Wednesday 13 May 2015

Mohonlah Kepada Allah Kekuatan Fizikal

Teks: Naimah Norman
Sumber Gambar; Google


Kekuatan fizikal memang diperlukan bagi seorang wanita apabila bergelar isteri dan ibu. Mengurus kerja rumah tangga dan anak-anak menuntut tenaga yang banyak. Wanita itu manusia yang diciptakan dengan rasa letih apabila melakukan kerja dan akan rasa bosan kepada perkara yang sama. Wanita bukan seperti robot yang tidak tahu rasa penat dan mampu statik melakukan sesuatu yang sama setiap hari.

Menjadi ibu dan isteri bagi seorang wanita adalah pengalaman yang menyeronokkan walaupun kadangkala mereka terpaksa menjadi "lipas kudung" menyiapkan banyak perkara dalam sehari. Stamina yang kuat sangat penting bagi wanita itu melakukan kerja rumah di samping kerja di luar rumah. Tanpa kekuatan itu, wanita akan jadi lesu, bangun pagi dalam keadaan lemah gemalai, tiada semangat dan emosi akan mudah terganggu.

Kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu, kadangkala tidurnya lewat, bangunnya awal dan kadangkala tidurnya awal, bangunnya pun awal. Masa tidur yang tidak tetap, bebanan kerja rumah yang banyak dan kerenah anak yang suka membuat sepah di samping kerenah suami kadangkala buat wanita itu hilang kekuatan diri. Apatah lagi apabila wanita itu bekerjaya sama ada kerja di luar rumah mahu pun kerja di rumah. Semua itu memerlukan tenaga yang banyak. Wanita sememangnya allah ciptakan lemah fizikal berbanding lelaki yang memiliki lebih kekuatan fizikal. Oleh  sebab itu Allah memilih lelaki sebagai pemimpin bagi kaum wanita.

" Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita)". (An-Nisaa: 34)

Untuk membangunkan kekuatan fizikal wanita dalam melaksanakan kerja rumah seharian bukan bergantung kepada ubat, jamu, mandi bunga atau herba semata-mata. Pelbagai produk kesihatan pada masa kini yang  menawarkan makanan tambahan untuk menambah tenaga. Dari sudut perubatan, penggunaan ubat-ubatan, jamu, herba bagi memberikan tenaga adalah dibolehkan dan harus di sisi islam selagi mana ia bersumberkan bahan-bahan yang halal dan baik. Tiada masalah untuk para isteri mengamalkannya malah digalakkan.




Namun, semua itu hanya sampingan kerana kekuatan sebenar hanyalah dari Allah. Allah yang membangunkan kekuatan dalaman seseorang itu bagi membolehkannya kekal bertenaga walaupun tidurnya hanya 3 jam sehari. Kuatnya manusia kerana ada Allah. Merasa Allah bersamanya dan menjaga hubungannya dengan Allah. Merasa keberadaan Allah dengan membina hubungan akrab dengan Allah. Membangunkan tahajud pada malam hari dan melazimi membaca Al Quran. Ia sumber kepada kekuatan sebenar. 

“Jagalah Allah niscaya Allah akan menjagamu, jagalah Allah niscaya engkau akan mendapati-Nya di hadapanmu”(HR Tirmidzi)


Kekuatan dalaman perlu dibangunkan bagi meransang kekuatan fizikal. Kekuatan dan semangat dalaman yang hanya mampu diberikan oleh Allah. Bangunkan kekuatan hati agar kekuatan fizikal akan turut bangun bersama. Bangun dan bermunajat pada Allah. Ketika penat dan lelah melakukan tugas seharian, doalah pada Allah, menangis  dan merintih memohon kekuatan. Mohonlah kepada Allah kerana Dia sahaja sumber segala kekuatan. Bukan jamu, ubat, mandi bunga atau herba yang memberikan kekuatan. Kuatnya seseorang manusia itu kerana kebergantungannya yang tinggi terhadap Allah. Segalanya Allah.

No comments:

Post a Comment

Ajar Anak Menerima Kekurangan dan Bersyukur

Teks: Siti Naimah Norman Gambar: Koleksi Peribadi Baru siap jahit lencana anak. Mama rajin dan banyak masa sangat. Huhu. Hari ni baru si aba...