Monday, 8 December 2014

Anak Baligh Di Usia Muda

Teks: Siti Naimah Norman



Apabila berbicara mengenai perkahwinan, kita tidak dapat lari daripada membicarakan soal anak. Setiap pasangan yang berkahwin pasti memasang keinginan untuk memiliki anak. Anak anugerah terindah yang menjadi tanggungjawab buat kedua ibu dan bapa. Peranan mendidik anak terletak di atas bahu kedua-duanya. Perkembangan anak yang kian meningkat dewasa memberikan cabaran buat ibu dan bapa. Anak kian membesar dan mencapai umur baligh.

Apakah yang dimaksudkan dengan baligh? 
(Rujukan; http://www.ustazshauqi.com/2013/04/umur-baligh.html)

Maksud baligh ialah apabila seseorang lelaki atau perempuan telah sampai pada tahap umur tertentu, maka dia menjadi seorang yang layak menerima taklif (tanggungjawab) yang ditentukan oleh syarak seperti solat, puasa, haji dan lain-lain. Orang Islam yang akil baligh disebut juga sebagai ‘mukalaf’. 


Menurut Syeikh Dr. Mustafa al-Bugha dan rakan-rakan dalam buku al-Fiqh al-Manhaji, tahap baligh seseorang itu dapat diketahui dengan beberapa perkara: Mimpi keluarnya mani, sama ada lelaki atau perempuan. Melihat darah haid. Ini khusus untuk perempuan sahaja. Waktu yang menjadikannya baligh disebabkan mimpi atau keluar haid ialah apabila dia mencapai umur sembilan tahun Qamariah (menurut bulan Islam).

 Kelewatan atau tidak daripada umur tersebut adalah bergantung keadaan sesebuah negeri dan suasana kehidupan. Berumur 15 tahun berdasarkan tahun Qamariah (hijrah). Keadaan ini diambil kira apabila tidak berlaku mimpi atau tidak keluar haid. Sewajarnya setiap individu muslim sudah mengetahui dengan yakin apabila sudah sampai umur baligh, maka sudah sampailah ‘seruan’ kepada mereka untuk melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya.

 Pada tahap itu mereka sudah mampu dari segi segala aspek fizikal dan mental untuk memikul serta melaksanakan perintah Allah SWT, dan sudah lengkap bersedia dengan ilmu fardu ain dan bukan masanya lagi untuk berlengah dan bertangguh! Ini kerana mereka telah bertanggungjawab atas segala perbuatan sebagai ‘hamba’ Allah SWT. Baik atau buruk akhlak dan prestasi sebagai ‘hamba’ Allah SWT sudah ada ganjaran dan hukumannya.
Tugas memahamkan anak tentang proses perubahan apabila baligh adalah peranan ibu dan bapa. Peranan bukan terletak kepada ibu sahaja untuk menerangkan pada anak gadis tentang kedatangan kitaran haid dan perubahan bagi anak lelaki apabila telah baligh. Bapa juga berperanan besar dalam memahamkan anak-anak. Perubahan bukan sekadar perubahan emosi, fizikal tetapi juga cara penjagaan diri. Penjagaan kebersihan dan kesihatan.


Perkara yang paling utama sepatutnya adalah dengan menerangkan tentang konsep akidah. Kembalikan perkara tersebut kepada Allah. Mengapa Allah jadikan manusia perlu melalui proses baligh? Apa yang Allah perintahkan apabila sudah baligh? Penjagaan aurat, batas pergaulan dan kewajipan melaksanakan perintah Allah. Menerapan tentang dosa pahala bagi yang sudah baligh juga perlu. Tidak lengkap jika hanya mengaitkan proses baligh tersebut dengan sains dan biologi. Ibu dan bapa perlu kaitkan ia dengan agama supaya anak terdidik untuk menjaga agama sejak dari kecil.

No comments:

Post a Comment

Ajar Anak Menerima Kekurangan dan Bersyukur

Teks: Siti Naimah Norman Gambar: Koleksi Peribadi Baru siap jahit lencana anak. Mama rajin dan banyak masa sangat. Huhu. Hari ni baru si aba...