bayi memerlukan kesabaran kerana mereka akan mengeliat bergerak ke sana dan ke sini. Dengan urutan yang konsisten sekurang-kurangnya seminggu sekali atau jika tidak sempat, sebulan sekali pun sudah memadai.

Selepas mama mengurut mohamad, ada beberapa perubahan pada mohamad seperti penghadaman lebih baik. Jika sebelum itu, mohamad akan berak sekali sehari sekali. Beberapa minggu lepas, mohamad berak 2 atau 3 hari sekali. Najisnya lembut tetapi baunya sangat busuk. Tutup hidung mama apabila hendak mencucinya.

Selepas urutan itu, mohamad lebih mudah membuang pagi dan petang. Dia lebih ceria kerana perut selesa dan mama senang hati. Mohamad juga lebih mudah tidur. Belailah bayi anda ketika berada di rumah. Insyaallah akan ada perubahan pada bayi anda. Selamat mencuba!

(Naimah Norman)
Seni Terapi Bekerja Dari Rumah

Ajar Anak Menerima Kekurangan dan Bersyukur

Teks: Siti Naimah Norman Gambar: Koleksi Peribadi Baru siap jahit lencana anak. Mama rajin dan banyak masa sangat. Huhu. Hari ni baru si aba...