Wednesday 31 August 2016

Kembali Meraih Ketenangan Hati Dengan Bersyukur.

Teks: Siti Naimah Norman

Bersyukur! Allah akan tambah nikmat. Itu janji Allah. Dia tidak pernah memungkiri janji.

Allah bagi ujian hidup kerana dia mahu kita belajar bersyukur. Belajar erti hidup. Redha, barulah kita akan tenang. Setiap daripada kita melalui ujian hidup.

Kadangkala kita hampir putus asa. Kita bosan apabila ujian itu kita rasa terlalu berat untuk kita lalui. Bertahanlah!

Kekuatan akan muncul apabila kita tenang. Tenang dalam berfikir dan bertindak. Usah membuat keputusan ketika emosi tidak tenang. Kita akan berhadapan dengan banyak penyesalan nanti. Bertahanlah seketika!.

Ketika saya diuji dengan aslah rumahtangga. Saya mengambil masa 2 hari untuk saya diamkan diri. Bertahan dan memikirkan yang terbaik. Demi anak dan kehidupan seterusnya. Saya buat keputusan untuk bertahan, sehingga hari ini.

Jika saya ambil keputusan memutuskan ikatan perkahwinan mengikut emosi, lari tinggalkan segalanya, tentu saya pun tak pasti bagaimana keadaan saya hari ini. Saya bertahan kerana saya sedang membina kekuatan.

Sesuatu yang saya belajar apabila diuji sedemikian rupa, saya belajar untuk bersyukur. Menerima yang saya dipilih untuk lalui ujian yang saya tak duga pun akan berlaku. Sedikit demi sedikit, rasa kesakitan itu hilang.

Saya memaafkan dan cuba melupakan segala yang berlaku. Sayayakin ada hikmah dan nikmat yang Allah mahu berikan pada saya. Saya berazam untuk ubah diri, penampilan saya dan kehidupan saya. Itulah hikmahnya. Alhamdulillah.

Bertahanlah dan bersyukur! Kita akan raih ketenangan. Salam 1 September 2016. Bulan baru, mulakan semangat baru. Usah terus bertapak di dalam kekecewaan yang berterusan. Selamat maju jaya. :)

No comments:

Post a Comment

Ajar Anak Menerima Kekurangan dan Bersyukur

Teks: Siti Naimah Norman Gambar: Koleksi Peribadi Baru siap jahit lencana anak. Mama rajin dan banyak masa sangat. Huhu. Hari ni baru si aba...