Sumber Gambar: Google
Lelaki adalah insan yang sukar meluahkan isi hati. Di sebalik kegembiraan tersembunyi kesunyian, kekosongan dan kedukaan.
Seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita. Wanita itu menjadi pilihannya kerana hatinya sudah jatuh hati dengan pesona wanita itu. Wanita itu kelihatan anggun, berkeyakinan dan miliki kerjaya tetap. Dia seronok berkahwin dengan wanita itu. Begitu juga wanita itu. Mereka saling mencintai satu sama lain.
Setahun berkahwin, mereka telah dikurniakan seorang anak. Masuk tahun ke dua perkahwinan. Hatinya kadangkala gelisah. Dia tidak tahu hendak diluahkan bagaimana. Saban hari, dia merasakan hatinya kian kosong. Apabila pulang ke rumah. Dilihatnya isteri tiada, dia setia menunggu isterinya pulang lewat daripada kerja. Dia bersabar kerana dia memahami rutin kerja isterinya yang sibuk. Anak, dia yang ambil daripada rumah pengasuh. Waktu pagi isterinya yang menghantar. Pulang pula dia yang mengambilnya.
Setiap kali pulang dari rumah, jika isterinya pulang awal, dia melihat isterinya menghadap komputer. Kadangkala sampai ke malam dan subuh. Isterinya menyiapkan kerja pejabat yang tertangguh.
Dia memahami, namun pernah juga dia bersuara, "yang, sudah-sudah la kerja tu, jangan berjaga sampai larut malam nanti besok nak kerja mengantuk". Isterinya akur dan berhenti membuat kerja. Namun beberapa hari kemudian, dia terpaksa berjaga malam lagi menyiapkan kerja. Dia rasa perlu kerja keras untuk menghasilkan hasil kerja yang berkualiti.
Hal itu berlarutan, si isteri kadangkala, sibuk berbalas "massage" di "whatsapp". "Facebook chat". Isterinya itu menjalankan bisnes online secara sambilan. Kebiasaan selepas tamat waktu bekerja, dia akan "update" aktiviti bisnesnya. Hal itu sering membuatkan dia dan suami berselisih. Dia berharap suaminya memahami. Dia melakukan semua untuk membantu suaminya. Meringankan beban suaminya.
Suami kian merasa sepi dengan kesibukkan isteri. Rakannya di pejabat menjadi teman gurau dan sembang. Kadangkala, bukan dia tidak bersembang dan bergurau dengan isterinya, namun hatinya tidak seronok. Rasa berlainan. Kadangkala bergurau dengan rakan-rakan di pejabat dirasakan lebih menyeronokkan. Isterinya terlalu serius dan kurang manja baginya. Kadangkala dia merasakan seronok bersembang dengan rakan perempuan di pejabatnya sehingga dia merasakan dia seperti bujang. Bebas bersembang.
Dia pulang ke rumah, bermain dan bergurau dengan anaknya. Dia rasa seronok. Anak itu menjadi asbab dia pulang ke rumah. Hanya anaknya yang diingatinya. Hatinya kesunyian dan pernah juga dia terfikirkan perempuan lain. Perempuan lain mungkin akan dapat mengisi kekosongan hatinya. Isterinya tidak lagi berada di hatinya. Mereka telah jauh. Jauh di hati walaupun dekat pada jasadnya. Hendak bernikah lagi, namun kewangannya tidak mengizinkan.
Namun demikian, haruskah dia bernikah lagi untuk mengubati kekosongan hatinya? Persoalan itu sering bermain di mindanya. Ada isteri, namun hatinya kosong dan sunyi. Perkahwinan dirasakan tidak lagi nikmat. Dia dan isteri disibukkan dengan kerja. Mereka sudah jarang bersembang mesra. Hanya bercakap perkara yang perlu. Jika di hujung minggu, dia menghabiskan masa dengan tidur kerana penat sepanjang minggu bekerja. Bangun untuk solat dan sambung tidur semula. Namun hakikat perkahwinan harus diteruskan. Itulah hakikat naluri seorang lelaki. Kesunyian dan kesepian. Tidak terluah dan terpendam di sudut hati yang dalam.
No comments:
Post a Comment