Teks: Siti Naimah Norman
Rujukan: http://www.myhealth.gov.my/index.php/my/bayikanak-kanak/tumbesaran-a-perkembangan/televisyen-dan-percakapan-kanak-kanak
Rujukan: http://www.myhealth.gov.my/index.php/my/bayikanak-kanak/tumbesaran-a-perkembangan/televisyen-dan-percakapan-kanak-kanak
Gambar: Google
BERHATI-HATI KETIKA MEMBENARKAN ANAK MENONTON RANCANGAN TELEVISYEN.
Anak kita sangat sukakan rancangan kartun. Kartun memang menyeronokkan bagi kanak-kanak kerana ada warna-warni dan gerak-gerak serta lagu-lagu. Tapi tidak semua kartun boleh ditonton oleh anak kita. Kartun membawa kisah yang pelbagai. Ada yang memberikan pengajaran, membantu pembelajaran dan tidak kurang ada juga yang tidak memberikan manfaat, hanya untuk dijadikan bahan ketawa atau penghibur.
Suatu hari, saya tertonton rancangan kartun A**M**U. Kisah yang langsung tidak boleh dijadikan pengajaran bagi saya dan tidak sesuai untuk anak kita. Dalam rancangan itu, ia menggambarkan karekter seorang kanak-kanak yang degil, suka buat kacau, suka buat orang marah dan kurang ajar.
Adakah ia yang sewajarnya ditonton oleh anak kita?
Kadangkala kita suka membiarkan anak menonton kartun kerana mereka diam dan tidak ganggu kita buat kerja. Tetapi, apa yang ditonton oleh anak kita itu akan diserap oleh minda mereka dan akan mempengaruhi tingkah laku mereka kelak. Berhati-hati dalam memilih rancangan untuk anak-anak.
Televisyen adalah medium elektronik yang berguna dalam menyampaikan maklumat, memberi inspirasi dan menjana pendapatan, namun manfaatnya bagi anak kecil kita sangatlah tehad. Anak sekecil umur 6 bulan sudah mampu melihat dengan jelas warna-warna di sekeliling mereka dan sangat tertarik kepada warna-warna ceria dan bunyi-bunyi yang menarik. Tidak dapat dinafikan warna dan bunyi dapat membantu perkembangan bayi. Namun, ibu bapa hendaklah bijak mengurus waktu menonton yang sesuai bagi anak dan tempoh menonton TV agar tidak terlalu lama.
Dengan cara ini, beberapa kebaikan diperolehi.
1. Kemahiran bercerita
Kanak-kanak boleh bercerita kepada ahli keluarga tentang rancangan TV yang ditonton mereka. Mereka boleh memberi komen tentang watak yang terlibat. Selain itu, ibu bapa juga berpeluang memberi komen. Dengan ini. komunikasi dua hala akan berlaku antara kanak-kanak dan ibu bapa, walaupun dengan menonton TV.
2. Menambah perkataan baru
Kanak-kanak juga dapat belajar perkataan baru. Ini kerana terdapat rancangan TV yang menayangkan perkara atau objek yang tiada di persekitaran harian kanak-kanak. Sebagai contoh, kanak-kanak dapat mengenali dan menyebut ‘zirafah,singa dan buaya’ walaupun binatang tersebut tiada di sekitarnya.
1. Kurang kemahiran sosial
Kemahiran sosial penting bagi individu untuk berhubung dengan orang lain. Individu yang mempunyai kemahiran sosial yang tinggi dapat menyesuaikan diri dalam pelbagai persekitaran. Untuk memiliki kemahiran sosial yang tinggi, seseorang kanak-kanak itu perlu sentiasa berinteraksi atau bergaul dengan orang lain di sekelilingnya. Sekiranya mereka banyak menghabiskan masa dengan menonton TV, semestinya aktiviti sosial berkurang. Maka mereka akan membesar menjadi individu yang kurang bersosial.
2. Kurang bercakap
Menonton TV merupakan aktiviti pasif. Kanak-kanak tidak berpeluang untuk memberi komen atau menyoal semula. Justeru, kanak-kanak akan berdiam diri. Tiada perkataan atau ayat yang disebut. Secara tidak langsung tempoh menonton yang lama mengurangkan masa untuk kanak-kanak berlatih bercakap.
3. Kurang daya imaginasi
Daya imaginasi melatih keupayaan kreativiti kanak-kanak. Apabila kanak-kanak menonton TV terlalu lama, masa yang sepatutnya digunakan untuk aktiviti berbentuk imaginasi telah berkurang Pelbagai aktiviti sedemikian boleh dilakukan, Contohnya mewarna, membina blok, bermain lego dan bermain olok-olok.
4. Kurang tumpuan
Ramai ibu bapa menganggap jika anak boleh memberi tumpuan pada rancangan TV bermakna anak mereka mempunyai tumpuan yang baik. Terdapat kajian yang menunjukkan kaitan antara masalah tumpuan dan tempoh masa menonton TV. Dengan bertambahnya tempoh masa menonton TV bagi kanak-kanak, maka berkurangan tumpuan mereka terhadap pertuturan. Mereka kurang berminat dan lambat memberi respon kepada pertuturan atau perbualan. Tidak sekadar berhenti di peringkat ini, masalah tumpuan seterusnya dapat dilihat apabila kanak-kanak sudah berumur pra-sekolah atau awal persekolahan. Mereka didapati sukar menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira.
Ibu bapa berperanan penting mengawal tabiat menonton TV anak-anak. Antara tips nya ialah seperti berikut:
1. Elakkan bayi dan kanak-kanak berusia bawah 2 tahun menonton TV. Sebaliknya galakkan mereka terlibat dalam aktiviti rangsangan fizikal dan interaksi dua hala.
2. Perhatikan rancangan TV yang ditonton. Jika terdapat unsur yang tidak sesuai, maka ibu bapa mestilah memberi penjelasan.
3. Tentukan rancangan TV yang boleh dan tidak boleh ditonton.
4. Ibu bapa mestilah konsisten dan tegas terhadap peraturan yang telah ditetapkan bersama.
5. Galakkan anak anda menonton rancangan TV berunsur pendidikan. Ini dapat memberi kesan positif terhadap perkembangan anak, termasuklah perkembangan pertuturan dan bahasa mereka.
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia.
menonton tv terlalu lama sangat tak bagus kerana kanak-kanak tidak aktif bergerak. Banyak mengelamun, tak nak berpenat langsung dan makin degil. betul lah
ReplyDelete