Sunday, 7 December 2014

Terapi Hati Menurut Imam Ghazali

Teks: Siti Naimah Norman



Hati raja bagi tubuh. Dalam hati tersimpan segala hasrat, keinginan dan keazaman. Kuatnya jasad kerana ada dorongan kuat daripada hati. Tetapi kadangkala terlalu mengikut hati akan menjadi mati. Mati hati mengakibatkan terhentinya segala kebaikan sepertimana terhentinya aliran darah dalam tubuh apabila jasad telah kembali kepada Allah. Tiada lagi semangat untuk melaksanakan kebaikan, tiada lagi keinginan dalam melaksanakan ibadah dengan bersunguh-sungguh malah menjadi penggemar koleksi dosa.

Hampir setiap hari kita cuba menghindari dosa tetapi kita tidak mampu kerana hati kita lemah dengan dorongan nafsu dan bisikan-bisikan syaitan. Hati kita kian hitam kerana tompokkan dosa telah menjadi besar dan akhirnya hati kita menjadi keras. Hati kita sukar melaksanakan tuntutan agama malah menjadi runsing jika ketinggalan perihal dunia.

Hati yang keras akan melahirkan jasad yang keras. Keras dari segi perkataan, perbuatan malah tindakan. Hati yang keras itu perlu dilembutkan kembali agar hidayah Allah kembali menjadi pendorong kita. Hidayah Allah sukar untuk menembusi hati yang ada hijab. Hijab ini adalah penghalang. Hijab itu harus dibuang supaya hidayah akan hadir.

Bagaimana caranya? 

Menurut Imam Ghazali, tokoh ulama terkemuka menasihati kita; Caranya dengan mencari kembali di mana hati kita. Cari hati kita dalam beberapa perkara antaranya;
1. Ketika kita membaca Al Quran
2. Ketika kita solat
3. Bertafakur mengingati dosa dan perbuatan - perbuatan kita yang lalu
4. Mengingati mati.

Ketika membaca Al Quran hati kita sepatutnya akan menjadi lunak dan getar. Orang yang beriman itu sangat gerun apabila dibacakan ayat-ayat dari kitab Qalamullah. Al Quran yang terkandung di dalamnya keterangan tentang hari akhirat, hari pembalasan, dosa dan pahala. Membaca dan memahami maknanya serta menghayati apa yang ingin Allah sampaikan akan membuat hati kita takut sekali. Kita akan berasa tidak aman jika ada melakukan larangan Allah dan sangat takut dengan balasan Allah. Ketika diri merasa tidak kuat utuk melakukan ibadah, bacalah al quran supaya kita dapat mencari kembali hati yang hilang itu. Jika hati kita tidak jumpa juga hati kita, dirikanlah solat.

Solat yang dilakukan dengan khusyuk dan ikhlas akan dapat menjaga diri kita daripada melakukan larangan Allah. Mengembalikan kekuatan hati kita. Persoalannya; apabila telah melakukan solat fardu, tidak pernah tinggal walaupun 1 waktu solat, 5 kali sehari, tetapi kita tetap tidak berubah.  Bagaimana? Hati kita tetap menjadi keras dan sukar menerima nasihat dan perkara kebaikan. Sudah cukupkah solat 5 waktu itu bagi kita?. Sebenarnya kita mesti tambahkan solat kita dengan solat sunat. Solat fardu itu ibarat modal kita di dunia ini dan solat sunat itu untung kita. Jika kita hanya berbekalkan modal di dunia ini, tiada keuntungan bagi kita. Sebab itu kita perlu laksanakan solat sunat agar ada untung untuk kita. Solat sunat akan menjadi saham kita yang akan melengkapkan solat fardu kita yang compang - camping itu.  

Setelah solat dilakukan kita seharusnya bertafakur mengingati kembali dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Allah maha pengampun. Taubat hambaNya tidak pernah dipersiakan. Rugilah kita jika tidak mampu berfikir walau sejenak. Ingat kembali dosa akan menjadikan kita lebih berhati-hati. Ingat kembali nikmat dan anugerah Allah. Adakah kita bersyukur? Kerdilnya kita tidak punyai apa-apa. Mengapa kita tidak mahu bersyukur. Rendahkan hati kita agar kita lebih lunak dalam tindakan. Sesungguhnya beruntungnya bagi orang-orang yang berfikir. Berfikir tentang keesaan Allah dan kehebatan ciptaan Allah. Fikir dan fikir. 

Orang yang paling bijak adalah orang yang mengingati kematian dan membuat persediaan untuknya. Kematian itu pasti. Syarat untuk bertemu dengan Allah adalah mati. Persoalannya mati yang bagaimana. Husnul khotimah iaitu pengakhiran yang baik. Sudah tentu kita mahu bertemu dengan Allah dengan membawa amalan yang baik dan menerima kitab dari tangan kanan. Maka jadilah orang yang bijaksana. Di sana akhirat itu tempat kembali. Di sini di dunia hanya tempat persinggahan. Persediaan di dunia menuju akhirat, matlamat utama kita. wallahua'lam.



No comments:

Post a Comment

Ajar Anak Menerima Kekurangan dan Bersyukur

Teks: Siti Naimah Norman Gambar: Koleksi Peribadi Baru siap jahit lencana anak. Mama rajin dan banyak masa sangat. Huhu. Hari ni baru si aba...