Friday, 9 January 2015

Menangani Sifat Marah Melampau Demi Keharmonian Rumahtangga

Teks: Naimah Norman
Gambar: Google


Di dalam rumahtangga, sifat marah harus dikawal dan dikendalikan dengan betul. 
Di dalam hadis Arbain atau lebih dikenali sebagai hadis 40 karangan Imam Nawawi ada menyentuh tentang sifat marah. Hadis tersebut berbunyi demikian:

“Ada seorang lelaki berjumpa Nabi dan meminta nasihat dan wasiat daripada baginda (Siapa lelaki tersebut tidak dinyatakan). Nabi berkata, “Jangan kamu marah”. Lelaki itu bertanya lagi, Nabi mengulangi yang sama, “Jangan kamu marah”. (HR Bukhari)

Sifat marah adalah fitrah setiap manusia. Sifat marah tidak boleh dibuang terus tetapi ia harus dikawal dan dikendalikan dengan betul. Perkara yang paling penting adalah kita harus membina kemampuan untuk menahan sifat marah ketika kita marah. Ianya penting kerana agama islam adalah agama yang melarang sifat buruk serta perilaku tidak bermoral. Sifat marah yang tidak dikendalikan dengan betul akan membawa kepada perilaku kurang sopan. Contohnya apabila seseorang itu marah, dia barangkali akan mengeluarkan kata-kata kesat seperti “bodoh” dan lebih teruk lagi mencarut “P** * Mak”. Perkara ini sangat dilarang dalam islam.

Perkara yang paling ditakuti lagi dengan kemarahan yang tidak terkawal, ia akan mengundang tindak balas negatif seperti memukul, menampar dan sebagainya. Ia akan menyebabkan trauma dan kecederaaan kepada mangsa pukulan tersebut lebih- lebih lagi jika ia dilakukan oleh orang yang disayangi. Pecah belah dalam institusi kekeluargaan, perkahwinan dan kemasyarakatan akan berlaku kerana kemarahan yang tidak dikawal. Sebab itu sifat marah ini mesti dikendalikan dengan betul. Bukan tidak boleh marah tetapi marah yang tidak melampaui batas.


Kita kategori marah yang mana? Kita lihat tahap marah ini;

1. Marah yang melampau-lampau. Marah yang tidak dapat dikawal.

2. Tafriq (Tidak cukup hasil). Marah yang tidak menghasilkan apa-apa atau tidak marah langsung. Ia tidak dituntut dalam islam.

3. Ik’tidal (Pertengahan). Marah yang disesuaikan dengan keadaan tapi mampu dikawal.


Sifat marah melampau akan mengundang murka Allah. Ianya akan membawa kepada kegagalan. Menurut kajian sains juga, orang yang kerap marah tidak tentu pasal akan kerap sakit. Untuk sihat kita perlu mengawal marah. Kesihatan jasad ditentukan kesihatan hati kita. Ketika marah kita kerap mendengar dialog ini “Ni buat aku naik angin ni, naik darah, hangin”. Tahukah anda, apa yang kita katakan itu akan menjadi doa untuk kita. Sebab itu kita dituntut mengucapkan yang positif dan baik-baik sahaja. Perkara kecil akan jadi besar jika kita berfikiran negatif.

Bagaimana untuk mengawal sifat marah melampau?

Di sini kita cuba aplikasikan dua tips ini untuk mengawal sifat marah. Yang pertama, Ucapkan “Istia’zah”. Istia’zah bermaksud “Aku berlindung daripada syaitan yang direjam”. Ianya untuk menghalau syaitan yang akan meniupkan lagi api kemarahan itu. Yang kedua, Apabila marah dalam keadaan berdiri, maka duduklah. Jika marah dalam keadaan duduk, maka baringlah”. Ini adalah pesanan Nabi kepada kita. Ubah posisi kita ketika marah akan mengubah perasaan kita dan meredakan kemarahan tersebut. Ketika kita ubah posisi tersebut juga akan mengubah fokus pemikiran kita. Di situ kita akan berfikir sejenak apa tindakan kita seterusnya.

Jika tidak reda juga kemarahan, ambil wuduk dan solat bermunajat kepada Allah. Elemen air sangat membantu mengubah suhu dan air juga adalah medium yang dapat mengalirkan haba. Marah itu api dan api dapat dipadamkan dengan air. Ketika marah, kita dituntut diam seketika. Berfikir sejenak agar dapat menghasilkan tindakan yang rasional.

Kita harus mengenali faktor yang mendorong kepada kemarahan kita. Antara faktor yang menyebabkan sifat marah ini wujud adalah;

1. Fizikal

Kemungkinan fizikal yang tidak sihat. Sakit yang mendorong kepada emosi marah dan tidak dapat mengawalnya dengan betul.

2. Psikologi

Pemikiran yang sihat dihasilkan daripada hati yang sihat. Orang yang miliki pemikiran sihat akan sentiasa fikirkan yang positif dan yang baik-baik sahaja. Daripada pemikiran yang baik itu akan mengawal kemarahan. Ketika fikiran kita hanyalah fokus kepada negatif, maka sifat marah melampau akan terhasil.

3. Moral

Akhlak buruk salah satunya adalah panas baran. Mereka yang miliki akhlak ini diketegorikan sebagai memiliki akhlak buruk. Akhlak ini terhasil kerana syaitan dekat dengan mereka. Mereka ini kebiasaannya jauh dari Allah. 

Kesimpulannya sifat marah mesti dikendalikan dengan baik agar dapat menghasilkan kualiti dalam hidup. Marah akan menjejaskan banyak elemen dalam kehidupan kita. Fikiran yang bersih itu perlu dan ia terhasil daripada hati yang bersih. Fikirlah yang baik, rasa hati yang baik dan insyaallah yang baik-baik akan hadir. Wallaua'lam.




No comments:

Post a Comment

Ajar Anak Menerima Kekurangan dan Bersyukur

Teks: Siti Naimah Norman Gambar: Koleksi Peribadi Baru siap jahit lencana anak. Mama rajin dan banyak masa sangat. Huhu. Hari ni baru si aba...