Rawatan Alternatif 2000
Oleh Dr Norhisham Wahab
Masih ingat lagi akan petua orang tua-tua apabila seseorang itu menghidap beguk di leher? Biasanya bahagian bengkak di leher akan di sapu nila (sejenis bahan pewarna kebiruan diguna untuk memutihakan kemeja putih) dan dua tiga hari kemudian bengkak tersebut akan hilang. Ramai mengaku bahawa nila sebagai ubat alternatif lebih berkesan, murah dan mudah daripada antibiotik dalam mengatasi masalah beguk ini?
Apa sebenarnya kehebatan nila dalam penyembuhan penyakit tersebut? Mungkinkah wujud perkaitan rapat antara warna dan tubuh anda?
Menurut Dr.Norhisham Wahab pensyarah kinesiologi gunaan, hal ini boleh dijelaskan menerusi pendekatan Terapi Getaran Warna atau Colour Vibration Therapy. "Warna memainkan peranan penting dalam menyembuh, memberi tenaga dan menyeimbangkan tenaga pada tahap-tahap tubuh yang berbeza. Setiap elemen kimia dan benda-benda hidup di dunia ini mempunyai ciri-ciri rajah tenaga warnanya tersendiri. Ini termasuk tubuh badan anda dimana bahagian kepala dinaungi warna-warna lembayung di mana putih diibaratkan kunci mahkota kepada segala warna," terang Dr. Norhisham.
Dr. Norhisham juga merupakan seorang saintis, pakar kinesiologi serta pengasa perubatan Terapi Getaran Cahaya (Colour Vibration Therapy) yang pertama di Malaysia. Beliau merupakan lulusan Open International University, Jerman. (Kinesiologi digunakan dalam bidang perubatan tradisional sebagai satu kaedah yang sangat berkesan dalam mengenal pasti dan membetulkan tekanan serta ketidakseimbangan dalam badan.Ini dilakukan menerusi ujian otot bio-maklum balas atau muscle testing bio-feedback).
Kinesiologi diguna secara meluas di luar negara. "Pengamal kinesiologi tidak perlu bertanya pada pesakit mengenai penyakitnya, hanya dengan mengenal pasti punca melalui simptom yang dialami pesakit. Sebenarnya perkataan ‘penyakit’ itu sendiri tanpa disedari boleh melemahkan sistem imunisasi seorang pesakit dan menyukarkan penyembuhan," kata Dr. Norhisham.
Seterusnya Dr. Norhisham berkata bahagian leher diliputi warna kebiru-biruan yang menjadi kawalan sistem immune tubuh anda dari serangan virus. Dan warna ini akan terganggu apabila seseorang itu menghidap penyakit seperti beguk maka, nila digunakan bagi mengembalikan warna biru yang terganggu di bahagian ini, jelas Dr. Norhisham. Warna hijau segar meliputi dari bahagian dada hingga pangkal perut yang mengawal perasaan, sementara warna kuning meliputi bahagian perut. Bahagian pinggul pula dilingkari warna merah.
Sambungnya lagi, warna merah lebih sesuai dipakai pada bahagian pinggang ke bawah dan bukan sebaliknya. Begitu juga dengan pemakaian inai di jari dan kadangkala di tapak tangan atau kaki pengantin dikatakan boleh merangsang getaran hormon kesuburan lelaki dan wanita.
Warna merah sering dikaitkan dengan warna penyakit kerana itulah orang tua-tua menyuruh kita masuk ke dalam rumah ketika menjelang malam (maghrib) kerana langit ketika itu berwarna kemerah-merahan atau warna amaran. Jika begitu, mesej apakah yang ingin anda sampaikan apabila memakai blaus merah?
Terapi Getaran Warna: Merawat dan Penyeri Wajah
Terapi Getaran Warna atau Coloru Vibration Therapy dikatakan kaedah rawatan kesihatan dan kecantikan yang pertama diperkenalkan di negara ini. Ia boleh dianggap sebagai kaedah rawatan terkini alaf 2000 kerana ia berkesan, murah dan tiada kesan sampingan serta boleh mengubat pelbagai penyakit termasuk barah dan ketagihan. Terapi ini amat terkenal di negara-negara Barat yang maju malah, Dr. Norhisham pernah cuba memperkenalkan barangan seumpamanya buatan England di sini. Namun usaha ini tidak berkesan apabila beliau menyedari bahawa rumusan yang digunakan tidak sesuai dengan geografi negara ini.
Hari ini, Dr. Norhisham telah menghasilkan rumusan Terapi Getaran Warna dengan memerangkap tenaga getaran tumbuh-tumbuhan tempatan menerusi teknologi canggih dimakmal German Malaysian Scientific Ideas (GMSI), Kuala Lumpur. Himpunan barangan rawatan Terapi terdiri daripadaa 20 botol ‘butir gula tebu’ dengan rumusan getaran warna pelbagai tahap untuk bahagian anggota tubuh tertentu, sebotol minyak aromaterapi dan sebotol kecil pencuci wajah.
Getaran Tenaga dan Warna
Dunia di antara dua cahaya atau sempadan warna sebenarnya diukur dalam Islam sebagai ‘peralihan waktu sembahyang’. Waktu-waktu peralihan ini adalah permulaan cahaya-cahaya baru dengan warna mulai terbentuk. Penyembuhan atau penyakit paling aktif berlaku dalam tempoh ini, contoh subuh dan menjelang malam. Maka warna adalah kuasa rawatan yang amat berkesan kerana tubuh anda diselubungi dan dipenuhi dengan tahap-tahap meridian kuasa warna ‘pelangi’ yang paling menakjubkan.
Jika anda mengalami gangguan tiroid, waktu paling berkesan untuk kemam ‘gula tebu’ ialah antara 6.00 hingga 7.30 pagi di mana langit berwarna kebiru-biruan, warna bahagian kerongkong.
Sambung Dr. Norhisham, "Setiap orang mempunyai tahap getaran tenaga yang tersendiri, sama ada tinggi atau rendah. Setiap orang juga dapat mengawal tahap getarannya bagi menyamai tenaga orang yang sedang bercakap dengannya agar perbualan berjalan lancar. Pemikiran positif pula memberi tahap tenaga getaran yang tinggi, begitu juga sebaliknya".
Sementara penyakit merupakan tenaga getaran yang rendah. Untuk mengembalikan tahap getaran yang tinggi, anda perlu ceria, bersyukur dan yakin dengan kehidupan. Kini anda pasti faham kenapa tukang andam sering menyuruh pengantin supaya mengunyah sirih ketika bersanding bagi mengatasi perasaan gemuruh, degupan jantung yang kencang! (Bahagian jantung dinaungi warna hijau).
No comments:
Post a Comment