Saturday, 21 March 2015

Saya Mahu Menjadi WAHM

Teks: Siti Naimah Norman
Gambar: Koleksi Peribadi



Sebaik sahaja tamat pengajian sarjana muda di Universiti Teknologi Mara, saya telah diterima bekerja sebagai guru di sebuah sekolah rendah swasta di kelang. Itulah pekerjaan pertama saya selepas tamat belajar tetapi kerjaya itu hanya bertahan selama 3 bulan sahaja. Saya telah meletakkan jawatan kerana ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana. Matlamat saya ingin menjadi seorang pensyarah kerana saya cintakan bidang pendidikan.

Sebenarnya ketika itu saya masih tiada perancangan tetap dan masih tercari-cari arah sebenar sama ada mahu bekerja atau belajar. Faktor tekanan kerja yang berat sebagai sorang guru di sekolah swasta juga menjadikan saya ingin segera meletakkan jawatan. Sebulan juga saya ambil masa untuk meneruskan rancangan saya menyambung pelajaran ke peringkat sarjana. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk bekerja semula dan melupakan rancangan saya menyambung pelajaran ke peringkat sarjana.

Ketika itu memang saya menganggur. Hampir sebulan lebih lamanya saya cuba mencari pekerjaan. Saya hampir putus asa. Semua permohonan kerja saya tiada jawapan. Saya menyewa di shah alam ketika itu. Saya banyak meluangkan masa bertukar pandangan dengan sahabat karib saya masa itu. Saya panggil sahabat saya itu "kak sha". Kami banyak berbincang mengenai pekerjaan, pelajaran, perkahwinan dan pelbagai topik. Kak Sha dulu pernah bekerja selepas tamat pengajian stpm sebelum dia menyambung pengajian di bidang bisnes. Ketika itu , kami berbual di kedai makan.

"Kak, nantikan kalau kak kahwen, kak nak kerja tak?". Tanya saya pada kak sha.

"Kerja. Saya memang nak kerja walaupun dah berkahwin". Jawab Kak Sha.

"Kenapa awak tanya?" Soal kak Sha semula.

"Takdelah saje tanya. Saya ada perancangan nak kerja sendiri sebab nak jaga anak sendiri. Berat rasa hati nak kerja dan hantar pada pengasuh". Kata saya.

Kak sha jawab; "Saya lebih suka bekerja. Anak yang kita jaga sendiri tak semestinya terbaik. Sebab Allah sebenarnya yang jaga anak kita, bukan kita. Walaupun kita hantar pada orang, jika kita benar-benar jaga hubungan dengan Allah, insyaallah Allah akan jaga anak kita". Hujah Kak Sha.

Secara peribadinya saya setuju dengan pandangan Kak Sha itu. Namun demikian saya tak dapat nafikan kehendak hati saya yang kuat untuk bekerja sendiri dan ingin menjaga anak sendiri apabila saya sudah berkahwin kelak. Saya ingin mulakan bisnes pada masa itu tetapi saya tidak tahu cara. Saya buntu sangat pada masa itu. Namun saya harus lalui kerana saya perlukan wang. Wang simpanan yang ada semakin susut. Saya teruskan misi pencarian kerja. Sangat sukar untuk mendapatkan pekerjaan waktu itu. Semua permohonan yang saya buat tiada jawapan yang positif.

Ketika kemelut itu, datang lamaran daripada seorang lelaki yang kini suami saya. Dalam keadaan tidak mempunyai pekerjaan yang tetap, lamaran itu membuatkan saya sedikit gusar. Sewaktu itu suami saya masih bekerja di shah alam. Sebelum itu, suami saya ini telah merisik saya dan keluarga. Jika sekadar merisik saya tidak anggap ia serius, tetapi apabila setelah suami menyampaikan lamaran, saya anggap ia bukan perkara mainan. Soal perkahwinan adalah perkara yang akan mencorakkan kehidupan saya seterusnya.

Setelah membuat istisyarah, berbincang dengan orang yang lebih arif. Saya menerima lamaran tersebut. Dua bulan selepas itu kami bertunang. Dalam proses pertunangan itu, saya pernah berbincang mengenai kerjaya saya selepas mendirikan rumah tangga nanti. Saya pernah nyatakan hasrat untuk tidak bekerja. Saya ingin bekerja sendiri. Hasrat saya itu tidak dipersetujui suami saya masa itu. Faktor ekonomi menyumbang kepada rasa tidak yakin dia jika saya tidak bekerja. Dia juga masih mencari-cari pekerjaan lain yang lebih kukuh. Dia risau jika hanya dia seorang yang bekerja akan menyebabkan banyak keperluan rumah tangga tidak dapat di penuhi. Banyak wang diperlukan bagi membayar sewa rumah, makan minum, pakaian dan keperluan lain.

Saya memahami situasi yang ingin suami saya jelaskan. Saya faham bukan mudah untuk menguruskan keperluan yang banyak dalam keadaan kewangan yang tidak stabil. Namun kerana keyakinan terhadap rezeki Allah, kami nekad teruskan hasrat mendirikan rumah tangga walaupun dalam keadaan ekonomi masih terumbang ambing. Saya simpan hasrat untuk bekerja sendiri dan teruskan misi mencari pekerjaan. Kerja makan gaji memang keutamaan saya.

Dipendekkan cerita, selepas berkahwin saya mengikut suami berhijrah ke Melaka. 2 bulan saya jadi suri rumah tangga sehingga saya mendapat tawaran mengajar di Tadika Jaim, Melaka. Saya anggap ianya rezeki perkahwinan saya. Ketika menjadi suri rumah itu, saya ada cuba-cuba promosi produk kesihatan dengan membina blog bisnes. Namun kerana kecetekkan ilmu saya pada masa itu, saya tidak berjaya membuat jualan walaupun satu produk. Kecewa dan akhirnya saya fokus untuk mencari pekerjaan. Saya membuat permohonan mengajar. Alhamdulillah, rezeki saya, permohonan itu diterima. Saya juga mendapat berita gembira kehamilan saya waktu itu.

Selepas kontrak mengajar saya tamat, semasa akhir tahun 2013, waktu itu musim cuti sekolah. Sekolah bercuti dan urusan permohonan untuk memperbaharui kontrak mengajar ditangguhkan. Namun sesi temuduga diadakan dan saya telah melalui sesi temuduga itu. Sesi itu termasuk temuduga lisan dan bertulis. Sebulan saya tunggu keputusan temuduga dengan harapan saya dapat mengajar kembali menjelang sesi persekolahan 2014, namun saya tidak terpilih.

Sehingga sesi persekolahan bermula, tiada jawapan daripada pihak jaim. Saya anggap tiada rezeki saya. Dengan keadaan perut makin membesar, sukar untuk saya diterima bekerja. Suami pun nasihatkan saya supaya fokus pada kehamilan dan tunggu kelahiran anak kami.

Allah memberikan jalan serta rezekinya sangat luas. Tidak saya duga, keputusan saya meneruskan perniagaan produk kesihatan dan pemakanan sunnah telah mengubah kehidupan saya. Selepas lahirnya anak saya Mohamad, saya nekad untuk berniaga online. Saya nekad dan lakukan dengan sungguh-sungguh. Saya mulakan promosi di laman sosial dan ia berkembang dari mulut ke mulut. Alhamdulillah ia mendapat sambutan.

Semakin membugar hasrat saya ingin jadi "WAHM" atau " working at home mom" walaupun saya tak tahu pun makna sebenar "WAHM tu. Saya mencari maklumat di internet dan akhirnya Allah buka jalan dengan penemuan saya dengan ABDR(Akademi Bekerja Di Rumah). Ia menjadi titik permulaan kerjaya saya di rumah secara serius. Alhamdulillah syukur nikmat dan anugerah Allah pada saya. Allah memakbulkan hajat saya untuk menjadi "WAHM".

Saya gembira dengan kerjaya saya sekarang. Terima kasih Allah. Moga kisah saya yang tidak seberapa ini menjadi penyuntik semangat buat kalian yang ingin menjadi "WAHM". Usah putus asa, berusaha sungguh-sungguh dan tawakkal. Berdoa selalu, insyaallah ia akan diperkenankan. Selamat maju jaya buat semua wanita yang ingin bergelar "WAHM".

No comments:

Post a Comment

Ajar Anak Menerima Kekurangan dan Bersyukur

Teks: Siti Naimah Norman Gambar: Koleksi Peribadi Baru siap jahit lencana anak. Mama rajin dan banyak masa sangat. Huhu. Hari ni baru si aba...