Thursday 7 May 2015

Pengalaman Menjadi Guru

Teks: Naimah Norman
Sumber Gambar: Koleksi Peribadi

Kenangan semasa mengajar di tadika. 

Menjadi guru di tadika Jaim IPD, Alor Gajah adalah merupakan kerjaya terakhir saya sebelum saya melangkah ke alam kerjaya sebagai WAHM(Working at home mama) secara sepenuh masa. Pengalaman menjadi guru banyak mengajar saya erti kasih sayang dan kesabaran. 

Ketika menerima tawaran mengajar ini, saya sedang mengandungkan Mohamad 6 minggu ketika itu. Saya mengajar sehingga kandungan berusia hampir 4 bulan. Saya dikategorikan antara guru yang tegas. Anak didik saya memanggil saya 'Cikgu Siti'. Nampak sahaja 'Cikgu Siti', pasti masing-masing akan duduk diam di tempat duduk masing-masing. Seperti nampak 'singa garang' agaknya.

Pengalaman mengajar sebelum itu banyak mematangkan saya. Kali pertama saya mengajar adalah ketika  di sekolah rendah swasta di Klang. Saya sangat sukakan kanak-kanak dan suka melihat gelagat mereka. Sepanjang mengajar di sana, saya seorang guru yang agak lembut dan kadangkala sahaja garang. 

Memang benar, apabila menjadi guru, persembahan kali pertama kepada murid-murid adalah sangat penting. Persepsi kali pertama murid terhadap guru akan mencorakkan tingkah laku seterusnya murid tersebut. Ada dua sahaja persepsi murid terhadap guru iaitu yang pertama guru itu garang dan yang kedua, guru itu tidak garang. Saya kategori yang ke dua. Oleh kerana persembahan kali pertama saya kepada mereka adalah lembut, maka apabila saya mula menjadi tegas, mereka seolah-oleh tidak dapat terima. 

Sewaktu itu, kelas yang saya ajar adalah darjah 5, 3 dan 2. Paling mencabar mengajar darjah 2. Bayangkan, ketika kita mengajar, murid-murid bermain, bergaduh dan berlari ke sana-ke sini. Memang benar-benar menguji kesabaran. Saya siap main kejar-kejar dengan anak murid kerana mereka tidak mahu masuk ke kelas. Pening kepala dibuatnya. Kerana mereka sudah anggap saya guru yang lembut, jadi mereka tidak rasa takut jika saya marah atau bertegas dengan mereka. Walaupun begitu, ia pengalaman yang menyeronokkan. Keistimewaan kanak-kanak ini, apabila kita marah atau denda mereka, mereka tidak berdendam. Mereka suci dan tidak mengenal erti balas dendam.

Ketika mengajar di tadika pula, saya membawa karekter guru yang tegas. Memang saya tegas ketika mengajar dan memberikan arahan. Kanak-kanak berusia 6 tahun sudah seharusnya diajar erti menghormati. Ketika guru mengajar. mereka harus memberikan perhatian. Ia adalah nilai etika dan moral yang harus mereka fahami. Garang untuk mendidik bukan untuk mengherdik. Kadangkala, kita perlu tegas dan kadangkala, kita perlu bermain dengan mereka. Berikan mereka keserokkan bermain. Bermain adalah proses belajar untuk kanak-kanak. Apabila mereka melangkah ke alam sekolah rendah ketika berusia 7 tahun, mereka sudah diterapkan sikap menghormati guru dan disiplin ketika di sekolah.

Alhamdulillah, cabaran saya seterusnya adalah untuk mendidik anak sendiri di rumah. Rumah adalah sekolah pertama untuk anak kita dan ibu bapa adalah guru pertama yang mendidik mereka. Insya-allah, moga kita mampu mendidik anak-anak kita dari hati. Bersama membina generasi mulia dan bermanfaat kepada orang lain. Sekian perkongsian pengalaman saya.

Naimah Norman
Seni Bekerja Dari Rumah

















2 comments:

  1. Salam perkenalan Nurul naimah.Selamat Tahun Baru 2019. Terima kasih komen Di post saya.😉

    ReplyDelete

Ajar Anak Menerima Kekurangan dan Bersyukur

Teks: Siti Naimah Norman Gambar: Koleksi Peribadi Baru siap jahit lencana anak. Mama rajin dan banyak masa sangat. Huhu. Hari ni baru si aba...