Tuesday 13 October 2015

Dilema Ingin Kembali Mengajar Di Sekolah

Teks: Naimah Norman
Gambar: Koleksi Peribadi.

Sejak kebelakangan ini, hati saya meronta-ronta ingin kembali mengajar di sekolah.
Keinginan kian menebal lebih-lebih lagi memikirkan keadaan ekonomi keluarga kini. Dapat jadi guru ganti sementara pun jadilah.
Pada fikiran saya,
"Jika dapat mengajar di sekolah, separuh hari. Petang saya sudah ada waktu untuk anak".
"Saya tidak meletakkan anak terlalu lama kepada pengasuh. Insyaallah, saya masih mampu menyediakan ruang untuk aktiviti bersama anak".

Kerjaya sebagai guru bukan mudah. Katanya kerja sampai tengahari. Tamat sesi persekolahan, maka tamatlah waktu kerja. Bukan, realitinya bukan begitu.
"Saya rindukan suasana sekolah. Saya ingin kembali mendengar riuhnya suara anak-anak syurga di sekolah". Monolog saya sendirian.
"Apa yang aku inginkan"? Saya bertanya diri sendiri. 
"Guru di sekolah lain. Guru di rumah, lain".
Mungkin pada pandanganku, guru di sekolah lebih bagus penampilannya dan lebih segak pada pandangan orang.
"Mengajar di mana". Orang bertanya.
Buat apa difikirkan apa orang kata, yang penting yang Allah mahukan. Saya selalu memotivasikan diri sendiri. Mencari kekuatan. 

Mahu tidak mahu, kadangkala apabila bersendirian kita akan memikirkan tentang keadaan diri kita, pencapaian kita dan apa perubahan hidup kita. Bekerja sebagai guru tuisyen menyemarakkan lagi semangat saya untuk menyampaikan ilmu pada anak-anak syurga. Ia persediaan juga untuk saya mendidik anak sendiri. Pernah orang berkata, apabila kita mendidik anak orang, belum tentu kita mampu mendidik anak sendiri. Cabaran lebih besar mendidik anak sendiri.

Apabila saya fikirkan semula niat untuk saya kembali mengajar di sekolah, saya terfikirkan tentang anak sendiri. Siapa yang bertanggungjawab untuk mendidik anakku ini jika bukan diri ini sendiri. Kadangkala saya merenung Mohamad anak saya dan air mata saya mengalir. Saya sebak kerana saya ini bukan mama yang baik dalam mendidiknya. Banyak lagi hak-hak masa untuk bersama mohamad saya tidak penuhi. Allah. Saya memohon ampun pada Allah kerana saya alpa dalam memberikan didikan yang terbaik.

Apa yang anak itu mahukan sepanjang dia membesar?
"Perhatian".
Mahalnya harga sebuah perhatian.
Perhatian untuk,
-Bermain bersama.
-Makan bersama.
-Bersembang bersama.
-Solat bersama.
-Belajar bersama.

"Beri perhatian dari hati".
Itulah yang anak inginkan. Tiada yang lain. Benar, perhatian dari hati itulah yang saya belum benar-benar tunaikan. Walaupun bekerja dari rumah, 24 jam bersama anak, kadangkala bukan setiap jam saya fokus pada anak. Jika anak tidur, saya akan fokus bisnes online, buat persediaan mengajar atau kerja rumah yang lain. Apabila anak jaga, saya perlu beri perhatian khusus untuk dia. 

Namun, kadangkala saya gagal beri perhatian itu. Sambil anak bermain, saya online. Anak bermain sendirian dan saya memerhatikannya dari jauh. Kasihan anak.  Sepatutnya masa itulah saya gunakan untuk bermain dan mengajarnya. Perhatian yang anak mahukan. Saya muhasabah diri.

"Niatku berada di rumah untuk ada lebih banyak masa bersama anak namun, sebaliknya berlaku. Masa itu lebih banyak diberikan untuk urusan lain bukan bersama anak. Perbetulkan kembali niat dan amal perbuatan. Allahuakhbar". 

Anak ini lebih mahal dari segala yang kita miliki di dunia ini. Berilah perhatian sewajarnya. Perhatian dari hati yang tulus ikhlas. Moga dengan perhatian itu, kita mampu membina sahsiah dan moral yang baik untuk anak itu membesar. Mendidik anak dari rumah. Insyaallah.





No comments:

Post a Comment

Ajar Anak Menerima Kekurangan dan Bersyukur

Teks: Siti Naimah Norman Gambar: Koleksi Peribadi Baru siap jahit lencana anak. Mama rajin dan banyak masa sangat. Huhu. Hari ni baru si aba...