Tuesday, 9 December 2014

Tips Memotivasikan Diri

Teks: Siti Naimah Norman

Assalamualaikum.

Hari ini saya nak kongsikan tips bagaimana kita hendak memotivasikan diri dalam mencapai sesuatu matlamat. Setiap orang memasang impian tetapi kadangkala ia hanya menjadi angan-angan. "Angan - angan Mat Jenin" kata pepatah melayu. Kita tidak mahu hanya angan-angan tetapi impian yang nyata. Angan-angan yang disertai dengan langkah akan merealisasikan impian. Tiada yang mustahil.

Tips ini saya ambil semasa menghadiri seminar motivasi SPM pada tahun 2005. Lama sudah tips wujud bukan? Saya namakan ia 'Tips Menjadi Nombor 1'.

Kenapa No 1?

Ada apa dengan No 1?

Jawapannya:
Kita mesti menjadi No 1 bermakna dalam segala hal kita jadi yang pertama. Jika kita imbas kembali zaman persekolahan, adalah menjadi kebanggaan jika mendapat nombor 1 dalam peperiksaan atau pertandingan. Nombor 1 dikaitkan dengan kejayaan. Rasa sangat bangga bukan? Rasa seronok dan berkeyakinan. Langkah kita selepas itu akan lebih termotivasi.

Sekarang kita pasang impian dalam hidup; " Aku ingin menjadi No 1"

Tips atau strateginya adalah 'SATU'.

S - Sedia
A - Analisa
T - Tumpuan
U - Usaha

Sedia - bermakna kita bersedia dari aspek fizikal dan mental. Sediakan biar awal jangan 'last minute'. Hari ini kita sudah sediakan perancangan untuk hari esok. Sedaikan buku perancangan sebaiknya dan rancang jadual untuk hari esok dan perancangan untuk tahun seterusnya. Sedia juga bermakna kita bersedai dari segi mental dalam menghadapi segala kesulitan dalam mencapai matlamat yang diimpikan. Sebelum mencapai kejayaan mungkin kita akan berdepan dengan cabaran kehidupan yang akan memberikan tekanan pada kita. Sediakan jiwa kita dengan pengisian rohani agar kita lebih tenang dang kuat untuk harunginya.

Analisa - Seterusnya buatlah analisa dan kajian terhadap diri dan kehidupan orang lain. Banyakkan membaca tentang kejayaan orang lain dan mengikuti perkembangan mereka. Jika ingin menjadi orang positif, bacalah tentang perkara-perkara positif. Berfikiran positif penting bagi membina motivasi diri yang kuat. Sentiasa analisa apa kekurangan diri dan apa kekuatan diri. Kekurangan untuk diperbaiki dan kekuatan untuk dijadikan platform kepada kejayaan. Setiap manusia ada keistimewaan tersendiri dan kejayaan adalah milik setiap insan.

Tumpuan diperlukan dalam setiap perkara yang dilakukan. Tumpu pada matlamat tatkala motivasi diri merundum. Kadangkala kita letih dengan tugas seharian dan pekerjaan yang kita lakukan. Kita jadi letih dan tiada perasaan nak lakukan apa-apa perkara sekali pun. Kembalikanlah motivasi dengan melihat matlamat. Tulis dan tampal matlamat itu. Ramai orang tulis tetapi di dalam buku dan tersimpan. Kadangkala sahaja lihat bila hati sudah hilang tumpuan. Mulai hari ini tulis dan tampal motivasi itu.  Lihat setiap hari. Insyaallah ia menjadi doa.

Setelah melakukan analisa, banyakkan membaca dan mengkaji apa yang membantu kepada matlamat kita dan teruskan usaha tanpa jemu. Kejayaan tidak dicipta dalam satu hari. Bayangkan setiap hari sebelum anda melakukan sesuatu perkara. Menurut Prof Muhaya; Bagi membantu kelancaran aktiviti kita pada esok hari, tulis dan rancang serta bayangkan perjalanan aktiviti tersebut. Ia akan terakam dalam minda bawah sedar kita dan seterusnya memberikan kekuatan dalaman untuk terus berusaha sehinggga matlamat yang kita impikan tercapai.

Ia memang kaedah yang berkesan kerana saya pernah melakukan sewaktu saya berada di tingkatan empat. Kerana saya bersekolah di sekolah jenis agama, saya wajib mengambil peperiksaan Sijil Menengah Agama ( SMA). Antara subjek yang saya perlu ambil seperti hadis, feqah dan bahasa arab. Sejujurnya saya bukan orang yang meminati subjek hafalan kerana saya rasakan sukar untuk menghafal sesuatu perkara lebih - lebih lagi ayat atau syarahan yang panjang. Saya pula pelajar baru dan bersaing dengan ramai pelajar lama di sekolah tersebut sedikit sebanyak menurunkan keyakinan saya.

Apa yang saya lakukan adalah dengan membayangkan kejayaan saya. Saya bayangkan saya naik ke pentas mengambil hadiah. Sewaktu itu tidak tahu lagi tentang kaedah minda bawah sedar ini. Kerana saya suka berangan, saya selalu berangan naik ke pentas mengambil hadiah. Alhamdulillah Allah makbulkan angan-angan saya. Ia memang sebuah angan-angan yang tidak bertulis namun menjadi sebuah impian yang terlaksana kerana saya berusah bersungguh-sungguh. Dapatlah saya merasa naik ke pentas menerima sijil kecemerlangan kerana mendapat jaid jiddan dalam peperiksaan SMA tersebut. Waktu itu hanya seorang sahaja pelajar di sekolah saya mendapat mumtaz.

Setelah berusaha bersungguh-sungguh barulah tawakkal berserah tetapi disertakan dengan doa yang berterusan. Insya Allah kejayaan milik kita!

No comments:

Post a Comment

Ajar Anak Menerima Kekurangan dan Bersyukur

Teks: Siti Naimah Norman Gambar: Koleksi Peribadi Baru siap jahit lencana anak. Mama rajin dan banyak masa sangat. Huhu. Hari ni baru si aba...