Monday 21 September 2015

Cemburu Dengan Orang Kerja Makan Gaji


Teks: Naimah Norman

Beberapa hari lepas, saya melihat gambar 2 orang sahabat lama saya yang sama-sama belajar di UiTM dahulu. Gambar tersebut dikirim melalui "whatsapp" dalam kumpulan kos kami. 2 orang sahabat saya itu sudah bergelar pensyarah.

Cemburu. Itulah perasaan saya ketika menatap gambar tersebut. Ketika itu juga perasaan saya bercampur baur. Sedih dan rasa rendah diri. Muncul persoalan di benak fikiran saya.

Pada umur 27 tahun, mereka telah memiliki jawatan sebagai pensyarah. Pencapaian yang mengagumkan. Sebuah kerjaya yang menjadi impian saya. 

"Aku, apa pencapaian aku pada usiaku 27 tahun ini?"

"Apa yang aku miliki sepanjang kehidupanku selepas tamat pengajian ketika berusia 21 tahun"

Persoalan itu muncul dalam fikiran. Ia membuatkan saya sedikit hilang semangat. Hilang selera makan dan kurang bercakap. 

Hati rasa kurang tenteram. Ditambah pula sebelum itu, saya dan suami ada berbincang mengenai kerjaya.

Dalam perbincangan itu, saya memberi pandangan.

"Kalau sayang kerja jadi cikgu, guru ganti gaji dalam RM1400 lebih kurang. Kalau sehari dikira gaji RM70. Tapi belum tolak hari cuti lagi, mungkin bersih dalam RM1000".

"Sama je, kalau tolak duit mengasuh dan keperluan anak, yang tinggal berapa je".

"Kerja sendiri sama banyak dengan gaji. Lagi jimat kerja sendiri, jimat duit mengasuh dan keperluan lain." Tambah saya.

Suami saya jawab. "Sebab itu kenalah cari kerja yang gaji besar".

Saya mula rasa tak puas hati dengan jawapan itu. "Kerja apa yang gaji besar, pengalaman saya apa, hanya mengajar. Kelulusan bukan pendidikan. Pengalaman sebegitu nak minta gaji tinggi, mana ada orang nak ambil". Membebel saya.

"Dulu kenapa tak ambil kos pendidikan", tanya suami. Agak sinis persoalan itu.

Saya jawab, "Abang, kalau saya tahu saya akan jadi guru hari ini, dah tentu saya pilih kos pendidikan dari dulu. Tak perlu susah payah bagai nak belajar geomatik ni". 

Saya bangun dan berlalu ke dapur. Rasa geram apabila dipersoal perkara yang tidak masuk akal. Takdir kehidupan, tiada siapa yang tahu. Manusia mampu merancang, Allah menentukan.

Saya jenis terus terang. Dalam rumah tangga sangat perlu telus dan berterus - terang. Nampak seperti bergaduh. Tapi hakikatnya itulah cara saya berdebat dengan suami. Tegas supaya suami berfikir.

Selepas perbincangan itu, masing-masing terdiam. Perbincangan tamat di situ. Namun, perasaan tidak aman kekal lagi dalam hati saya. Saya muhasabah semula. Berfikir dan merenung. 

"Aku tidak menjadi pensyarah. Allah tidak pilih aku. Tapi Allah takdirkan aku jadi guru tuisyen di rumah dan guru kepada anak aku di rumah. Aku harus bersyukur"

"Aku mungkin tidak memiliki harta, kereta, dan tak mampu nak beli aset dengan pendapatanku sekarang. Namun, aku telah miliki aset yang paling mahal iaitu anak dan suami"

"Orang lain hidup mampu memiliki kereta dan rumah sendiri, tapi belum tentu mampu miliki anak dan suami. Belum tentu".

"Aku mesti menghargai apa yang aku miliki sekarang, kerana ia takdir yang terbaik yang Allah beri". Monolog saya sendirian. 

Selepas solat saya berfikir. Selalunya ia waktu yang sangat tenang untuk kembalikan semangat yang hilang. Kepada Allah tempat meminta.

Membaca petikan dalam ebook super wahm super mom ini juga sangat memberi semangat.

 "Ramai merasakan rugi kerana tidak bekerja makan gaji, membazir masa dan wang ringgit, belajar tinggi hingga ke peringkat ijazah tetapi duduk di rumah. Kepada kebanyakan orang mereka merasakan bekerja dari rumah itu sesuatu yang remeh dan lekeh. Sedangkan sebenarnya, masa dan tenaga yang diperah untuk menjayakan perniagaan itu adalah lebih berat berbanding bekerja makan gaji." - Farah Hafizah

Akhir kata daripada saya, sebagai suri yang bekerja dari rumah, mengusahakan bisnes di rumah dan menjaga anak di rumah, usah pernah menyesal dengan pilihan yang dibuat. 

Kadangkala, apabila melihat orang lain yang miliki apa yang kita tidak miliki, rasa cemburu akan timbul. Ia lumrah. Alirkan rasa cemburu itu dengan usaha yang lebih kuat. Gandakan lagi usaha. Cari sudut-sudut positif supaya kita kekal bersemangat walaupun kita hanya bekerja di rumah.

Salam Sayang.
Naimah Norman
(Mama Yang Bekerja Dari Rumah)

No comments:

Post a Comment

Ajar Anak Menerima Kekurangan dan Bersyukur

Teks: Siti Naimah Norman Gambar: Koleksi Peribadi Baru siap jahit lencana anak. Mama rajin dan banyak masa sangat. Huhu. Hari ni baru si aba...